MayDay 3(Rencana Khas Hari Pekerja Sedunia 2019)

Sambutan Hari Pekerja Sedunia berasal daripada perjuangan pekerja menuntut pelaksanaan sistem kerja 8 jam, iaitu mengurangkan jam kerja sehari tanpa mengurangkan gaji. Penetapan kerja 8 jam sehari, bermakna pekerja tidak boleh dipaksa untuk bekerja lebih panjang daripada masa itu, dan jika perlu bekerja lebih 8 jam, maka majikan dikehendaki untuk membayar gaji lebih masa (OT) dengan kadar pengiraan yang lebih tinggi.

Kerja 8 jam sehari sudah menjadi perlindungan hak pekerja yang paling asas di hampir seluruh dunia pada hari ini. Namun, terdapatnya banyak negara, termasuk Malaysia, pekerja masih terpaksa bekerja lebih masa kerana gaji asas yang rendah. Ramai pekerja bekerja 10 hingga 12 jam sehari, dan ini sebenarnya telah menghakis perlindungan hak asasi pekerja.

Kerajaan Malaysia telah menetapkan Peraturan-peraturan Kerja (Had Kerja Lebih Masa) 1980 di bawah Akta Kerja 1955, dengan menaikkan kerja lebih masa maksimum yang dibenarkan dari 32 jam sebulan kepada 64 jam sebulan. Kemudiannya Kerajaan di bawah pimpinan Mahathir Mohamad meminda peraturan tersebut pada tahun 1991 dengan menaikkan had kerja lebih masa sebulan kepada 104 jam. Ini bermakna majikan boleh menyuruh pekerjanya untuk bekerja lebih masa sebanyak 4 jam sehari.

Ramai pekerja melakukan kerja lebih masa, bukannya kerana mereka suka sangat kerja lebih masa, tetapi sebenarnya oleh sebab gaji asas yang diterima daripada kerja dalam lingkungan 8 jam sehari itu tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan harian. Pekerja-pekerja terpaksa melakukan kerja lebih masa kerana gaji mereka rendah.

Walaupun negara kita sudah wujudkan peraturan gaji minimum, tetapi kadar gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan adalah begitu rendah. Tambahan pula dengan lambakan pekerja migran yang tidak mendapat perlindungan hak yang sewajar, menjadikan kerja semakin tidak terjamin untuk pekerja dan gaji terus ditekan pada paras yang rendah.

20190420sleeping_worker_1_f53910678a485ccd0b3fb814209c2d7a.fit-760w.jpg

Adanya sebahagian kerja, seperti kawalan keselamatan, pekerja dipaksa untuk bekerja 12 jam sehari, malah ada pekerja kawalan keselamatan yang tidak dapat menikmati hari rehat seminggu. Kerja dengan masa yang begitu panjang, telah merampas masa pekerja untuk berehat dan beriadah. Pekerja-pekerja juga tiada masa untuk diluangkan bersama keluarga mereka kerana terpaksa bekerja lebih masa. Apabila pekerja tiada masa untuk dirinya, sememangnya tidak mungkin untuk pekerja ini melibatkan diri dalam proses pembelajaran yang berterusan untuk memperingkatkan pengetahuannya dan memperbaiki kualiti kehidupannya. Selain itu, masa kerja yang panjang menyebabkan pekerja tidak mendapat rehat yang mencukupi, dan kesihatan pekerja akan turut merosot, sehingga menjejaskan produktiviti.

Revolusi Industri di Eropah pada kurun ke-19 sudahpun berlalu lebih 100 tahun. Sepanjang lebih seratus tahun yang lalu, dengan perkembangan teknologi yang pesat, produktiviti atau kuasa pengeluaran masyarakat manusia sudah bertambah dengan hebatnya. Apabila kita sedang melangkah masuk ke era Revolusi Industri 4.0, dengan robot, kecerdasan buatan manusia, mesin yang canggih semakin menggantikan tenaga manusia untuk menyempurkan pelbagai proses kerja, maknanya adalah pekerja kita tidak perlu lagi bekerja untuk masa yang panjang. Jadi, kerja 8 jam sehari sebenar sudahpun ketinggalan zaman. Masa kerja yang diperlukan oleh pekerja menghasilkan sesuatu barangan sudah berkurangan. Pekerja hari ini patut menikmati waktu kerja harian yang lebih pendek tanpa dikurangkan gajinya.

Dengan pengurangan masa kerja, pekerja-pekerja akan memperoleh lebih banyak masa lapang untuk melakukan perkara kegemaran mereka dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Namun, amat ironinya pada hari ini, di bawah hukum ekonomi kapitalis, keadaan hidup pekerja tidak menjadi lebih baik apabila mesin menggantikan tenaga manusia, sebaliknya menjadi lebih teruk, kerana ramai pekerja hilang kerja akibat daripada automasi. Lebih aneh lagi, apabila ramai pekerja menganggur dan perlukan kerja, masih terdapat ramai pekerja terpaksa menerima gaji yang rendah dan bekerja dengan jam kerja yang panjang setiap hari. Pengangguran pekerja dan pendapatan yang rendah untuk mereka yang masih bekerja, akan menyebabkan pendapatan rakyat biasa turut bekurang, dan menimbulkan masalah pengeluaran yang berlebihan oleh pengilang yang mengeluarkan barangan. Pengeluaran yang berlebihan akan mencetuskan krisis ekonomi, dan rakyat bawahan pula yang akan menjadi mangsa utama ketika berlakunya krisis ekonomi. Krisis ekonomi kapitalis moden disebabkan oleh berlebihan, bukannya kekurangan dalam pengeluaran.

Kurangkan masa kerja tanpa mengurangkan gaji pekerja, selain dapat memperbaiki keadaan pekerja, juga dapat meningkatkan produktiviti dan mewujudkan lebih peluang pekerjaan. Pengeluar barangan juga tidak perlu bimbang tentang permintaan yang tidak mencukupi sehingga tercetusnya krisis pengeluaran berlebihan.

Oleh yang demikian, tiba masanya untuk kita menyemak semula tetapan masa kerja yang ada sekarang, demi menuntut untuk mengurangkan jam kerja sehari dan hari kerja seminggu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s