20181017_101653 - Copy

oleh S. Arutchelvan

Kenyataan Tun Mahathir meminta kesatuan sekerja di negara ini supaya berubah sikap dengan tidak lagi berfungsi sebagai pengatur piket serta demonstrasi semata-mata, di samping pandangannya bahawa kesatuan sekerja perlu mengamalkan kesederhanaan, bekerjasama dan bertoleransi dalam semua perkara dan menjadi penghubung yang baik antara pekerja dengan majikan, adalah satu kenyataan yang lapuk yang pernah dikitarsemula olehnya dari dulu lagi.

Sebenarnya, adalah tugas kerajaan atau pemerintah untuk menjadi penghubung antara kesatuan sekerja dan majikan. Tugas kesatuan sekerja adalah untuk membela nasib kaum pekerja. Namun, tidak pernah pun kita dengar Tun Mahathir menegur pihak majikan untuk membayar gaji lebih tinggi, atau meminta majikan membina rumah untuk pekerja atau menaikkan faedah pekerjaan. Semasa pemerintahan Tun Mahathir sebelum ini, kesatuan sekerja kita berada dalam tahap yang paling lemah.

Di bawah pemerintahan Tun Mahathir, Kesatuan Sekerja di negara kita telah menjadi lemah, tidak boleh lagi memainkan peranan sebagai kesatuan yang dapat menjamin kebajikan pekerja. Di bawah pentadbirannya yang sebelum ini, undang-undang buruh telah dilemahkan, misalnya Kesatuan Sekerja Nasional untuk pekerja elektronik tidak dibenarkan kerana itulah kehendak kapitalis dari Jepun dan Korea Selatan semasa Tun Mahathir mengamalkan Dasar Pandang ke Timur. Hak kesatuan dikompromikan untuk membela kepentingan pelabur dan majikan.

Semasa pentadbiran Tun Mahahtir sebelum ini juga, beliau telah mewujudkan Malaysia Labour Organization (MLO) untuk melemahkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), membawa masuk pekerja migran dalam jumlah besar sehingga pekerja tempatan tiada lagi hak untuk berunding, dan terus memastikan piket atau mogok begitu sukar untuk dilakukan pekerja.

Pada zaman Tun Mahathir sebelum ini, akta gaji minimum dan akta lain yang pro-pekerja langsung tidak dilaksanakan. Malah, semasa krisis ekonomi, Tun Mahahtir telah menyelamatkan (bailout) banyak majikan termasuk syarikat kroni yang rapat dengannya tetapi pada masa yang sama tidak membela nasib kaum pekerja di negara kita.

Semua dasarnya adalah pro-majikan dan anti-pekerja. Maka kepada kesatuan sekerja yang menjemputnya mungkin dengan harapan boleh mendapatkan sesuatu dengan membodeknya, perlu ingat bahawa setiap kemenangan yang diperoleh kesatuan sekerja adalah kerana perjuangan pekerja. Kaum pekerja sebelum mereka yang berjuang untuk kerja 8 jam, berjuang untuk akta gaji minimum dan sebagainya. Mahathir pun dari dulu lagi secara konsintennya mengatakan pekerja malas, produktiviti rendah dan sebagainya. Namun, Mahathir tidak pernah berhujah mengenai mengurangkan jurang pendapatan antara yang kaya dengan yang miskin, mencukai mereka yang maha kaya dan sebagainya.

Piket dan mogok adalah senjata kesatuan sekerja yang amat berkesan. Namun, di bawah pentadbiran Mahahtir, undang-undang digubal menyebabkan pekerja tidak boleh menggunakan alat-alat ini untuk berjuang. Sangat kurang pekerja yang dapat berjuang pada hari ini kerana undang-undang yang membuli pekerja, di samping wujudnya lambakan pekerja asing yang sedia menggantikan kerja pekerja tempatan.

Mungkin Tun Mahathir sudah marah kerana baru-baru ini pekerja membantah Gaji Minimum RM 1050 yang sebenarnya dicadanngkan oleh kaum majikan dan bukan Majlis Perundingan Gaji Negara. Perjuangan pekerja dan demonstrasi pekerja berjaya menambahkan kenaikan gaji minimum dari RM50 kepada RM100. Sebenarnya pekerja memang tiada hasrat pun untuk berpiket atau demonstrasi. Hanya apabila penindasan sudah terlalu teruk dan mereka tiada jalan lain, maka mereka berpiket dan bermogok. Apabila pencuci tandas di mahkamah tidak dibayar gaji, mereka mogok. Pekerja hanya berpiket dan berdemonstrasi apabila keadaan terdesak.

Pekerja adalah nadi pembangunan negara. Pekerja bukan robot atau mesin. Mereka pun perlu makan dan perlu wang untuk menyara kehidupan serta menjamin kesihatan yang baik.

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *