20181017_122259

oleh S. Arutchelvan 

Baru-baru ini, di bawah tekanan yang hebat untuk meningkatkan gaji minimum, M. Kulasegaran, Menteri Sumber Manusia, telah berkata bahawa satu semakan semula tentang gaji minimum akan dilakukan dalam tempoh masa 16 bulan (laporan berita Bernama, 20 April 2019). Ini sebenarnya bukan berita yang mengejutkan, kerana walau apa yang dikatakannya, di bawah undang-undang yang sedia ada, gaji minimum perlu disemak semula dalam tempoh masa 2 tahun, iaitu semakan semula yang seteruskan perlu dilakukan selewat-lewatnya tahun 2021.

Sekarang mari kita membedah kenyataan Menteri dengan lebih lanjut lagi supaya kita tidak diperbodohkan berulang kali.

Adakah Kerajaan bersikap adil dalam menyemak semula gaji minimum setiap 2 tahun?

Kadar gaji minimum yang terbaru dilaksanakan mulai 1 Januari 2019. Perintah Gaji Minimum yang pertama pada tahun 2012 diwartakan pada 16 Julai 2012, berkuatkuasa dari 1 Januari 2013. Ini bermakna bahawa semakan semula sepatutnya pada 1 Januari 2015. Namun, kadar gaji minimum baru yang seterusnya hanya dilaksanakan pada bulan Julai 2016.

Jadi, inilah sejarahnya. Kenapa semakan semula tidak boleh dibuat segera? Banyak kajian telah membuktikan bahawa gaji minimum di Malaysia adalah rendah dan ditekan. Sekarang, dengan melambatkan semakan semula gaji minimum setiap 2 tahun, adalah penganiayaan selanjut terhadap pekerja-pekerja berpendapatan rendah.

Sekarang, tugasan pertama untuk Menteri adalah untuk memastikan bahawa gaji minimum yang baru dilaksanakan secara menepati masa. Kita sudah bosan mendengar tentang alasan kajian selanjutnya diperlukan, khususnya dalam 3 bulan sebelum kadar baru gaji minimum dilaksanakan. Kula perlu adanya tempoh masa yang jelas dari sekarang. Di mana pada 1 Januari 2021, kadar gaji minimum baru akan dilaksanakan.

Siapa yang menentukan gaji minimum?  

Sebelum ini Kula berkata bahawa “selepas mendapat kadar yang sesuai, jawatankuasa akan menyerahkan cadangan kepada saya selaku Menteri untuk dibentangkan kepada Kabinet sebelum ia diputuskan dan diumumkan kepada orang ramai”.

Ini adalah prosedur operasi standard (SOP) tetapi tidak berlaku pada kali sebelum ini. Tahun lepas, Perdana Menteri mengumumkan kadar gaji minimum baru dan beliau selalu berkata mendapat nasihat daripada Majlis Perundingan Gaji Negara. Gaji minimum yang diumumkan oleh Perdana Menteri tahun lepas adalah satu kekecewaan besar tetapi tiada seorang pun dalam Kabinetnya cukup berani memberi komen tentangnya. Malah Kula sendiri selaku Menteri yang bertanggungjawab dalam perkara ini berkata bahawa ia terletak dalam tangan Perdana Menteri. Akhirnya Pejabat Perdana Menteri yang mengeluarkan kenyataan untuk mengumumkan gaji minimum RM1,050. Siapa yang menasihat beliau tentang angka tersebut?

Sekarang, mari kita lihat pada kedaulatan undang-undang yang gemar diperkatakan oleh Perdana Menteri. Jika kita ambil formula yang digunakan oleh Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji, maka mereka akan mengambilkira komponen seperti pendapatan garis kemiskinan, pertumbuhan produktiviti, indeks harga pengguna, kadar pengangguran, gaji purata per isi rumah dan gaji median, semasa menentukan gaji minimum. Berasaskan formula itu sendiri, pengiraan kami menunjukkan bahawa gaji minimum untuk Semenanjung Malaysia sepatutnya RM1,368 dan untuk Sabah dan Sarawak ialah RM1,175 dan RM1,185 masing-masing. Majlis Perundingan Gaji Negara sebenarnya mencadangkan kadar RM1.170 kepada Kabinet. Namun, apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri hanyalah RM1,050, iaitu angka yang dicadangkan oleh Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF). Hanya selepas bantahan awam yang hebat dan protes di hadapan Parlimen, Menteri Kewangan baru mengumumkan kenaikan RM50 lagi menjadikannya RM1,100.

Sekali lagi, adakah Menteri mengambil serius terhadap pandangan Jawatankuasa Teknikal Perundungan Gaji apabila formula yang digunakan atau cadangan mereka langsung tidak diambilkira seperti yang ditunjukkan dalam pengumuman gaji minimum sebelum ini? Kenapa cadangan mereka tidak boleh diumumkan dan perlu disembunyikan di bawah Akta Rahsia Rasmi? Kenapa kita membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk Jawatankuasa ini tetapi pandangannya tidak diambilkira? Jadi, tugasan kedua untuk Menteri adalah memberi kebebasan kepada Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji dan membenarkan kadar gaji minimum ditentukan oleh mereka dan bukannya oleh majikan-majikan seperti yang dilakukan sebelum ini. Adalah Kabinet akan berbuat demikian ataupun terus membiarkan Tun Mahathir atau MEF untuk menentukan gaji minimum?

Segala hujah menentang peningkatan gaji minimum telah dipatahkan, sekarang bagaimana?

Perkara yang paling kritikal adalah semua kajian telah menunjukkan bahawa gaji di Malaysia adalah rendah. Kita mempunyai kuasa beli yang terendah di ASEAN. Pada tahun yang lalu sahaja, 40 orang terkaya di Malaysia meningkatkan kekayaan mereka sebanyak 30%. Mahathir sendiri mengatakan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menguntungkan kapitalis bukannya pekerja-pekerja. Mahathir berkata bahawa sementara pertumbuhan KDNK Malaysia dikatakan terbaik di rantau ini, hanya satu pertiga daripadanya akan memanfaatkan pekerja-pekerja. Kenyataan ini datang dari mulut Perdana Menteri yang sama yang memastikan gaji minimum tidak pernah dilaksanakan semasa beliau menjadi Perdana Menteri untuk 22 tahun sebelum ini.

Sekarang mari kita lihat pula pada hujah yang lain.

Kerajaan tiada wang yang mencukupi – menyalahkan Kerajaan sebelum ini?

Gaji minimum tidak memberi kesan kepada pekerja-pekerja kerajaan. Sebenarnya gaji minimum untuk pekerja-pekerja kerajaan lebih tinggi, iaitu RM1,200. Di negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor, gaji minimum untuk kakitangan kerajaan telah diumumkan pada kadar RM1,500. 

Kebanyakan SME akan gulung tikar? 

Ini adalah hujah yang sama digunakan apabila gaji minimum diperkenalkan pada awalnya. Sebaliknya, pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (SME) telah meningkat daripada 33.1% kepada 36.6% di antara tahun 2013 hingga 2016. Pada tahun 2017, SME menyumbang sebanyak RM435.1 bilion dengan pertumbuhan KDNK sebenar pada kadar 7.2%. Secara keseluruhannya, sumbangan SME kepada KDNK Malaysia meningkat kepada 37.1% pada tahun 2017 dari 36.6% pada tahun 2016. 

Produktiviti pekerja Malaysia adalah rendah? 

Berdasarkan Laporan Bank Negara tahun 2018, pekerja-pekerja Malaysia telah dibayar dengan gaji yang lebih rendah.

Analisis tentang nisbah gaji terhadap produktiviti menunjukkan bahawa pekerja-pekerja Malaysia masih dibayar lebih rendah berbanding pekerja-pekerja dalam ekonomi penanda aras, walaupun selepas mengambilkira tahap produktiviti yang berbeza antara negara-negara. Ini menunjukkan bahawa tahap produktiviti gaji sekarang di Malaysia adalah tidak tepat. Laporan Bank Negara memetic contoh yang mengatakan bahawa jika seorang pekerja Malaysia mengeluarkan output bernilai USD1,000, dia hanya dibayar USD340 berbanding USD510 yang diterima oleh pekerja-pekerja di negara lain dalam mengeluarkan output yang sama.

Pelabur akan larikan diri?

PSM telah mencadangkan penetapan gaji minimum di peringkat ASEAN dan kadar cukai standard ASEAN, untuk memastikan bahawa kapitalis tidak menjadikan negara-negara di rantau ini bersaing sesame sendiri untuk perlumbaan ke tahap terbawah. Walau bagaimanapun, jika negara kita mempunyai ekonomi yang baik dan dasar pentadbiran yang baik di samping tiadanya korupsi, pelabur akan kekal di sini juga.

Harapan Hari Pekerja

Tahun lalu, 40 orang terkaya di Malaysia meningkatkan kekayaan mereka sebanyak 30%. Gaji sebenar pekerja tidak naik untuk 7 tahun yang lalu. Sebaliknya, kajian Merdeka Centre pada tahun 2017 dengan 1203 orang responden mendedahkan bahawa lebih kurang 15% rakyat Malaysia skip makan satu sarapan setiap hari, 64% orang mengalami tekanan jiwa berkaitan dengan masalah ekonomi, 40% membuat bayaran lewat untuk bil elektrik dan telefon, dan 30% mempunyai kurang daripada RM500 dalam simpanan mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan patut berhenti bercakap tentang cuba meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 apabila penggal pertamanya tamat, kerana kajian terbaru Bank Negara telah jelasnya mengatakan bahawa gaji minimum perlu sekurang-kurangnya RM1,800 sekarang. Angka ini dikemukakan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), dan kami menyeru pada Kerajaan untuk meningkatkan gaji minimum supaya memacukan ekonomi kita di samping mewujudkan sebuah masyarakat bermaruah yang berasaskan gaji yang sesuai. 

Kami bersetuju dengan seruan yang dikeluarkan oleh Gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Mohd Yunus yang mengatakan bahawa sekarang ini pekerja-pekerja di Malaysia tidak dibayar secara adilnya walaupun memainkan peranan yang lebih besar dalam proses pengeluaran industri intensif-buruh seperti pemborongan, peruncitan dan makanan dan minimum.

Dalam kajian Bank Negara “The living wage: Beyond making ends meet”,  telah diketengahkan bahawa 40% isi rumah terbawah di Malaysia tidak dapat menyesuaikan diri dengan kos hidup yang semakin meningkat dan pendapatan mereka tidak mencukupi. Bank Negara menganggarkan gaji mampu sara hidup patut berada antara RM2,700 hingga RM6,500 di ibu negara. Gaji sara hidup untuk seorang dewasa yang bujang ialah RM2,700 sebulan, RM4,500 sebulan untuk pasangan tanpa kanak-kanak, dan RM6,500 sebulan untuk pasangan dengan dua orang kanak-kanak.

Menteri Sumber Manusia Kulasegaran dan Kerajaan Pakatan Harapan patut benar-benar mengkaji isu-isu gaji ini. Kesejahteraan pekerja-pekerja akan ditentukan oleh siapa yang mentadbir negara ini. Isu gaji sebenar adalah isu yang sebenar. Hari Pekerja tahun ini merupakan masa yang baik untuk menghargai pekerja-pekerja atas sumbangan mereka dan membayar balik mereka gaji yang lama tertangguh.

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Jangan perbodohkan lagi rakyat dalam isu gaji minimum – Membedah cadangan Kula untuk gaji minimum baru dalam tempoh 16 bulan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *