53461681_948248508899306_4684876624838000640_n.jpg

SEMENYIH, SELANGOR – 28 FEBRUARI 2019: “Menteri perlu berhenti menjadi jurucakap untuk majikan. Jika hendak menjadi jurucakap untuk majikan, lebih baik meletak jawatan dan bekerja terus untuk Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF),” begitunya seruan daripada S. Arutchelvan, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), dalam satu sidang akhbar khas pelancaran talian hotline aduan gaji minimum yang diadakan di Pusat Khidmat PSM Semenyih pada hari ini.

Turut hadir dalam sidang akhbar hari ini ialah Nik Aziz Afiq selaku calon PSM untuk Pilihanraya Kecil (PRK) Semenyih dan M. Sivaranjani selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Penyelaras Biro Pekerja PSM.

Dua hari yang lalu, M. Kulasegaran, Menteri Sumber Manusia sekali lagi menjadi jurucakap bagi pihak majikan dengan membuat kenyataan bahawa gaji minimum RM1,100 sebulan adalah tinggi bagi beberapa sektor seperti perladangan, hotel dan kedai kopi. Menteri turut mengatakan bahawa beliau menerima banyak tekanan daripada majikan-majikan di Sabah dan kenyataan itu dibuat ekoran berjumpa dengan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) bahagian Sabah. Menteri telah mencadangkan supaya mengkaji semula gaji bagi sektor-sektor ini dan menetapkan gaji minimum yang berbeza mengikut sektor.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) berpendapat ini adalah satu cadangan yang tidak masuk akal dan bersifat membodek golongan majikan. Kenyataan Menteri Sumber Manusia menyokong majikan secara terang-terangan nampaknya satu trend yang bukan terasing lagi. Menteri Kerajaan Pakatan Harapan nampaknya telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang pro-majikan kebelakangan ini, antaranya:

i. 5 September 2018 – Gaji Minimum RM1,050 yang diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri dan dimulakan pada tahun 2019 adalah angka yang tunduk sepenuhnya kepada permintaan MEF dan ia bercanggah dengan cadangan Majlis Perundingan Gaji Negara.

ii. 10 Disember 2018 – Menteri Sumber Manusia membuat kenyataan bersama dengan Majikan syarikat Top Glove dengan hujah bahawa pihak syarikat tidak menindas pekerja asing mereka walaupun sebelum ini adanya badan bukan kerajaan yang mendedahkan perkara yang sebaliknya.

iii. 16 Disember 2018 – Untuk membantu majikan menangani masalah pekerja asing melarikan diri, Menteri menyarankan supaya gaji pekerja migran ditahan sebanyak 20% dan wang ini dibayar semasa pekerja tamat kontrak. (Menteri nampaknya tidak sedar bahawa kebanyakan pekerja migran melarikan diri daripada majikan kerana tidak dapat tahan lagi dengan penindasan yang dihadapi mereka.)

Menteri Sumber Manusia juga dengan jelasnya mengatakan bahawa beliau mahu dirinya tidak dilihat sebagai Menteri untuk pekerja, tetapi juga Menteri untuk majikan.

“Dengan kenyataan terkini bahawa Gaji Minimum RM1,100 adalah tinggi untuk beberapa sektor setelah mendengar hujahan daripada majikan, nampaknya Menteri ini lebih layak dipanggil Menteri untuk Majikan. Trend ini memberi gambaran jelas bahawa Menteri Sumber Manusia sudah menjadi jurucakap majikan dan telah menggadaikan kepentingan pekerja,” ulas Arutchelvan dalam sidang akhbar hari ini.

Arutchelvan berkata, “Kenyataan Menteri bahawa gaji minimum RM1,100 itu tinggi adalah satu kenyataan yang bodoh kerana menetapkan paras gaji minimum pada jumlah ini telah dikecam oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), PSM dan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil yang lain sebagai gaji yang rendah. Ini adalah satu jumlah yang sangat rendah dan majoriti pekerja menghadapi kesusahan untuk memenuhi keperluan harian. Ini bukan apa yang kita cakap dari mata kasar. Statistik dan kajian daripada beberapa sumber turut membuktikan perkara ini.”

Satu hasil kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center dari 4 hingga 14 November 2017 dengan 1203 responden memberi fakta-fakta berikut:

a. Seramai 15% rakyat Malaysia sedang skip makanan harian mereka, dan 27% didapati tidak mempunyai RM500 pun semasa kecemasan;

b. Rakyat Malaysia hidup dalam keadaan tertekan dengan kenaikan kos hidup walaupun pertumbuhan makroekonomi yang kuat;

c. 2 daripada 10 orang rakyat Malaysia kurangkan keperluan seperti makanan untuk teruskan kehidupan;

d. 64% berasa tertekan memikirkan masa depan;

e. 40% lambat ataupun tidak dapat membayar bil mereka, seperti bil elektrik dan telefon;

f. 20% mengambil pinjaman baru sama ada pinjaman persendirian, ataupun kad kredit;

g. 15% menghadapi konflik keluarga akibat masalah ekonomi;

h. 11% melaporkan perlu menjual harta benda mereka untuk memenuhi perbelanjaan harian.

Mengikut analisis Bank Negara yang dikemukakan pada bulan Mac 2018, seseorang dewasa yang hidup di Kuala Lumpur harus menerima paras gaji RM2,700 sebulan, manakala pasangan tanpa anak memerlukan RM4,500, dan pasangan dengan dua orang anak memerlukan RM6,500 untuk memenuhi keperluan asas seharian.

Dalam menentukan paras gaji pekerja, Kerajaan harus menggunakan kadar kemiskinan relatif iaitu 60% daripada pendapatan median isi rumah untuk menggambarkan kemiskinan sebenar dalam masyarakat pada masa in. Lihat gambarajah di bawah:

20190228 - a.jpg

Berdasarkan maklumat di atas, pendapatan median isi rumah sebulan adalah RM5,228 dan 60% daripadanya adalah RM3,136. Maka, ini adalah kadar gaji minimum yang sepatutnya dilaksanakan oleh Kerajaan dan bukan RM1,100!

Walaupun terdapatnya fakta-fakta yang menyokong hujah untuk gaji minimum yang lebih tinggi, dan juga organisasi seperti PSM sudah banyak kali menyerahkan saranan kepada Kerajaan supaya gaji minimum perlu sekurang-kurangnya RM1,500 pada masa sekarang, Menteri Sumber Manusia masih memilih untuk menurut sepenuhnya cadangan majikan, iaitu peningkatan hanya RM50 untuk gaji minimum bulanan. Akan tetapi, setelah tekanan daripada kumpulan-kumpulan seperti PSM dan MTUC pada bulan Oktober tahun lepas, gaji minimum dinaikkan sebanyak RM100 dan menjadi RM1,100 sebulan dengan pelaksanaannya ditetapkan mulai Januari 2019. Kini, masih banyak syarikat dan majikan belum melaksanakan RM1100 ini. Lebih teruk lagi, sekarang Menteri Sumber Manusia secara tiba-tibanya memberi satu kenyataan yang menjurus kepada U-turn dalam perkara gaji minimum RM1,100.

Pekerja daripada golongan B40 yang meliputi 30% jumlah tenaga kerja masih hidup dengan pendapatan sekeluarga kurang daripada RM3000 sebulan. Mereka terus hidup dalam kemiskinan akibat gaji minimum yang sangat rendah ini. Sekarang ini, Menteri Sumber Manusia yang sepatutnya menjaga kepentingan pekerja membawa cadangan untuk kurangkan lagi gaji minimum yang bakal memberi kesan buruk kepada pekerja.

“Tindakan-tindakan U-turn yang berterusan yang dilakukan oleh Menteri Pakatan Harapan harus ditolak oleh golongan pekerja,” tegas S. Arutchelvan.

M. Sivaranjani mengkritik amalan Kerajaan yang melambatkan proses mengkaji semula dan pelarasan gaji minimum sebelum ini. Pelarasan gaji minimum yang pertama sepatutnya dibuat pada bulan Januari 2015 tetapi telah ditangguh ke bulan Jun 2016, dan pelarasan yang kedua pula tertangguh selama 6 bulan. Ini sebenarnya menjadikan kita ketinggalan satu penggal (iaitu 2 tahun) dalam kajian semula dan pelarasan gaji minimum.

Sivaranjani juga membangkitkan isu bahawa kadar gaji minimum yang ditetapkan setiap kali pelarasan itu sebenarnya adalah pada paras terendah dan tidak selaras dengan janji-janji yang ditaburkan oleh Kerajaan. Sivaranjani juga mengingatkan bahawa Pakatan Harapan menjanjikan bahawa gaji minimum akan dinaikkan ke RM1,500 dalam satu penggal pentadbiran. Sivaranjani berkata, “nampaknya hanya tinggal satu lagi kali pelarasan gaji minimum selepas ini sebelum tamatnya penggal pentadbiran Pakatan Harapan, adakah Kerajaan Pakatan Harapan akan naikkan gaji sebanyak RM400 dalam pelarasan gaji minimum seterusnya?”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *