20190509 - red.jpg

oleh S. Arutchelvan 

Notis Merah

Pada 6 Mei 2019, notis merah dilekatkan di struktur lama Sekolah Tamil Ladang Bukit Jalil. Notis daripada Pihak Berkuasa Tanah Wilayah Persekutuan memberikan sehingga 13 Mei untuk kosongkan bangunan itu. Pada 7 Mei 2019, dua buah kereta yang membawa anggota daripada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sekali lagi memberikan notis merah secara dengan tangan atau dilekat di rumah-rumah bekas pekerja ladang yang masih menetap di ladang terakhir di Lembah Klang ini.

Pihak penguatkuasa yang menyerahkan notis amat bersopan. Mereka berkata bahawa mereka daripada Pejabat Tanah. Mereka juga mengatakan mereka dari kerajaan Baru dan ini adalah arahan dari atas. Segala soalan yang ditanya oleh penduduk yang terkejut tidak dijawab. Kebisuan mereka menjadi tanda soal. Namun tindakan mereka amat zalim sekali. Mereka memberikan tempoh masa 7 hari kepada satu masyarakat yang sudah menetap untuk 4 generasi di ladang ini untuk keluar. Selain itu, mereka menggunakan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara, iaitu seksyen yang digunapakai ke atas penceroboh dan setinggan haram.

Ladang ini lebih tua daripada Merdeka

Tarikh awal wujudnya ladang ini adalah sekitar tahun 1940-an. Hari ini ia merupakan ladang terakhir yang masih wujud di Lembah Klang. Pada satu masa, pokok getah dan bijih timah adalah sumber kekayaan negara. Ekonomi Malaya dan Malaysia bersandar kepada dua sektor ini. Hari ini rumah-rumah yang masih ada di ladang ini adalah kesan peninggalan sejarah dulu.

Namun, adakah ladang tertua di Lembah Klang ini akan dikekalkan atau dipupuskan. Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata baru-baru ini untuk cuba membangunkan warisan Kampung Baru di tengah Kuala Lumpur. Baru-baru ini pula, nama Kampung Kerinchi dinamakan semula untuk menggantikan nama komersial Bangsar South. Maka, mengapakah penghuni Ladang Bukit Jalil hendak diusir dan sejarah dikuburkan begitu sahaja. Mengapa permintaan mereka untuk 4 ekar tanah bagi membina perumahan tidak diendahkan?

Bekas pekerja ladang dan keluarga mereka telah menetap di sini untuk lebih 80 tahun. Di Ladang ini, ada kuil, sekolah, tanah perkuburan dan rumah-rumah mereka. Mereka hanya tidak mempunyai geran dan pemilikan tanah.

Kerajaan menganaktirikan Ladang Bukit Jalil

Pada asalnya Ladang Bukit Jalil dan Ladang Kinrara berada di bawah pengurusan Kinrara Estate Grp Sdn Bhd. Pada tahun 1980, Kerajaan (Kementerian Wilayah Persekutuan) telah mengambilalih sebahagian pengurusan ladang daripada Kinrara Estate Group dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.

Bahagian ladang yang tidak diambilalih oleh Kerajaan, iaitu Ladang Kinrara, nasib pekerja di sana amat untung. Pihak Syarikat Kinrara telah membina rumah teres untuk pekerja mereka. Namun. Ladang yang diambilalih oleh Kerajaa, iaitu Ladang Bukit Jalil, sehingga hari ini tidak dibina rumah teres.

Malah, Kerajaan yang menjadi tuan punya ladang terus memeras saki baki buruh pekerja ini untuk menoreh getah dengan menggunakan kontraktor-kontraktor upahan kerajaan. Lebih 7 kontraktor datang dan pergi, peluh diperas, tetapi yang lebih teruk lagi adalah kontraktor Kerajaan tidak membayar caruman KWSP dan PERKESO.

Pada tahun 1988, Menteri Wilayah Persekutuan pada masa itu telah berjanji bahawa bekas pekerja ladang boleh tinggal di rumah ladang sehingga perumahan kos rendah dibina di kawasan ini. Ladang bersebelahan, Ladang Kinrara yang berhenti beroperasi pada tahun 1983, telah pun diberikan rumah teres kos rendah pada tahun 1992, tetapi Ladang Bukit Jalil yang diambilalih oleh kerajaan pula, tidak mahu membina rumah teres atau memberi tanah untuk perumahan bagi pekerja di tanah ini sehingga hari ini.

Mantan PM Najib Razak akui kepincangan

Pada awalnya, Kerajaan BN, terutamanya DBKL, telah menggunakan pelbagai cara untuk mengusir penduduk keluar, termasuk menggunakan Ordinan Darurat Pembersihan Setinggan. Pada 16 Julai 2007, pekerja Ladang Bukit Jalil telah dilabel sebagai “setinggan” dan diberikan notis pengusiran dibawah “Ordinan Darurat Pembersihan Setinggan”. Penduduk juga pada masa itu dipaksa untuk mengosongkan tanah dan pindah ke rumah pangsa PPR (Projek Perumahan Rakyat) yang kecil dan tidak selesa yang berdekatan.

Penduduk Ladang Bukit Jalil telah melawan balik secara besar-besaran. Mereka telah melakukan pelbagai aksi protes dan telah menyerahkan memorandum kepada pelbagai pihak termasuk DBKL, SUHAKAM, Menteri Wilayah Persekutuan dan Pejabat Perdana Menteri. Ramai wakil kerajaan hari ini, seperti Nurul Izzah, Wathyamoorthy, P. Ramasamy dan Tian Chua pernah bersama kami dalam aksi-aksi ini.

Pada 30 dan 31 Mei 2012, penduduk Ladang Bukit Jalil membuat satu aksi yang luarbiasa, iaitu mereka berkampung di hadapan Pejabat Perdana Menteri sehingga mendapat satu temujani untuk berjumpa PM. Setelah berkampung selama 36 jam di hadapan Pejabat Perdana Menteri, penduduk akhirnya mendapat satu kejayaan apabila mantan Perdana Menteri masa itu Najib Razak bersetuju untuk bertemu dengan jawatankuasa penduduk.

Akhirnya pada 10 Julai 2012, 4 orang AJK penduduk berjaya berjumpa dengan mantan Perdana Menteri Najib Razak di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Hari ini hanya dua orang AJK yang tinggal. Thiagarajan dan Shanti, dua orang pejuang utama ladang ini sudah meninggal dunia hari ini.
Dalam mesyuarat tersebut dengan PM, Perdana Menteri mengakui kepincangan Kerajaan dan memberitahu bahawa tuntutan mereka adalah adil dan sepatutnya kerajaan membina rumah untuk pekerja seperti di Ladang Kinrara. Perdana Menteri berjanji akan kaji tuntutan 4 ekar dan akan menghentikan semua pengusiran paksa oleh DBKL sehingga masalah diselesaikan.

Selepas pertemuan bersejarah dengan PM, penduduk di sana tidak lagi mendapat notis atau ancaman perobohan. Sebelum PRU ke-13, mereka telah ditawarkan RM 85 ribu untuk keluar dari ladang tersebut, tetapi para penduduk mengambil keputusan sebulat suara untuk tidak menerima tuntutan itu dan masih mahu tanah atau rumah dibina di kawasan warisan mereka.

Kerajaan PH dan pertemuan dengan Kalid Samad

Setelah Kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) mengambilalih kuasa pada 9 Mei 2018, maka wujud satu harapan baru bahawa masalah ini akan selesai memandangkan semua yang kini berada di pihak kerajaan memang telah menyokong dan membantu perjuangan Ladang Bukit Jalil semasa mereka menjadi pembangkang.

Maka, para penduduk bercadang menghantar satu memorandum kepada Khalid Samad selaku Menteri Wilayah Persekutuan pada 20 September 2018, tetapi Menteri telah menjemput kami sehari sebelum untuk membincangkan tuntutan kami. Pada 19 September 2018, kami sempat berjumpa dengan Menteri Khalid Samad, iaitu pihak pertama yang kami temui daripada kerajaan baru Pakatan Harapan berkenaan isu ini.

Dalam pertemuan singkat kami dengan Menteri Wilayah, kami telah mengatakan bahawa isu kami ini telah berlarutan selama 38 tahun tanpa sebarang penyelesaian yang kukuh. Kami juga mengatakan harapan kami bahawa perubahan daripada Kerajaan Barisan Nasional kepada Kerajaan Pakatan Harapan ini akan menjadi satu tanda yang positif untuk menyelesaikan masalah perumahan ini.

Dalam pertemuan itu, kami mengemukakan dua tuntutan yang bukannya tuntutan baru: yang pertama, adalah membina rumah kos rendah di tanah sedia ada, iaitu tuntutan 4 ekar untuk 41 keluarga bekas pekerja Ladang Bukit Jalil, dan yang keduanya adalah untuk mengekalkan kuil, kubur dan sekolah Ladang Bukit Jalil seperti yang dijanjikan oleh DBKL dalam surat bertarikh 29 Disember 2010. Khalid berpendapat bahawa permintaan kami adalah munasabah dan memberikan syor bahawa tidak ada pengusiran dan beliau akan memulakan usaha menunaikan tuntutan kami, iaitu membina rumah untuk bekas pekerja ladang.

Menjelang satu tahun PH memerintah, notis merah menghantui penduduk

Namun, menjelang satu tahun sambutan PH memerintah, penduduk Ladang Bukit jalil pula disambut dengan notis pengusiran. Nampaknya harapan mereka untuk satu penyelesaian di bawah kerajaan baru masih jauh. Para bekas pekerja di mana ramai dah tua masih berazam untuk mempertahankan tanah dan rumah mereka.

Hari ini (8 Mei 2019), Menteri Wathyamoorthy memaklumkan kepada kami bahawa beliau akan memanggil mesyuarat untuk menyelesaikan masalah ini manakala Khalid pula berkata bahawa beliau akan menarik balik notis.

Penduduk Ladang Bukit Jalil akan berjaga-jaga menjelang 13 Mei tahun ini, untuk memastikan sama ada notis akan ditarik balik atau mereka akan disambut dengan jentolak dan FRU.

Tanah Ladang Bukit Jalil yang diduduki mereka hari ini memang tempat bernilai tinggi dan menjadi buruan kapitalis hartanah. Keluasan tanah ladang mengecut dari 1,800 ekar pada masa dulu kepada hanya tinggal 26 ekar, sementara permintaan penduduk hanya 4 ekar. Penduduk Ladang Bukit Jalil yang sudah berjuang 39 tahun sekarang akan terus mempertahankan ladang terakhir di Lembah Klang. Adakah Kerajaan PH akan menunaikan permintaan bekas pekerja ladang atau tanah ini dijual kepada pembeli yang kaya? Marilah kita sama-sama tunggu.

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM). 

20190509 - red.jpg

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s