20190508 - seremban.jpgSEREMBAN, NEGERI SEMBILAN: Mahkamah Tinggi Seremban telah menolak rayuan daripada satu majikan yang enggan membayar pampasan penamatan kerja kepada pekerjanya yang diberhentikan secara tidak sah.

Maheswary dan suaminya Roman, bekerja di sebuah ladang di Gemencheh, Negeri Sembilan. Maheswary bekerja dengan Nam Bee Company, manakala Roman bekerja sebagai pemandu lori di The Muar Rice and Transport Co. Sdn Bhd, anak syarikat kepada Nam Bee Company. Kedua-dua mereka telah diberhentikan kerja atas pertuduhan memukul seorang pekerja dan tidak menandatangani surat tunjuk sebab yang diserahkan kepada mereka.

Kes ini telah dibawa dan difail di Jabatan Tenaga Kerja Seremban pada bulan Mac 2018 selepas dua bulan mereka berdua diberhentikan kerja. Pada 27 Julai 2018, kedua-dua pekerja yang diberhentikan kerja telah menang di Mahkamah Buruh Seremban kerana didapati siasatan dalaman berat sebelah dan berlakunya salahguna kuasa oleh pihak syarikat. Mahkamah Buruh memerintah untuk membayar segala kos termasuk gaji, faedah penamatan kerja serta gaji ganti notis berjumlah lebih kurang RM 12 ribu dalam masa 30 hari bagi kedua-dua suami dan isteri. Namun, pihak majikan mencabar keputusan Mahkamah Buruh di Mahkamah Tinggi Seremban.

Keputusan Mahkamah Tinggi Seremban pada 15 Februari 2019 berkenaan dengan kes pemberhentian kerja Roman berpihak kepada majikan, walaupun Roman menang di Mahkamah Buruh. Roman telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Kes berkenaan dengan Maheswary pula telah diumumkan keputusannya pada 8 Mei 2019. Keputusan mahkamah kelmarin berpihak kepada pekerja, iaitu Maheswary, di mana Mahkamah Tinggi Seremban menolak rayuan pihak majikan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Buruh. Majikan dikehendaki untuk membayar pampasan lebih kurang RM8,000 kepada Maheswary mengikut keputusan Mahkamah Buruh.

Kes ini telah dibantu oleh PSM Seremban, dan Maheswary diwakili oleh peguam Y. Kohila.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *