20190216085217__MG_1377-01-01.jpeg

KAJANG, SELANGOR – 16 Februari 2019: Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan DUN N24 Semenyih akan menyaksikan pertembungan 4 penjuru, dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengambil bahagian dalam pilihanraya kecil untuk kali pertama, walaupun ini merupakan kali ke-4 PSM meletakkan calon untuk bertanding di kawasan DUN Semenyih.

Proses penamaan untuk PRK Semenyih berlangsung di Dewan Seri Cempaka MPKJ pada hari ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima 4 pencalonan. 4 calon yang akan bertanding ialah:

  1. Muhammad Aiman bin Zainali (Pakatan Harapan – BERSATU)
  2. Zakaria bin Haji Hanafi (Barisan Nasional – UMNO)
  3. Kuan Chee Heng (Bebas)
  4. Nik Aziz Afiq bin Abdul (Parti Sosialis Malaysia)

Penyokong-penyokong PSM telah mengiringi calon PSM Nik Aziz Afiq ke pusat penamaan calon dengan perarakan yang penuh bersemangat. Turut hadir bersama pada hari ini termasuk Dr. Nasir Hashim (Pengerusi PSM), A. Sivarajan (Setiausaha Agung PSM), S. Arutchelvan (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM yang pernah bertanding di Semenyih untuk 3 Pilihanraya Umum yang lepas), Soh Sook Hwa (Bendahari PSM) dan Dr. Kua Kia Soong (aktivis sosial). Keluarga Nik Aziz termasuk ibu dan bapanya juga hadir untuk memberi sokongan kepada anak kesayangan mereka. Laungan slogan “Hidup Rakyat!”, “Hidup Sosialisme!” dan nyanyian lagu “Pembebasan” telah memeriahkan suasana di luar pusat penamaan calon.

52590122_1304426199716634_9075631329445412864_n.jpg

Setelah selesai proses pencalonan, Nik Aziz Afiq berucap di hadapan penyokong-penyokong, “Ini bukannya calon Nik Aziz, tapi calon sosialis, calon rakyat!”

Nik Aziz berkata, “Saya nasihatkan rakan-rakan sekalian supaya berkempen dengan penuh rendah diri, dengan penuh rasa sederhana, dan tidak memburuk-burukkan parti lawan. Kita akan tunjukkan apa yang kita buat (untuk membantu rakyat) dan apa yang kita mampu lakukan.”

“Menang kami berkhidmat, kalah pun kami berkhidmat. Memang ini cara politik PSM, tetap berkhidmat untuk rakyat!” begitu katanya Nik Aziz.

Dengan ini, bermulah kempen PSM untuk PRK Semenyih. Walaupun PSM menghadapi cabaran yang amat hebat dalam PRK Semenyih, khususnya berdepan dengan dua gergasi politik (Pakatan Harapan dan Barisan Nasional), namun dengan semangat melawan arus dan meraikan demokrasi, PSM akan berusaha sebaik mungkin untuk menawarkan alternatif politik baru yang bernafas segar kepada pengundi Semenyih. PSM sedia menawarkan semak-dan-imbang yang sebenar dalam Dewan Undangan Negeri Selangor dengan halatuju dasar yang berdasarkan kesejahteraan rakyat terbanyak.

Latar belakang PRK Semenyih

Kerusi DUN Semenyih di Selangor dikosongkan selepas penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia pada 11 Januari 2019. Pakatan Harapan menang kerusi DUN Semenyih dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018 dengan memperolehi 23,428 undi (50.76%) dalam pertandingan 4 penjuru yang melibatkan calon daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Menurut SPR, daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK ini mengandungi 54,503 orang pemilih berdaftar. SPR mensasarkan 70% pengundi akan keluar mengundi.

PSM pernah meletakkan calon untuk bertanding di kawasan DUN Semenyih untuk 3 PRU sebelum ini, iaitu pada tahun 2008, 2013 dan 2018. Calon PSM untuk kerusi DUN Semenyih dalam PRU-14, S. Arutchelvan, hanya mendapat undi sebanyak 1,293 undi (2.8% daripada jumlah undi). Oleh itu, PRK kali ini memang satu pertandingan yang amat mencabar untuk PSM.

**************************************************

Kebetulan yang menarik

PRK Semenyih kali ini merupakan kali yang ke-4 PSM bertanding di kawasan DUN N24 ini, dengan menyaksikan pertandingan 4 penjuru. PRK Semenyih merupakan pilihanraya kecil yang ke-4  untuk negeri Selangor sejak PRU-14. Calon PSM merupakan calon nombor 4 dalam kertas undi. Nampak adanya jodoh antara PSM Semenyih dengan nombor 4.

Dalam satu “pendedahan” dalam laman Facebook Nik Aziz, calon Pakatan Harapan untuk PRK Semenyih kali ini, Aiman Zainali, ialah pencadang bagi Allahyarham Bakhtiar dalam PRU-14 di kawasan DUN Semenyih, sementara Nik Aziz sendiri ialah pencadang untuk calon PSM S. Arutchelvan dalam PRU-14. “Tak sangka kami bertemu sekali lagi di dewan sama tetapi kali ini sebagai calon,” kata Nik Aziz.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s