20190510 - seeds20160823083651_201608230836511842428552.jpgoleh Sharan Raj

PSM difahamkan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Tani dalam proses menggubal satu rang undang-undang (RUU) baru untuk mengawal dan menangani pengedaran haram benih. PSM risau bahawa RUU Benih tersebut akan mendatangkan implikasi negatif kepada petani tempatan.

PSM khuatir bahawa Rang Undang-undang benih ini akan membuka ruang kepada syarikat-syarikat komersial pertanian (agri-bisnes) untuk memonopoli bekalan bijih benih jika mereka mendaftarkan hakmilik intelek ‘paten’ penjenisan sesuatu benih tersebut atas nama syarikat mereka.

Kami risau bahawa Rang Undang-undang Benih ini akan menjadikannya wajib bagi petani, penanam benih dan pengeluar benih untuk menjalankan kajian makmal, memohon pensijilan dan pendaftaran benih. Maka, sudah tentu para petani tidak mampu melaksanakannya. Akibatnya, hanya syarikat agri-bisnes yang berkemampuan melaksanakannya dan petani terpaksa membeli benih daripada syarikat-syarikat ini.

Akhirnya, petani akan dilarang sama sekali untuk menyimpan, menukar dan menjual benih di kalangan petani tanpa pendaftaraan dan pensijilan. Amalan dan ilmu tradisional pertanian akan terhapus. Petani kecil dan Orang Asli merupakan “penyelidik asal”, kerana telah eksperimen dengan pelbagai kombinasi baka, benih dan baja organik. Sesetengah syarikat korporat sekadar mengambil dan mendokumentasikan usaha komuniti petani dan Orang Asli sahaja.

Sistem pendaftaran benih menghalang perkongsian dan penyimpanan benih di kalangan petani kecil. Undang-undang sebegini akan memperkukuhkan kepentingan korporat dalam pengedaran benih. Penguatkuasaan mungkin akan menyebabkan para petani kita yang masih ingin meneruskan kaedah pengeluaran benih secara traditional ini didenda atau dipenjarakan seperti mana yang berlaku di Colombia dan Indonesia. Syarikat antarabangsa pengeluar makanan snek Pepsico kini menyaman para petani ubi kentang di India, kerana petani tersebut menggunakan baka ubi kentang yang sama dengan produk snek mereka.

Petani juga akan hilang “hak untuk eksperimen” (right to experiment) kerana pihak korporat akan memaksa petani mengikut piawaian penggunaan baja, racun dan air yang ditetapkan. Dalam jangka masa panjang, penggunaan baja dan racun kimia berlebihan akan menjejaskan tanah pertanian, bekalan air bersih dan kesihatan manusia.

Justeru, PSM mendesak pihak Kementerian untuk menghentikan proses penyediaan RUU tersebut dan mengadakan diskusi dengan komuniti petani, NGOs dan komuniti Orang Asli sebelum membawa Rang Undang-undang Benih ke parlimen.

SELAMATKAN PETANI KITA, UTAMAKAN JAMINAN MAKANAN!

========== 

Sharan Raj ialah Penyelaras Biro Alam Sekitar Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *