SEMENYIH, SELANGOR – 25 FEBRUARI 2019: Pemuda Parti Sosialis Malaysia menyarankan supaya menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) kerana ia merupakan sebuah model yang tidak mampan, dan perlu digantikan dengan pendidikan percuma untuk semua sehingga peringkat tertiari. Saranan ini dibuat oleh Pemuda PSM dalam sidang akhbar khas yang diadakan pada hari ini bersempena dengan Pilihanraya Kecil (PRK) untuk kawasan DUN Semenyih.
Sidang akhbar tersebut dihadiri oleh Nik Aziz Afiq (calon PSM untuk PRK Semenyih), Sharan Raj (Ahli Jawatankuasa Gerakan Pembebasan Akademik) dan Gandipan (Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda PSM).
Menurut Gandipan, “Pada hari ini, terdapat institusi-institusi pendidikan swasta yang menawarkan kursus-kursus yang berkos sangat tinggi dan kos tersebut memang tidak masuk akal. Sementara itu, kerajaan baru tiada aspirasi untuk membina lebih banyak universiti awam dan meningkatkan kapasiti universiti-universiti awam yang sedia ada. Ini menyebabkan pemuda-pemudi negara ini terpaksa mengambil hutang beribu-ribu untuk melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pendidikan swasta.”
“Beberapa institusi pendidikan yang dimiliki kerajaan secara melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berfungsi seperti institusi pengajian swasta yang bermotifkan keuntungan. Kami juga difahamkan bahawa Menteri Pendidikan sedang merangka pelan untuk mengurangkan peraturan-peraturan terhadap institusi-institusi swasta atas alasan inovasi universiti tidak disekat,” ulas Gandipan. “Pada masa yang sama, PTPTN pula menghadapi cabaran dalam mengutip balik hutang dan kekurangan dana untuk memberi pinjaman baru.” Setakat ini, terdapat seramai 373,975 orang peminjam PTPTN tidak pernah membuat bayaran balik, dan 627,350 orang lagi membayar balik pinjaman PTPTN secara tidak konsisten.
“Kerajaan Malaysia juga harus memberi penjelasan tentang pelepasan cukai kepada syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman pekerja,” tambah Gandipan.
PSM menyarankan supaya:
- Menghapuskan PTPTN sebab ia merupakan sebuah model yang tidak mampan;
- Membina lebih banyak institusi pengajian awam dan menambahbaik kapasiti institusi-institusi pengajian awam yang sedia ada.
- Kerajaan mengambilalih institusi-institusi pendidikan milik negeri atau GLC, dan menjadikan ia sebagai awam;
- Pastikan dasar-dasar pendidikan baik untuk rakyat biasa diteruskan dan dana tidak dikurangkan dengan alasan hutang negara, kerajaan perlu melabur untuk pertumbuhan bukan melabur berasaskan pertumbuhan.
Dalam sidang media hari ini, Nik Aziz Afiq, calon PSM untuk PRK Semenyih, membangkitkan isu anak muda tempatan menghadapi masalah melanjutkan pengajian ke tingkatan enam di kawasan Semenyih. Kursus tingkatan enam yang pernah ditawarkan di SMK Tasik Kesuma yang terletak dalam kawasan DUN Semenyih tidak lagi wujud beberapa tahun kebelakangan ini tanpa sebab-sebab yang kukuh, dan ini menyebabkan anak-anak muda terpaksa pergi ke sekolah yang terletak lebih jauh di Kajang untuk melanjutkan pelajaran tingkatan enam. Salah satu isu utama yang diketengahkan dalam Manifesto PSM untuk PRK Semenyih ialah mengembalikan kelas tingkatan 6 di Semenyih.