IMG-20190515-WA0016

oleh S. Arutchelvan

Pada 8 Mei 2019, iaitu tiga hari setelah penganut Sri Maha Karumariamman, Ladang Bangi menyambut perayaan tahunan mereka, pemaju Trans Loyal Development Sdn. Bhd (TLD) secara tiba-tiba telah menutup jalan masuk ke kuil Hindu di situ. Cara mereka menutup jalan adalah amat zalim sekali, di mana mereka menutup terowong untuk masuk ke kuil tersebut dengan menggunakan batu dan pasir, kemudian mereka letak hording. Mereka juga telah menutup jalan depan dengan memagar pintu dan meletakkan batu-batu di hadapan pintu tersebut.

Namun, ini adalah kuil yang telah diwartakan. Kuil ini berada di tanah yang diberikan kepada kuil tersebut oleh pemilik tanah sebelum ini dan diserahkan kepada Kerajaan Negeri yang mewartakan kuil ini kepada Persatuan Penganut Sri Maha Karumariamman Ladang Bangi. Hanya ada satu jalan untuk pergi ke kuil tersebut. Jalan tersebut telah dikenalpasti dan dimaklumkan kepada Persatuan Kuil oleh Pengarah Jabatan Perancang MPKj, Datuk Nizam. Ini telah dinyatakan kepada Pemaju dan kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor Ganabatirau melalui surat bertarikh 17 Ogos 2018.

Namun, jalan ini ditutup secara sengaja oleh pemaju dan pihak MPKj langsung tidak mahu mengambil sebarang tindakan untuk membuka jalan tersebut. Tindakan MPKj lembab dan seolah-olah seperti mahu menimbulkan satu lagi ketegangan agama memandangkan penganut agama Hindu disekat dari pergi sembahyang, iaitu satu hak yang termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Pelbagai cara dan rundingan cuba dibuat oleh pihak Kuil termasuk memaklumkan kepada MPKj, Ahli Majlis MPKj, Pengarah Jabatan Perancang MPKj, pihak Peguam Pemaju, Exco Ganabatirau, pihak polis dan pemaju sendiri, tetapi jalan ini masih ditutup.

Dua persoalan menghantui saya. Mengapa MPKj tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap pemaju dan pemaju tersebut begitu kebal sehingga Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Negeri tidak dapat membuka semula satu-satunya laluan ke kuil ini?. Adakah pemaju ini begitu kebal?

Sejarah Ladang Bangi dan perjuangan pekerja serta kuil Ladang Bangi

Ladang Bangi wujud sejak tahun 1900-an. Pada tahun 2000, pekerja di ladang tersebut diberikan notis pemberhentian kerja. Para pekerja tidak keluar tetapi sebaliknya berjuang untuk hak perumahan. Pada 29 Ogos 2006, dalam satu mesyuarat yang telah diadakan di Pejabat Daerah Kajang, dihadiri oleh Pegawai Daerah, wakil syarikat ladang dan para pekerja, para pekerja telah dijanjikan oleh pihak syarikat untuk membina sebanyak 43 buah rumah dan sebuah kuil di kawasan Ladang Bangi.
Kemudian ada beberapa perkembangan di mana ladang tersebut bertukar tangan dalam pengurusan melibatkan beberapa pihak seperti Golden Hope, I&P, Sime Darby, Seriemas Development Sdn. Bhd dan akhirnya kepada Transloyal Development Sdn. Bhd.

Pada 8 Mei 2011, penduduk ladang Bangi telah menaikkan papan tuntutan mereka di sekitar ladang, di mana mereka menuntut rumah teres, pampasan dan kuil.

Dari awal lagi, Pemaju TLD mengatakan  bahawa mereka akan memberikan tanah untuk kuil. Pertelingkahan hanya berlaku dalam isu perumahan, di mana satu pertelingkahan sengkit berlaku antara pihak Pemaju dan penduduk yang melibatkan puluhan aduan polis, tangkapan, melawan pencerobohan pemaju, gangster dan sebagainya. Akhirnya Pemaju mengambil langkah cuba mengusir penduduk melalui proses mahkamah, di mana mereka memulakan tindakan mahkamah pada bulan Oktober 2012. Pemaju mengatakan bahawa mereka ini adalah setinggan.

Dalam kes mahkamah pula, pemaju menang di Mahkamah Tinggi pada bulan April 2013, tetapi pekerja ladang menang di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 26 Mei 2015. Pihak Penduduk diwakili oleh peguam Ambiga Sreenevasan.

Namun, rundingan terus diusahakan dan satu penyelesaian dicapai dalam satu mesyuarat pada 20 Februari 2015 di Pejabat Transloyal di mana Pemaju setuju memberikan satu rumah pangsapuri secara percuma, selain itu subsidi sewa dan tempat rumah ibadat juga dikekalkan.

Setelah kemenangan pekerja di Mahkamah, beberapa rundingan diadakan dan akhirnya satu penyelesaian dicapai dan perjanjian penyelesaian ditandatangai antara Transloyal dengan 24 keluarga bekas pekerja Ladang Bangi pada 16 Januari 2016. Dalam perjanjian penyelesaian tersebut, para pekerja mendapat rumah percuma pangsapuri kos rendah – tingkat bawah dan satu, sewa RM 625 setiap bulan sebelum pindah masuk rumah baru, dan tapak tanah untuk kuil dan subsidi membina kuil.

Upacara menandatangani perjanjian jual beli kemudiannya diadakan pada 31 Mei 2017 dan pada 31 Disember 2017. Para pekerja Ladang Bangi pindah keluar dari ladang dan kemudian dibayar wang sewa. Akhirnya pada 14 Februari 2019, mereka mendapat kunci rumah untuk pangsapuri mereka.

Maka, isu perumahan selesai dan pemaju TLD juga telah memberi pelbagai kemudahan tambahan kepada bekas pekerja Ladang di mana kami menghargai pemberian tersebut.

Perjanjian mengenai Kuil Ladang pula

Seperti yang dijanjikan, pihak Pemaju memang telah memberikan tapak untuk kuil, iaitu di tempat asal. Walaupun pihak penduduk ada meminta supaya Kuil ditukar ke kawasan pangsapuri baru tetapi ia tidak dipersetujui oleh MPKj yang mengatakan bahawa kawasan pangsapuri tersebut adalah kawasan najoriti Melayu dan tidak sesuai. Ahli Majlis dan Mantan Senator Chandramohan juga mengatakan bahawa tanah ini sesuai kerana ia lebih besar 0.81 ekar berbanding dengan 10,000 kaki persegi jika kawasan baru. Pihak pemaju pula berpendapat bahawa tempat ini memang sesuai. Maka para penduduk pun setuju dengan tempat asal ini, walaupun mereka menghadapi kekangan terowong kecil yang ada.

Pada 28 April 2014, Persatuan Penganut Sri Maha Karumariamman Ladang Bangi menghantar surat untuk permohonan perwartaan tanah untuk Kuil Sri Maha Karumariamman seperti diminta oleh Pejabat Exco Ganabatirau. Pada 2 Mei 2017, 4 orang AJK Jawatankuasa Bekas Pekerja Ladang bersama saya telah mengadakan mesyuarat dengan Encik Manogar – peguam untuk Pemaju, dan mengetengahkan beberapa masalah antaranya isu kuil dan akses jalan ke kuil.

Pada 4 Mei 2017, kami dapat maklumbalas daripada Peguam Pemaju di mana mereka berkata bahawa mengenai isu pewartaan, mereka sudah serah tanah kepada Kerajaan Negeri dan JK Kuil kena berurusan dengan Kerajaan Negeri. Peguam pemaju juga memberi syor bahawa bekalan air dan eletrik tidak akan diganggu dan jalan akses yang sedia ada tidak akan dihalang. Selain itu, Pemaju tidak setuju untuk membesarkan terowong kerana itu adalah milik JKR tetapi boleh membantu bina jalan dari terowong ke kuil pada masa hadapan.

Pada 18 Januari 2018, kami telah mengadakan pertemuan susulan dengan Peguam Pemaju Manogaran di mana perbincangan diadakan mengenai bagaimana wang pampasan RM 100,000 yang ada dalam akaun Peguam Manogor boleh dituntut dan ia adalah hanya untuk membina kuil kekal. Dalam mesyuarat itu pun, kami diberikan kepastian bahawa jalan akses tidak akan ditutup.

Pada 1 Feb 2018, Jawatankuasa Bertindak Bekas Pekerja Ladang Bangi telah menghantar surat kepada Yang DiPertua MPKj di mana dalam surat tersebut Jawatankuasa telah mengadu bahawa pihak pemaju telah menutup jalan masuk ke Kuil.

Pada 27 Februari 2018, kami telah menerima surat daripada Exco Ganabatirau yang mengatakan bahawa permohonan perizaban tanah di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah negara bagi tujuan tempat ibadat selain Islam (lebih kurang 0.8 ekar) telah diluluskan kepada Persatuan kami dalam mesyuarat Hal Ehwal Selain Islam pada 12 Disember 2017 dan diminitkan pada 22 Januari 2018.

Pada 2 April 2018, Datuk Nizam bin Zahari, Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MPKj, telah menghantar surat kepada Tetuan Teraju Restu Malaysia Sdn Bhd, iaitu anak syarikat TLD, di mana pemaju diarah untuk menyediakan jalan akses ke tapak kuil di dalam pembangunan di atas lot 1233 dan 1234 dan lot 42195 Pekan Bangi Lama.

Pada 7 Mei 2018, Peguam Pemaju SF Chan & Co menghantar surat kepada Peguam Jawatankuasa Penduduk di mana mereka memberi dua cadangan jalan alternatif ke Kuil yang masih belum dibina. Pada 16 Julai 2018 , Peguam Jawatankuasa Penduduk Ragunath Kesavan telah menulis kepada Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MPKj berkenaan penyediaan akses ke tapak kuil di dalam pembangunan di atas lot 1233 dan 1234 dan lot 42195 Pekan Bangi Lama di mana kami membuat aduan tentang penutupan akses jalan ke kuil.

Pada 10 Ogos 2018, mesyuarat telah diadakan di Pejabat Exco Ganabatirau di mana Exco dengan tegas mengatakan bahawa jalan itu tidak boleh ditutup dan ia dipersetujui oleh Encik Chia, iaitu Pengurus Besar TLD. Mesyuarat turut dihadiri JK Kuil dan pihak MPKj.

Pada 17 Ogos 2018 , Datuk Nizam bin Zahari, Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MPKj telah menghantar satu lagi surat kepada Pemaju Transloyal, di mana Pemaju dikehendaki membenarkan laluan sedia ada melalui tanah pembangunan milik pemaju ke tapak kuil digunakan sebagai laluan keluar masuk sementara sehingga laluan keluar masuk yang sah dibina mengikut plan kelulusan.

Pada 31 Ogos 2018, JK Kuil bersama pemaju Encik Chia dan Peguam pemaju Manogaran telah melawat jalan akses ke kuil.

Pemaju terus ingkar- jalan ditutup semula

Baru-baru ini pada 8 Mei 2019, jalan akses ke Kuil terus ditutup. Para penduduk pula telah membuat aduan polis. Selepas itu, kami telah menggunakan pelbagai jalan diplomasi untuk menyelesaikan masalah yang memang sensitif ini.

Selepas itu , Ahli Majlis MPKj Thiagarajan yang juga cuba membantu berkata bahawa pihak MPKj telah menghantar satu lagi surat tetapi sehingga hari ini, pemaju tidak mahu membuka jalan. Beberapa usaha juga diambil oleh beliau bersama Mantan Ahli Majlis dan Senator untuk berunding dengan Pengarah Syarikat TLD tetapi pemaju masih tidak membuka laluan jalan ini.

Selain itu, kami menyeru pada pihak Datuk Nizam dan pihak Exco untuk memanggil mesyuarat segera bagu menyelesaikan isu ini, tetapi kedua-dua pihak sehingga kini masih belum berbuat demikian.

Mengapa isu kecil tidak boleh diselesaikan?

Saya sebenarnya tidak faham mengapa MPKj yang mempunyai kuasa tidak boleh memakai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pihak pemaju. Mengapa isu ini dibenarkan berlarutan untuk satu minggu? Mengapa MPKj tidak menggunakan penguatkuasa untuk membuka mangga pintu padahal pihak pemaju dengan jelas dan nyata telah mengingkari arahan MPKj. Adakah ini petanda pemaju begitu berkuasa dan kebal sehingga Kerajaan Tempatan dan Negeri tiada taring? Mengapa MPKj tidak menggunakan peruntukan dalam Kanun Tanah Negara untuk memastikan jalan ke kuil mendapat laluan. Saya khuatir setelah insiden di Kuil Seafield di mana satu isu kecil boleh menjadi besar kerana kita tidak bertindak atau melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.

IMG-20190516-WA0034.jpg

==========

S.Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga merupakan Penasihat kepada Jawatankuasa Bertindak Bekas Pekerja Ladang Bangi.

2 thoughts on “Mengapa MPKj tidak bertindak? Mengapa pemaju begitu kebal?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s