20190216085900__MG_1419-01

oleh S. Arutchelvan

Berdasarkan keputusan Pilihanraya Kecil (PRK) Semenyih, Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin menyatakan bahawa PSM menerima hakikat bahawa PSM telah kalah dan gagal mendapat balik deposit dalam PRK Semenyih kali ini. Keputusan ini walaupun pedih, tetapi mengambarkan hakikat keadaan politik negara kita hari ini di mana pengundi masih belum bersedia untuk menerima alternatif politik ketiga yang progresif buat masa ini.

Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi kerana berjaya merampas semula kerusi ini. Keputusan ini juga adalah satu amaran jelas bahawa kombinasi UMNO-PAS adalah satu gabungan perkauman yang akan membawa negara kita menjurus lagi kepada politik perkauman yang lebih memudaratkan. Dalam PRK ini, daripada analisis awalan, kawasan majoriti Cina memberikan majoriti jelas kepada Pakatan Harapan (PH), manakala kawasan majoriti Melayu dan campuran, memberikan majoriti kepada BN.

Kegagalan PSM mendapat sokongan yang lebih hanyalah satu gambaran bahawa rakyat masih belum dapat menerima alternatif ketiga dan mungkin juga masa adalah terlalu singkat sejak PRU lalu untuk membolehkan alternatif baru ini berkembang dan maju. Jumlah peratusan undi yang diperolehi oleh PSM hampir sama, iaitu 2.1% berbanding 2.8% pada PRU-14.

Keputusan ini juga boleh dilihat sebagai satu referendum bahawa rakyat sudah bosan dengan U-Turn oleh PH dan PH semakin dilihat sebagai BN 2.0. Jika tren ini berterusan, maka segala perubahan yang dibawa oleh rakyat sejurus selepas 9 Mei 2018 akan digadaikan begitu sahaja. PH mempunyai pilihan untuk membawa pembaharuan ke lebih depan lagi dan menyakinkan rakyat dengan dasar-dasar yang pro-rakyat, tetapi apa yang dapat kita perhatikan hari ini adalah PH hanya semakin mengambil halatuju yang semakin mirip dengan BN.

Hanya politik progresif yang tidak berlandaskan perkauman sahaja adalah alternatif terbaik untuk rakyat Malaysia di mana kepentingan dan kebajikan rakyat diletak lebih tinggi daripada kepentingan korporat dan kaum pemodal.

PSM akan membuat evaluasi dan menilai kelemahan kami. Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti kerana berjaya menjalankan satu kempen yang teratur dan bersih. Kempen PSM selain daripada menampilkan seorang aktivis anak muda yang cukup baik dan berwibawa, juga telah mengemukakan pelbagai idea dan inisiatif dalam membawa manfaat kepada rakyat Semenyih.

Walaupun PSM kalah kali ini. Ini tidak sedikit pun menjejaskan hasrat dan matlamat kami untuk membentuk sebuah negara yang adil dan saksama bagi rakyat majoriti 99%. Kita perlu terus membina pilihan politik yang progresif dari sekarang juga.

==========

Kenyataan ini dikeluarkan oleh S.Arutchelvan selaku Pengarah Kempen Pilihanraya PSM dalam PRK N24 Semenyih.

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *