DRSNPP2030.jpg

(Berikut ialah kenyataan yang dikeluarkan oleh PSM Pulau Pinang pada 19 November 2018 berkenaan dengan Deraf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030)

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang amat khuatir dengan Deraf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (DRSNPP 2030) yang masih memasukkan pelancongan kesihatan sebagai langkah untuk pelaksanaan dasar perancangan yang bakal mendatangkan ancaman hebat kepada sistem kesihatan awam di negara kita.

Dalam DRSNPP 2030, telah digariskan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan “menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam penyediaan kemudahan kesihatan melalui pemberian insentif yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri ke arah memajukan ‘Health Tourism’ tanpa meminggirkan kemudahan kesihatan untuk penduduk tempatan” (perkara L 2.3.1.2, muka surat C2-8); dan “memperkasakan pelancongan kesihatan dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan kesihatan utama di rantau ini” (perkara L 3.1.1.8, muka surat C3-3).

Ini adalah sesuatu yang membimbangkan kerana sebarang usaha menggalakkan atau memperkasakan pelancongan kesihatan yang digerakkan oleh korporat swasta yang bermotifkan keuntungan hanya akan menggadaikan hak asasi rakyat dan memudaratkan sistem kesihatan awam negara kita yang sudahpun dihakis teruk oleh perkembangan sektor kesihatan swasta.

Pada takat ini, negara kita sedang menghadapi masalah serius penghijrahan pakar dari hospital kerajaan ke hospital swasta, di mana hanya tinggal 25% doktor pakar yang masih berkhidmat di hospital kerajaan sedangkan terdapatnya 70% pesakit dalam (in-patient) yang mendapat rawatan di hospital kerajaan. Trend ini wujud kerana kesan daripada perkembangan pesat sektor kesihatan swasta di negara kita untuk beberapa dekad kebelakangan ini, di samping kegagalan kerajaan dalam menyalurkan dana dan sumber yang mencukupi kepada peningkatan taraf perkhidmatan kesihatan awam. Pengwujudan hospital swasta baru ataupun perluasan hospital swasta yang sedia ada (untuk memenuhi “keperluan” pelancongan kesihatan) sudah tentunya akan mempercepatkan lagi penghijrahan doktor pakar dari hospital kerajaan ke sektor swasta. Dasar kerajaan yang menggalakkan/memperkasakan pelancongan kesihatan akan memburukkan lagi trend ini, dan menjejaskan sistem kesihatan negara kita secara keseluruhannya.

Penyediaan penjagaan kesihatan merupakan hak asasi manusia yang tidak patut diperniagakan untuk keuntungan korporat. Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan ataupun Kerajaan Negeri, tidak patut terlibat dalam usaha menggalakkan pelancongan kesihatan yang menjadikan penjagaan kesihatan itu sebagai sejenis komoditi yang boleh dijual beli dalam pasaran bebas.

Oleh yang demikian, PSM Pulau Pinang menyeru pada Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya:

  1. Keluarkan pelancongan kesihatan daripada Deraf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (DRSNPP 2030);
  2. Hentikan usaha mempromosi pelancongan kesihatan di negeri Pulau Pinang;
  3. Bekukan semua rancangan untuk pembinaan hospital swasta yang baru atau perluasan hospital swasta;
  4. Masukkan rancangan membina hospital kerajaan baru di kawasan padat penduduk seperti Bayan Baru, dalam DRSNPP 2030.

PSM Pulau Pinang menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya JANGAN jadikan Pulau Pinang sebagai pengkalan terdepan untuk kemusnahan sistem kesihatan awam di Malaysia.

Hentikan komodifikasi kesihatan rakyat!

***************

Berikut ialah maklum balas PSM Pulau Pinang terhadap Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (DRSNPP 2030) yang telah diserahkan kepada Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang:

1. Anggaran jumlah penduduk 2.45 juta orang menjelang tahun 2030 (muka surat A-5) adalah suatu angka yang diragukan dan tidak realistik. DRSNPP 2030 dirangka dengan anggaran jumlah penduduk ini, tetapi tidak mengemukakan analisis atau penjelasan yang konkrit tentang bagaimana boleh mendapat angka ini. Dalam RSNPP 2020 yang mengunjurkan pertambahan jumlah penduduk negeri Pulau Pinang pada tahun 2005-2020 dengan kadar pertumbuhan purata tahunan 1.9% dan mencecah 2 juta orang menjelang tahun 2020, tetapi sehingga kini tidak tercapai apa yang dijangkakan.

Adakah anggaran/galakan pertambahan penduduk yang begitu besar dalam 10 tahun akan datang ini hanya untuk semata-mata memenuhi kehendak untuk projek pembangunan dipacukan pemaju swasta yang bertujuan untuk mengaut keuntungan dengan menarik lebih ramai orang membeli hartanah di Pulau Pinang sedangkan sudah wujudnya lambakan unit hartanah di Pulau Pinang sekarang ini?

2. Pelan Induk Pengangkutan (TMP) yang digunakan sebagai asas rujukan utama untuk pelaksanaan pembangunan dalam DRSNPP 2030 (muka surat C1-1 & C1-2), merupakan satu pelan yang bermasalah dan tidak mampan. Pelan Induk Pengangkutan dalam versi terkini yang didominasi oleh SRS Consortium sebagai rakan pelaksana projek, mempunyai kecenderungan jelas yang mengutamakan pembinaan lebuhraya dan jalanraya yang bakal merangsang pertambahan jumlah penggunaan kenderaan persendirian, dan juga melibatkan pembukaan tanah di kawasan bukit yang akan menjejaskan matlamat untuk mencapai persekitaran yang bersih, hijau, selamat dan sihat. Usaha untuk mempertingkatkan pengangkutan awam juga akan terjejas sekiranya Pelan Induk Pengangkutan ini dilaksanakan. Versi Pelan Induk Pengangkutan yang wujud pada masa kini merupakan satu pelan yang perlu dikaji semula dan tidak patut digunakan sebagai panduan utama dalam rancangan struktur.

3. Kerajaan Negeri Pulau Pinang TIDAK PATUT menggalakkan pelancongan kesihatan dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan kesihatan utama di rantau ini (L 3.1.1.8, muka surat C3-3). Pelancongan kesihatan hanya menguntungkan sektor kesihatan swasta yang mengutamakan keuntungan dan pada masa yang sama terus menghakis perkhidmatan kesihatan awam di negara kita. Pada takat ini, pengaliran pakar dari sektor awam ke sektor swasta amat serius, di mana hanya tinggal 25% doktor pakar di hospital awam sedangkan terdapatnya 70% pesakit (in-patient) mendapat rawatan di hospital kerajaan. Dasar kerajaan yang menggalakkan/memperkasakan pelancongan kesihatan akan memburukkan lagi trend ini, dan menjejaskan sistem kesihatan negara kita secara keseluruhannya. Kami meminta supaya jangan jadikan Pulau Pinang sebagai pangkalan terdepan (bridgehead) kepada kemusnahan sistem kesihatan awam di Malaysia!

4. Peningkatan dalam jumlah ruang lantai perniagaan tidak semestinya menggambarkan pertumbuhan perdagangan yang kukuh sekiranya ruang lantai perniagaan tidak digunakan secara optimum, ataupun wujudnya ruang lantai perniagaan yang terbiar atau tidak terpakai. Adakah kajian dilakukan terhadap keoptimuman penggunaan ruang lantai perniagaan sekarang ini (sama ada ruang lantai perniagaan yang masih tidak terpakai) sebelum menetapkan sasaran penambahan sebanyak 30.36% (2014-2030) (muka suarat A-9)? Jika tidak, penambahan ruang lantai perniagaan ini akan menyebabkan pembaziran ruang.

5. Walaupun negeri Pulau Pinang bukannya negeri pengeluar pertanian yang utama, namun sektor pertanian adalah penting dalam menjamin pembekalan makanan kepada rakyat tempatan. Penurunan tanah pertanian (muka surat A-11) akan mendatangkan risiko ketidakjaminan dari segi keselamatan makanan (food security), di mana rakyat tempatan akan menghadapi masalah kenaikan harga makanan secara mendadak sekiranya berlaku krisis makanan sedunia.

6. Penetapan sekurang-kurangnya 30% dari unit rumah yang disediakan adalah perumahan mampu milik (muka surat A-14), adalah satu peratusan minimum yang tidak mencukupi. Rumah mampu milik diperlukan oleh golongan B40 dan M40, maka bagaimana 50% lagi penduduk berpendapatan rendah dan sederhana yang memerlukan rumah dapatkan perumahan mampu milik sekiranya pembekalan rumah mampu milik hanya mencapai kadar minimum 30% sahaja?

7. Cadangan menubuhkan “Lembaga Perumahan Negeri” (L 2.1.1.3, muka surat C2-3) adalah dialu-alukan, tetapi skop fungsi lembaga ini perlu diperluaskan untuk memastikan pembekalan rumah mampu milik benar-benar memanfaatkan rakyat biasa, bukannya untuk pemaju mengaut keuntungan.
• Lembaga Perumahan Negeri perlu dijadikan satu-satunya badan yang mengawalselia semua pengagihan rumah mampu milik (khususnya untuk pemilik rumah pertama), dan jika boleh, membina rumah secara terus melalui lembaga ini.
• Pengagihan rumah mampu milik perlu diasingkan/dikeluarkan daripada pasaran perumahan, supaya harga rumah mampu milik tidak dipengaruhi oleh harga pasaran bebas, dan hanya ditetapkan dengan mengambilkira kos pembinaan.
• Perlu wujudkan peraturan bahawa semua rumah yang diagihkan melalui Lembaga Perumahan Negeri tidak boleh dijual dalam pasaran bebas, dan perlu dijual kembali kepada Lembaga (dengan harga belian asal tambah dengan kadar inflasi). Ini akan dapat mengelakkan spekulasi harga rumah.

8. Hentikan penggunaan perkataan “setinggan” (DSP 2.1.3, muka surat C2-5) yang bersifat diskriminasi terhadap golongan peneroka bandar yang menduduki tanah yang bukan milik sendiri. Masyarakat peneroka bandar merupakan golongan yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi (seperti menjadi pekerja atau penjaja) dan perlu diiktiraf hak perumahan mereka. Sekiranya perlu penempatan semula untuk penduduk kawasan peneroka bandar di sesuatu kawasan, mereka perlu diberikan rumah ganti yang selesa SECARA PERCUMA di lokasi dalam lingkungan daerah yang sama atau tidak melebihi 5 km dari penempatan asal.

9. Dalam L 5.1.3.2 (muka surat C5-4), larangan untuk pembangunan perbandaran dalam RSNPP2020 “sebarang tanah yang berada pada aras melebihi 76m (250kaki) ATAU berkecerunan melebihi 25 darjah” telah ditukar kepada “sebarang tanah yang berada pada aras 76m (250kaki) ke atas DAN berkecerunan 25 darjah ke atas”. Ini bermakna sekatan untuk pembangunan di kawasan lereng bukit telah dilonggarkan, kerana kedua-dua kriteria ketingian dan kecerunan perlu wujud serentak baru boleh dikatakan melanggar sekatan tersebut. Negeri Pulau Pinang telah dilanda dua insiden tanah runtuh yang meragut nyawa puluhan orang di kawasan lereng bukit dalam tempoh masa setahun yang lepas (peristiwa tanah runtuh Granito dan Bukit Kukus), kenapa garis panduan untuk pembangunan di kawasan tanah bukit tidak diketatkan tetapi sebaliknya dilonggarkan? Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tragedi maut tidak berulang lagi melalui penggubalan dan pelaksanaan dasar.

10. Pembangunan projek Penang South Reclamation (PSR) seluas 4,500 ekar berbentuk pulau buatan (L 6.3.2.5, muka surat D5) adalah bercanggah dengan langkah memelihara eko-sistem kawasan perairan yang bersesuaian sebagai sumber perikanan (L5.1.6.5, muka surat C5-5). Tebus guna tanah yang melibatkan tambakan laut akan menghancurkan eko-sistem marin di Pulau Pinang, menjejaskan kemampanan persekitaran laut dan mengganggu punca pencarian golongan nelayan di sepanjang persisiran laut. Kemusnahan terhadap sumber alam semula jadi dan persekitaran persisiran pantai tidak dapat dipulihkan.

11. Pulau Gazumbo dan eko-sistem rumput laut di sekitarnya patut diwartakan sebagai kawasan sensitif alam sekitar dan menjadikannya sebagai Taman Marin Eko.

DRSNPP 2030 ini mempunyai banyak kelemahan dan gagal mengemukakan visi pembangunan yang benar-benar mampan untuk negeri Pulau Pinang yang menjamin kesejahteraan rakyat secara berterusan. Beberapa aspek penting dalam DRSNPP 2030 perlu dikaji semula, seperti unjuran pertumbuhan penduduk, Pelan Induk Pengangkutan yang tidak membantu pembangunan pengangkutan awam secara berkesan, dan galakan terhadap pelancongan kesihatan. Pelan ini akan membawa negeri Pulau Pinang ke arah pembangunan yang tidak mampan sekiranya tidak disemak semula. Kami meminta supaya DRSNPP dikaji semula dan dirangka semula dengan pertimbangan yang sewajarnya.

Kami juga menyeru pada pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang supaya mempertingkatkan keterlibatan masyarakat sivil dalam setiap peringkat perangkaan Rancangan Struktur Negeri.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *