44185932_10156715736694493_6089399955049414656_n

Kerajaan telah mengumumkan cadangan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,100 sebulan di seluruh Malaysia mulai 1 Januari 2019, semasa pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2 November 2018. Ini bermakna bahawa Kerajaan menaikkan gaji minimum sebanyak RM50 lagi berbanding cadangan awalnya (RM1,050) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada 5 September 2018, setelah pekerja-pekerja membantah dengan hebatnya kenaikan gaji minimum yang sedikit ini.

Jika bukannya aksi bantahan yang dianjurkan oleh Gabungan Bantah RM1050 pada 17 Oktober 2018, Kerajaan tidak akan mempertimbangkan untuk menaikkan lagi gaji minimum ke kadar yang lebih tinggi. Namun, adakah kadar gaji minimum RM1,100 ini mencukupi?

Adakah pekerja Malaysia menerima gaji minimum yang mampu sara hidup secara bermaruah?

nithiya0001

Janji Pakatan Harapan dan realiti 

Sebelum mengambilalih kuasa pentadbiran di peringkat Persekutuan, Pakatan Harapan telah menjanjikan bahawa gaji minimum akan disamaratakan untuk seluruh negara dan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan dalam tempoh masa 5 tahun.

Dalam “Sepuluh Janji Seratus Hari” yang digariskan dalam Buku Harapan, iaitu manifesto pilihanraya Pakatan Harapan semasa PRU-14, Pakatan Harapan menjanjikan bahawa akan “menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum”. Sementara itu, dalam Janji 34 Buku Harapan yang bertajuk “meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak”, telah dinyatakan bahawa “kadar gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan di seluruh negara dalam penggal pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan”.

Janji untuk menyamaratakan gaji minimum seluruh negara sudah pun dilaksanakan. Proses meningkatkan gaji minimum walaupun berlaku, tetapi perkembangannya agak lemban dan tidak memuaskan.  

Dengan kenaikan gaji minimum kepada RM1,100 sebulan mulai 1 Januari 2019, bermakna gaji minimum perlu dinaikkan kepada RM1,300 sebulan pada tahun 2021 dan kemudiannya kepada RM1,500 sebulan pada tahun 2023 sekiranya Kerajan Pakatan Harapan berhasrat menunaikan janjinya berkaitan dengan gaji minimum.

Mengikut Seksyen 25(1) Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), Majlis Perundingan Gaji Negara hendaklah mengkaji semula perintah gaji minimum sekurang-kurangnya sekali dalam tiap-tiap dua tahun. Namun, dalam realitinya, penetapan undang-undang untuk mengkaji semula gaji minimum ini tidak pernah diturut oleh Kerajaan sebelum ini. Dari 1 Januari 2013, iaitu apabila gaji minimum mula berkuatkuasa (dengan kadar gaji minimum RM900 untuk Semenanjung Malaysia, dan RM 800 untuk Sabah dan Sarawak), sehingga bulan Mei 2018 apabila Kerajaan Barisan Nasional digantikan dengan Kerajaan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan, gaji minimum hanya dinaikkan sekali sahaja, iaitu pada 1 Julai 2016. Pelarasan untuk gaji minimum pada kali pertama telah tertangguh selama setahun setengah, manakala pelarasan gaji minimum pada kali kedua yang terbaru ini pula telah tertangguh selama 6 bulan. Bolehkah Kerajaan Pakatan Harapan mengatasi masalah ini dan tidak tangguhkan lagi kajian semula dan pelarasan gaji minimum pada masa yang akan datang?

Jika Kerajaan Pakatan Harapan tidak lagi menangguhkan pelarasan gaji minimum pada masa akan datang, maka akan adanya dua kali lagi pelarasan gaji minimum sebelum pilihanraya akan datang, iaitu pada 1 Januari 2021 dan 1 Januari 2023.

Akan tetapi, jika Kerajaan Pakatan Harapan menunaikan sepenuhnya janji menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan dalam penggal pertama pentadbirannya pun, persoalannya adalah adakah RM1,500 sebulan sepadan dengan kos sara hidup pada 5 tahun akan datang? Mungkin RM1,500 sebulan mencukupi sekiranya tiada inflasi untuk 5 tahun akan datang, tetapi semua orang tahu ini adalah sesuatu yang tidak berkemungkinan. 

Cadangan daripada Majlis Perundingan Gaji Negara 

Dalam satu mesyuarat yang diadakan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) pada 17 Julai 2018, MPGN telah mencadangkan gaji minimum RM 1,250 sebulan untuk Semenanjung Malaysia, dan jika gaji perlu diseragamkan untuk seluruh negara, maka gaji minimum ditetapkan pada kadar RM 1,170 sebulan. Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) yang mewakili pihak majikan pula mencadangkan kenaikan RM50, iaitu menjadikan gaji minimum RM1,050 sebulan. MEF sejak dahulu lagi telah membantah pelaksanaan gaji minimum dan sentiasa menentang apa-apa kenaikan gaji minimum. Cadangan awal Kerajaan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,050 sebulan amat jelas bahawa Kerajaan telah tunduk sepenuhnya kepada kehendak golongan majikan pada masa itu. Jika bukannya bantahan daripada kumpulan-kumpulan seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan juga masyarakat sivil, Kerajaan tidak mungkin menaikkan lagi RM50 untuk meredakan kemarahan golongan pekerja.

Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji yang ditubuhkan di bawah Majlis Perundingan Gaji Negara, sebenarnya menggunakan satu formula untuk pengiraan gaji minimum.

18119214_1026996920792898_1893761664657623663_n

Pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang digunakan oleh Kerajaan Malaysia untuk pengiraan dalam formula ini adalah sangat rendah dan tidak menggambarkan kemiskinan sebenar dalam masyarakat kita pada masa kini.

Dengan menggunakan PGK sedemikian yang ditetapkan oleh kerajaan, pelarasan gaji minimum akan menggunakan pengiraan seperti Jadual 1:

z-minimumwage01a

Kadar gaji minimum RM1,368 sebulan untuk Semenanjung Malaysia, RM1,175 untuk Sabah dan RM 1,185 untuk Sarawak, walaupun agak rendah, tetapi secara relatifnya masih lebih tinggi daripada gaji minimum RM1,100 sebulan yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2019. Angka ini juga lebih tinggi daripada cadangan RM 1,170 sebulan daripada Majlis Perundingan Gaji Negara.

Jangan lupa, pengiraan ini adalah untuk gaji minimum yang sepatutnya pada tahun 2017, kadar gaji minimum terbaru RM1,100 sebulan hanya mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2019. Sememangnya angka untuk gaji median dan indeks harga pengguna sudahpun meningkat dalam dua tahun ini.

PSM tidak bersetuju dengan cara pengiraan menggunakan PGK mutlak yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan pada masa kini. Cara pengiraan yang dicadangkan oleh PSM untuk menetukan gaji minimum adalah dengan menggunakan kadar kemiskinan relatif, iaitu 60% daripada pendapatan median isi rumah bulanan. 

Tuntutan untuk gaji minimum yang mampu sara hidup

Jika kita menggunakan formula pengiraan gaji minimum yang dinyatakan di atas, dengan pendapatan garis kemiskinan (PGK) relatif, iaitu 60% daripada pendapatan median isi rumah bulanan, kita akan mendapat hasil pengiraan yang amat berbeza tetapi memberi gambaran yang lebih tepat tentang kadar gaji minimum yang sewajar dan sepatutnya.

z-minimumwage04

Dengan menggunakan angka pendapatan median isi rumah bagi sebulan di Semenanjung Malaysia pada tahun 2016, iaitu RM 5,228 sebulan, maka 60% daripadanya adalah RM 3,136 dan diambilkira sebagai PGK relatif.

Pengiraan gaji minimum dengan menggunakan PGK relatif adalah seperti jadual 2.

z-minimumwage02a

Jika menggunakan pengiraan gaji minimum mengikut PGK relatif, kadar gaji minimum ialah RM 2,071 di Semenanjung Malaysia, RM 1,720 di Sabah dan RM 1,767 di Sarawak.

RM1,100 dibandingkan dengan RM2,071, bezanya RM971. Ini bermakna pekerja bawahan di Malaysia menerima gaji minimum yang kurang sebanyak RM971 daripada yang sewajarnya, walaupun gaji minimum telah dinaikkan! 

PSM menuntut pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan sekarang juga dalam manifesto pilihanrayanya pada PRU-14 yang lepas. Jika banding dengan angka yang sepatutnya, tuntutan gaji minimum RM1,500 sebulan ini nampaknya bukan sesuatu yang berketerlaluan, malah masih dianggap rendah. MTUC pula menuntut kadar gaji minimum yang lebih tinggi, iaitu RM 1,800 sebulan. Dengan menyertai Gabungan Bantah RM1050 sebelum ini yang membantah kenaikan gaji minimum yang begitu sedikit, PSM juga bersetuju dengan tuntutan gaji minimum RM1,800 sebulan.

20181017_122259

Takut pelabur lari ke negara lain?

Salah satu hujah atau alasan yang diberikan oleh Kerajaan untuk tidak menaikkan gaji minimum ke paras yang lebih tinggi, adalah pelabur akan memindahkan pelaburan ke negara lain yang mempunyai kadar gaji yang lebih rendah.

Memang kadar gaji yang lebih tinggi untuk pekerja di Malaysia, akan mewujudkan keadaan yang merugikan untuk negara kita dalam “persaingan” dengan negara lain dalam mendapatkan pelaburan. Namun, walaupun mendapatkan pelaburan itu dapat mengembangkan ekonomi dan meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), tetapi pertumbuhan pelaburan dan peningkatan angka KDNK itu tidak bermakna untuk rakyat biasa sekiranya gaji sebenar pekerja tidak meningkat sejajar dengan pertumbuhan ekonomi. Sampai bila pekerja-pekerja yang menyumbangkan begitu banyak tenaga kepada pembangunan ekonomi akan terus dipinggirkan dengan gaji rendah?

Jika ancaman pengaliran keluar pelaburan akibat daripada kenaikan gaji minimum itu sesuatu yang terbukti benar (padahal dalam kebanyakan keadaan, hanyalah sekadar ugutan daripada pihak majikan untuk mengalihkan modal kerana enggan menaikkan gaji yang dianggap akan mengurangkan keuntungan mereka), kerajaan bukannya tidak dapat melakukan apa-apa.

Jika Kerajaan Malaysia betul-betul mahu meningkatkan imej dan kewibawaannya di peringkat antarabangsa, maka adalah patut untuk Kerajaan Malaysia mengambil kepimpinan dalam kerjasama serantau dengan mengemukakan mekanisme penetapan gaji minimum serantau, sekurang-kurangnya untuk rantau Asia Tenggara melalui struktur ASEAN.

Sebagai anggota dalam ASEAN dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), Kerajaan Malaysia boleh mengambil inisiatif untuk mewujudkan mekanisme serantau berkenaan dengan gaji minimum seperti mengenakan peraturan supaya semua negara ASEAN perlu meningkatkan gaji minimum untuk 10% setiap tahun secara serentak. Ini akan menyekat para pelabur daripada menggunakan kenaikan gaji minimum untuk memindahkan pelaburannya, walaupun kadar gaji minimum di negara ASEAN masing-masing adalah berbeza mengikut taraf hidup masyarakat setempat. Sekiranya ada negara yang engggan menaikkan kadar gaji minimum seperti negara yang lain, maka negara berkenaan akan dikenakan denda dari segi kenaikan kadar tarif ke atas barangan yang diekportnya kepada negara ASEAN yang lain.

20181017_101653 - Copy

Jika gaji minimum dikekalkan rendah, mana dia gaji sosial?

Dalam masyarakat moden, upah atau gaji pekerja boleh dibahagikan kepada dua bahagian, salah satu ialah gaji yang dibayar dalam bentuk matawang secara terus oleh majikan sebagai “ganjaran” untuk sumbangan tenaga daripada pekerja berkenaan; sementara satu bahagian lagi dikenali sebagai “gaji sosial”, iaitu gaji yang tidak dibayar secara terus kepada pekerja tetapi diberikan dalam bentuk perkhidmatan sosial atau kebajikan sosial (seperti kesihatan, pendidikan, perumahan awam, pengangkutan awam, pencen warga emas, bantuan pengangguran dan sebagainya). Gaji sosial dibayar oleh majikan secara tidak langsung kepada masyarakat umum melalui sistem percukaian progresif. Percukaian progresif memastikan sebahagian keuntungan yang diperoleh daripada golongan majikan hasil daripada sumbangan tenaga pekerja dapat disalurkan semula kepada masyarakat, supaya kekayaan masyarakat dapat diagihkan dengan lebih adil dan tidak mewujudkan jurang pendapatan yang semakin melebar. Sememangnya dalam sebuah masyarakat yang lebih bersifat sosialis, bahagian gaji sosialnya adalah semakin besar berbanding gaji secara langsung.

Oleh yang demikian, sekiranya kerajaan tidak menaikkan gaji minimum ke suatu tahap yang bersesuaian dengan jaminan kehidupan yang bermaruah untuk pekerja, maka kerajaan perlu mengambil langkah untuk meningkatkan gaji sosial kepada rakyat jelata. Sekiranya gaji sosial yang disalurkan kepada rakyat biasa termasuk pekerja itu adalah mencukupi, misalnya kesihatan awam yang berkualiti dan percuma, perumahan sosial yang mampu diduduki (dengan sewa rendah ataupun harga jualan yang mampu dibayar tanpa membebankan rakyat), pengangkutan awam dengan tambang amat rendah ataupun percuma, jaminan bayaran pencen warga emas yang mencukupi untuk menjalani kehidupan harian, dan sebagainya, maka gaji yang diperoleh seseorang pekerja itu sebenarnya tidak perlu terlalu tinggi, dan kehidupan rakyat biasa juga tidak akan terjejas walaupun gaji yang diperolehinya adalah rendah.

44390743_10156715733714493_3834058747555086336_n

Tangani masalah gaji rendah, menuju ke arah masyarakat berpendapatan tinggi yang sebenar

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran sendiri mengaku bahawa anak muda kita tidak mahu bekerja di sektor 3D (dirty, difficult, dangerous – kotor, susah, bahaya) kerana gaji yang ditawarkan untuk pekerja di sektor tersebut amat rendah. Kerja yang sama, tetapi kadar bayaran gaji begitu berbeza, antara negara Malaysia dengan negara-negara seperti Singapura, Australia dan Amerika Syarikat. Keadaaan ini wujud kerana ketidakseimbangan kuasa dalam sistem ekonomi global yang didominasi oleh korporat besar yang hanya mementingkan keuntungan mereka. Ini adalah manifestasi imperialisme baru dalam abad ke-21, di mana jurang pendapatan diwujudkan bukan sahaja dalam sesebuah negara tetapi antara negara untuk membolehkan korporat multi-nasional terus mengaut keuntungan lumayan daripada ketidaksamarataan ini. Jika kerajaan gagal memahami masalah pokok ini, maka ia akan sentiasa terikut-ikut dengan kehendak kuasa korporat dengan merendahkan gaji pekerja atas nama “persaingan”.

Di premis-premis kerajaan hari ini seperti sekolah awam, pekerja-pekerja pembersihan yang diupah oleh kontraktor swasta hanya menerima gaji minimum, betul-betul RM1,000 sebulan sekarang ini. Adakah kerajaan menganggap pekerjaan sebegini tidak mempunyai nilai penting dan dibayar dengan gaji yang begitu rendah sehingga menjatuhkan maruah pekerja? Jika pekerja-pekerja yang bekerja di premis kerajaan pun dibayar begitu rendah, apatah lagi dengan pekerja-pekerja yang bekerja di sektor swasta yang disumberkan luar (outsourced) kepada kontraktor? Kita memang perlu ubah sistem pekerjaan yang ada sekarang untuk memastikan jaminan pendapatan pekerja yang bermaruah.

Kerajaan sama ada yang sebelum ini ataupun sekarang, mahu menjadikan negara Malaysia sebuah negara yang berpendapatan tinggi. Namun, apakah maknanya untuk negara berpendapatan tinggi jika masih terdapat ramai rakyat pekerja yang terpaksa menanggung bebas kehidupan yang berat akibat daripada gaji rendah? Hanya sekadar pertumbuhan KDNK, tidak akan mendatangkan kesejahteraan kepada rakyat biasa. Kita perlukan pengagihan semula kekayaan negara yang dihasilkan oleh golongan pekerja dengan lebih adil dan saksama. Cara untuk mengagihkan kekayaan negara dengan lebih adil adalah sama ada meningkatkan gaji minimum ke tahap mampu sara hidup secara bermaruah, ataupun meningkatkan gaji sosial kepada rakyat jelata melalui kadar cukai progresif yang lebih tinggi.

Selain itu, memperkasakan kesatuan sekerja dengan meminda undang-undang sedia ada supaya kesatuan sekerja dapat diiktiraf dengan lebih mudah (misalnya pengiktirafan secara automatik untuk kesatuan sekerja supaya dapat terus menjalankan rundingan kolektif), kesatuan mempunyai lebih kebebasan untuk mengadakan tindakan industri dan sebagainya, juga akan dapat membantu dalam meningkatkan pendapatan pekerja. Gaji minimum pekerja dapat dinaikkan ke tahap lebih tinggi, di samping jaminan kenaikan gaji tahunan, boleh disertakan dalam perjanjian kolektif yang dibuat antara kesatuan sekerja dengan majikan. Kesatuan sekerja juga akan dapat melakukan aksi bantahan seperti piket dan mogok dengan lebih mudah, sekiranya majikan enggan menaikkan gaji ke tahap yang sewajarnya.

Semua pekerja layak menerima gaji yang mampu sara hidup secara bermaruah. Kita perlu tegas dalam menolak dasar yang mengekalkan gaji pekerja pada paras rendah yang menghina pekerja.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s