calon

oleh K Pragalath

Sekitar 54,000 orang pengundi kawasan DUN Semenyih bakal memilih Ahli Dewan Undangan mereka dalam pilihanraya kecil (PRK) pada 2 Mac.

Sebagai salah seorang daripada 54,000 orang pengundi ini, ada beberapa persoalan yang ingin saya tujukan dalam menentukan siapa yang layak menerima undi anda dalam pertandingan 4 penjuru melibatkan PPBM/Pakatan Harapan, UMNO/BN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon bebas.

Mengapakah para pengundi masih mengundi untuk calon yang tidak mengemukakan manifesto tidak berdebat dan tidak mengisytihar harta?

Dalam PRU-14, semua pakatan politik dan parti politik mengetengahkan manifesto mereka, namun dalam PRK Semenyih, manifesto hanya dikemukakan oleh PSM.

Manifesto PSM meliputi isu perumahan, kemudahan kesihatan, pendidikan, alam sekitar, pengangkutan awam dan pilihanraya tempatan.

Apa pentingnya manifesto? Manifesto menunjukkan tahap kefahaman calon terhadap isu-isu yang menjadi permasalahan anda.  Manifesto ialah rancangan calon dan parti untuk masa depan pengundi DUN.

Para pengundi perlu ingat bahawa calon Bersatu, Umno dan Bebas dalam PRK Semenyih hingga hari ini gagal mengetengahkan manifesto mereka. Kegagalan mereka berbuat demikian menimbulkan persoalan mengenai matlamat calon-calon mereka. Apakah tujuan mereka hanya untuk menjadi Yang Berhormat saja? Hanya mereka yang tahu.

Sebagai seorang pengundi DUN Semenyih, Saya merasakan kejanggalan apabila calon Bersatu Muhammad Aiman Zainali enggan berdebat dalam sesi debat anjuran NGO BERSIH. Mengapa? Menurut laporan media, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan Aiman atas dasar Aiman kurang berkata lebih bekerja.

Hujah Syed Saddiq janggal kerana beliau sendiri merupakan tokoh yang berusaha membudayakan debat. Mengapa beliau gagal berbuat demikian dalam partinya sendiri? Mengapa tidak melatih Aiman berdebat? Hakikatnya ialah wakil rakyat perlu berkemahiran debat dalam proses membuat dasar sama ada di DUN mahupun Parlimen.

Sebagai seorang pengundi, saya memahami keengganan calon UMNO Zakaria Hanafi untuk menyertai sesi debat. Bossku, Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas presiden UMNO dalam tahun 2012 pernah menyatakan debat bukan budaya politik di Malaysia.

Sebagai pengundi, saya berasa pelik bin ajaib kerana Aiman Zainali daripada parti pemerintah gagal mengisytihar harta beliau sedangkan salah satu reformasi yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan ialah pengisytiharan harta. Sebagai calon, Aiman wajar membuat pengisytiharan tersebut kepada pengundi Semenyih seperti mana yang dibuat oleh Nik Aziz Afiq. Sekiranya Aiman berbuat demikian ia akan menunjukkan bahawa beliau turut sama membawa agenda reformasi Pakatan Harapan ke Semenyih.

Zakaria Hanafi juga wajar menuruti langkah pengisytiharan harta sebagai tanda penyucian UMNO dalam keadaan UMNO menjadi parti pembangkang tetapi tidak berbuat demikian. Apa yang hendak disembunyikan?

Persoalan kedua merujuk kepada peranan pembangkang di DUN Selangor. Daripada sejumlah 56 kerusi  DUN, empat kerusi dipegang UMNO dan satu kerusi oleh PAS.

Negeri Selangor dalam keadaan memerlukan wakil pembangkang kerana ahli pembangkang memainkan peranan semak dan imbang dalam sistem demokrasi.  Pengundi Semenyih mempunyai peluang untuk memperkasakan semak dan imbang di DUN Selangor.

Jika kita lihat keadaan UMNO sekarang, kecenderungan wakil rakyatnya untuk keluar parti dan menyertai Bersatu sangat tinggi. Salah satu sebab ialah Bersatu mirip kepada Umno 3.0.  Sekiranya pengundi Semenyih memilih UMNO sebagai wakil rakyat dan beliau bertindak keluar parti, tindakan tersebut seolah-olah menghina keputusan rakyat Semenyih.

Sementara itu, PAS turut berkempen untuk calon UMNO sedangkan parti tersebut keliru dalam menentukan hala tuju mereka.  PAS berada dalam Gagasan Sejahtera tetapi menyokong UMNO/BN dan pada masa sama turut menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Tahaluf apa yang dibawa PAS?

Dalam keadaan ini, PSM lebih menyerlah untuk memainkan peranan sebagai pembangkang di DUN Selangor.

==========

K. Pragalath ialah seorang pengundi di kawasan DUN Semenyih.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *