studentmeetmazlee.jpgBerikut ialah kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 14 November 2018 oleh Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) dan Liga Pemuda Malaysian (LPM), berikutan perjumpaan dengan Menteri Pendidikan pada 12 November 2018.

Selepas beberapa pertukaran dalam media sosial antara banyak pihak berkaitan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), terutama sekali atas cadangan terbaru yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019 sehingga menjadi polemik, sebuah pertemuan bersama Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik telah diadakan pada 12 November 2018.

Pertemuan tersebut dihadiri oleh wakil-wakil daripada kumpulan pendesak termasuk Liga Pemuda Malaysia (LPM) dan Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP). Pertemuan berlangsung dengan tujuan mendapatkan penjelasan dan meneruskan desakan kepada pihak menteri dan kerajaan berkaitan isu seputar PTPTN dan pendidikan percuma.

Dalam pertemuan dua jam tersebut, perkara yang dibangkitkan adalah seperti berikut:

1. Menolak cadangan kerajaan dalam Belanjawan 2019 yang menetapkan kadar RM 1,000.00 sebagai gaji permulaan untuk pembayaran semula.

Dalam hal ini, kami bertegas bahawa walaupun kami berpendirian PTPTN perlu dimansuhkan satu hari nanti, tetapi untuk jangka masa pendek kerajaan perlu kembali kepada angka RM 4,000.00 gaji permulaan untuk bayaran semula seperti dinyatakan dalam manifesto pilihanraya, dengan kadar bayaran bermula sebanyak 4% pada kadar RM 4,000.00 sehingga ke 15% pada kadar RM 10,000.00 dengan kenaikan kadar peratusan mengikut kiraan kuantum yang terkait. Kami juga telah meminta pada kerajaan untuk menghapuskan faedah PTPTN sebagai penyelesaian awal.

Kami dimaklumkan bahawa cadangan dalam Belanjawan 2019 yang menetapkan pembayaran semula pada gaji RM 1,000 merupakan cadangan kontingensi yang dicipta oleh pengkaji PTPTN akibat bebanan hutang yang tinggi. Respon menteri adalah usul ini dibawa kepada perhatian pasukan ekonomi PTPTN dengan jaminan bahawa Menteri akan mengarahkan PTPTN memberi perhatian khusus kepadanya. Menteri turut menyatakan keperluan untuk perkara di atas mendapat perhatian daripada kementerian lain termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Menteri juga mencadangkan pada kami untuk membentangkan syor-syor kami kepada lembaga PTPTN sendiri.

2. Pendidikan tertiari percuma seharusnya dijadikan matlamat kerajaan dengan disusuli perancangan dan tindakan, selain Menteri harus menyatakan prinsip beliau ke atas agenda ini.

Sesuai dengan prinsip yang turut pernah dipersetujui gabungan Pakatan Harapan sebelum ini, pendidikan adalah sektor khidmat awam yang bertujuan untuk memenuhi hak asasi rakyat, bukan untuk menjadi tempat mengaut keuntungan daripada keperluan pelajar.

Meninggikan taraf pemotongan semula akan mengurangkan beban di bahu pelajar, walau bagaimanapun PTPTN dilihat sebagai satu entiti kewangan yang akan gagal dalam premisnya kerana ia dilaksanakan atas kegagalan sistem itu sendiri. PTPTN tenggelam dalam lambakan hutang adalah kerana salah satu sumber kewangan yang diambil oleh PTPTN adalah daripada peminjam sektor swasta yang memegang harga pasaran dengan kadar bunga. Memandangkan PTPTN adalah satu badan pinjaman bebas, pelajar adalah alat yang digunakan untuk membayar segala pinjaman yang telah dilakukan.

Adalah perkara yang tidak masuk akal, apabila graduan universiti diminta untuk membayar penuh jumlah PTPTN ketika sebahagian daripada pelajar tidak mungkin mendapat pekerjaan dengan bayaran yang setimpal atau berpenat lelah untuk menjaga ibubapa dan keluarga. Ianya sesuatu yang mustahil jika PTPTN ingin terus menjadi agen kewangan yang stabil, sambil menjalankan polisi bayaran balik yang tidak berperikemanusiaan.

Kami mengingatkan pada Kementerian bahawa PTPTN perlu dinasionalisasikan, dipisahkan daripada peminjam sektor swasta dan menggunakan kewangan hanya dari bajet yang disediakan. Memandangkan mereka adalah penerima manfaat dan hasil daripada sektor pendidikan hari ini, percukaian terhadap badan-badan korporat mestilah dilaksanakan. PTPTN dan kegagalannya mestilah akhirnya diganti dengan pendidikan percuma yang datang daripada hasil percukaian.

Sistem yang sedia ada termasuk PTPTN juga menyumbang kepada kemunduran fungsi pendidikan. Dengan demikian seharusnya menteri yang mewakili sebuah kerajaan baharu perlu menyatakan prinsip yang jelas berkaitan isu ini. Pada masa yang sama kerajaan perlu ada pelan yang strategik menjurus matlamat mengantikan PTPTN dan badan pinjaman lain kepada pendidikan percuma.

Respon menteri adalah beliau tidak mahu memberi komitmen terlalu awal sebelum isu-isu lain diselesaikan, namun beliau tidak menyatakan sebarang tentangan terhadap agenda tersebut. Kerajaan perlu mempersiapkan negara dengan matlamat-matlamat yang seumpamanya dengan kadar segera. Kecenderungan untuk mengelak daripada membuat perancangan jangka panjang menyebabkan tiada sebarang perkembangan dapat dilihat.

3. Menentang polisi penswastaan pendidikan dan salah laku IPTS

Kami juga menegaskan pendirian kami yang menentang polisi penswastaan dalam pendidikan kerana ia masih berterusan di bawah kerajaan baharu dan ini satu isu yang amat serius. PTPTN dilaksanakan pada zaman pembukaan sektor pendidikan yang bersaing dengan sektor pendidikan swasta pada tahun 1990-an oleh Dr Mahathir. Ini adalah jalan mudah bagi pelajar yang tidak mampu membayar yuran pendidikan di IPTS berdaftar. PTPTN memberi jaminan kewangan kepada IPTS dan ia telah berkembang pesat selama lebih 20 tahun. Kebanyakan adalah kolej-kolej yang menawarkan kursus ‘sub-par‘ yang tidak diiktiraf dan sememangnya pelajar yang datang daripada masyarakat B40 akan terperangkap dalam kolej ‘shoplot’ ini.

Polisi penswastaan pendidikan yang masih berterusan dalam kerajaan baru ini amat membimbangkan. Cukup malang lagi apabila kementerian dan pentadbiran universiti tersilap kefahaman bahawa ‘autonomi’ yang dimaksudkan adalah kebebasan yang memisahkan pendidikan daripada belanjawan. Yang kami mahukan adalah pendidikan tinggi dibiayai oleh dana awam. Autonomi yang kami maksudkan adalah kebebasan untuk memilih bagaimana menguruskan kewangan dan tidak melimitkan ia pada mereka yang berada dalam pentadbiran dan rakan kongsi korporat-korporat dalam sektor swasta, tetapi dibuat secara demokratik oleh kakitangan dan para pelajar di universiti.

Sebarang unsur bermotifkan keuntungan mestilah dielakkan seboleh mungkinnya demi kemaslahatan pelajar dan kewangan negara.  Kawalan kuasa termasuk had yuran IPTS mestilah diperketat. Kementerian memberi maklum balas bahawa kolej ‘shoplot’ (lebih kurang 30) telahpun ditutup. Kami menggesa kementerian untuk terus melaksanakan proses tersebut tetapi Kementerian tidak dapat memberikan respon segera terhadap dasar penswastaan.

4. Mahasiswa yang hilang tempat di bawah kerajaan BN sebab berpolitik.

Dalam isu lain, perkara yang turut ditimbulkan adalah status mahasiswa yang hilang tempat belajar di universiti disebabkan penglibatan dalam politik. Dalam isu ini, menteri memberi jaminan bahawa sesiapa yang terjejas boleh membuat surat rayuan untuk belajar semula dan dilanjutkan kepada pentadbiran universiti serta Menteri Pendidikan.

5. Langkah Seterusnya

Pertemuan ini membuatkan kami yakin bahawa masalah hutang PTPTN memerlukan penyelesaian yang drastik. Dalam membawa agenda pendidikan percuma, kami tegas bahawa kebajikan pelajar dan graduan tidak boleh dikorbankan demi kewangan negara sementara golongan kaya dan syarikat besar mendapat manfaat daripada mereka dan tidak juga disuruh ikat perut atau berkongsi beban.

Kami mengulangi tuntutan kami supaya Kerajaan memenuhi janji PTPTN di mana pembayaran balik hanya bermula pada gaji RM4,000. Kami akan terus dengan penyusunan kami supaya para graduan dan pelajar dapat melawan penghinaan ini. PTPTN, Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Kewangan haruslah mencari keberanian menjalankan reformasi struktur terhadap pembiayaan pendidikan di Malaysia menjurus matlamat pendidikan percuma, walaupun mungkin tidak bersetuju dengan kepentingan peminjam wang yang kini berkaitan dengan PTPTN.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s