Keputusan pengundian pusingan kedua Pilihanraya Presiden Brazil yang berlangsung pada 28 Oktober 2018, telah mencetuskan kebimbangan ramai orang di Brazil dan juga di peringkat antarabangsa, kerana negara terbesar di Amerika Selatan tersebut telah memilih seorang Presiden yang paling reaksioner and anti-demokratik sejak peralihan ke demokrasi di Brazil lebih 3 dekad dahulu.
Jair Bolsonaro, seorang ahli politik populis pelampau kanan yang digambarkan sebagai Donald Trump versi Brazil, telah mendapat sebanyak 55.13% undi dalam pengudian pusingan kedua Pilihanraya Presiden, mengalahkan calon Parti Pekerja (Partido dos Trabalhadores, singkatan PT) Fernando Haddad yang hanya mendapat undian 44.87%. Hampir 58 juta pengundi telah mengundi untuk Bolsonaro, walaupun jumlah undi ini kurang sedikit daripada yang diperoleh Lula da Silva pada tahun 2006 sebagai Presiden yang paling popular dalam sejarah Brazil, tetapi keputusan ini telah memberi satu isyarat kecemasan yang membimbangkan, kerana kebangkitan politik pelampau kanan sedang membahayakan demokrasi dan mengancam pencapaian sosial di Brazil yang dimenangi oleh perjuangan rakyat untuk 30 tahun yang lepas.
Bolsonaro mewakili Parti Liberal Sosial (PSL) yang bergabung dalam pakatan parti-parti berhaluan kanan yang bergelar “Brazil di atas Segala Benda, Tuhan di atas Semua Orang” (satu nama gabungan politik yang amat konservatif!). Dalam pengundian pusingan pertama untuk Pilihanraya Presiden yang diadakan pada 7 Oktober 2018, Bolsonaro memperoleh 46.03% daripada jumlah undi, sementara pesaing terdekatnya Haddad hanya mendapat undian sebanyak 29.28%.
Pilihanraya untuk Kongres Nasional Brazil kali ini juga menghasilkan perwakilan parlimen yang lebih konservatif, dengan parti-parti berhaluan kanan memperoleh 60% kerusi dalam Kongres. Sementara itu, sekutu Bolsonaro yang berhaluan kanan turut menguasai 3 buah negeri yang paling penting, iaitu São Paulo, Minas Gerais dan Rio de Janeiro.
Ancaman politik pelampau kanan
Kemenangan Bolsonaro merupakan penjelmaan fenomena global beberapa tahun kebelakangan ini di tanah Brazil, satu fenomena penularan politik pelampau kanan yang ditunjukkan melalui pemimpin politik populis kanan yang benci pada nilai-nilai demokrasi, mensasarkan serangan politik kebencian terhadap golongan minoriti, dan membangkitkan sentimen nolstagia tentang negara mereka yang pernah jadi hebat ketika dahulu (khususnya pada zaman pemerintahan kediktatoran atau pemimpin “hebat”). Bolsonaro merupakan jenis pelampau kanan yang paling ekstrim, kerana dia mempertahankan secara terbuka kediktatoran tentera yang pernah menzalimi rakyat Brazil dari tahun 1964 hingga 1985, dan juga pembunuhan ke atas pencabarnya.
Kemunculan Bolsonaro dengan politik populis pelampau kanannya sehingga mencapai kuasa pemerintahan melalui pilihanraya, merupakan hasil yang wujud daripada krisis politik dan ekonomi yang mendalam di Brazil beberapa tahun kebelakangan ini. Brazil telah mengalami kemelesetan ekonomi yang paling teruk sejak pemulihan demokrasi pada tahun 1985, skandal korupsi yang menjatuhkan kewibawaan parti-parti politik utama (khususnya Parti Pekerja yang sepatutnya mewakili kepentingan kelas pekerja Brazil), jenayah yang semakin serius (dengan 60,000 orang dibunuh dalam setahun). Bolsonaro telah memaparkan dirinya sebagai seorang di luar sistem pentadbiran yang memberontak terhadap kerajaan pemerintah sedia ada, membolehkannya meraih sokongan daripada rakyat Brazil yang sudah bosan dengan politik aliran utama dan tertekan dengan kehidupan yang susah tetapi tidak melihat alternatif yang lain.
Pendirian politik Bolsonaro amat bersifat nasionalis sempit, konservatif dan reaksioner. Dia amat benci pada golongan LGBT, orang berkulit hitam dan juga kumpulan rakyat yang terpinggir. Dia banyak kali menyatakan bahawa dia mengagumi pemerintahan kediktatoran yang pernah wujud di Amerika Latin, seperti Augusto Pinochet di Chile dan kediktaroran tentera di Brazil sendiri. Bolsonaro mendukung cara-cara pro-pasaran untuk mengeksploitasi sumber-sumber alam semulajadi di Brazil, termasuk berniat untuk menghapuskan dasar yang merizabkan tanah untuk puak orang asal dan melemahkan undang-undang perlindungan alam sekitar untuk membolehkan korporat membolot sumber alam demi menjana keuntungan lumayan bagi golongan mahakaya. Paru-paru dunia, kawasan Amazon yang sebahagian besarnya terletak di Brazil, sedang menghadapi ancaman yang paling serius daripada Presiden baru Brazil yang anti-alam sekitar ini.
Kemenangan Bolsonaro menimbulkan kebimbangan ramai, dalam dan luar negara Brazil. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semua negara yang memilih ahli politik pelampau kanan untuk menjadi pemimpin kerajaan, telah mengalami masalah penghakisan institusi demokrasi dan kemerosotan dalam perlindungan hak asasi manusia, sementara golongan minoriti terpaksa berdepan dengan pelbagai serangan dan kebebasan akhbar turut disekat. Jenayah kebencian merebak di negara yang ditadbir oleh golongan pelampau kanan.
Cabaran untuk politik kiri di Brazil
Kuasa kiri di Brazil, yang diwakili secara utamanya oleh Parti Pekerja di samping parti-parti lain daripada pelbagai aliran kiri, pernah mentadbir negara tersebut pada tahun 2003-2016, melalui kerajaan yang dipimpin of Lula da Silva dan Dilma Rousseff daripada Parti Pekerja. Kerajaan berhaluan kiri yang bersifat sederhana di Brazil ini, telah membawa kemajuan yang penting dalam membasmi kemiskinan dan memerangi ketidakadilan sosial di Brazil. Namun, pencapaian kuasa kiri telah dipatahkan oleh skandal korupsi yang melibatkan pemimpin politik Parti Pekerja dan juga kegagalan dalam strategi ekonomi yang dibawa oleh Rousseff yang menyebabkan kemerosotan ekonomi beberapa tahun kebelakangang ini. Rousseff telah dipecat oleh Senat yang dikuasai parti berhaluan kanan pada tahun 2016 atas pertuduhan salah guna kuasa, sementara Lula pula dipenjarakan atas kesalahan korupsi dan penggelapan wang. Ini telah memberi tamparan hebat kepada Parti Pekerja dan gerakan politik kiri di Brazil.
Namun, kekalahan calon Parti Pekerja dalam Pilihanraya Presiden kali ini, tidak bermakna politik kiri di Brazil sudah hancur. Parti-parti kiri masih menguasai 25% daripada kerusi Kongres dan juga kuasa pentadbiran di negeri-negeri utama di Timur Laut Brazil serta kawasan Amazon. Kuasa kiri di Brazil masih mempunyai asas yang kukuh di peringkat akar umbi untuk mengatur semula langkah dalam usaha menentang Presiden baru yang bakal melancarkan serangan terhadap kelas pekerja.
Bakal Menteri Kewangan di bawah Kerajaan Bolsonaro, Paulo Guedes, telah mengatakan bahawa kerajaannya akan mencontohi dasar ekonomi yang pernah dibawa oleh rejim kediktatoran Pinochet di Chile. Amat jelas sekali, rejim Bolsonaro akan menggunakan cara kuku besi untuk memperluaskan ruang mengaut keuntungan untuk golongan korporat dengan mengorbankan rakyat biasa. Rakyat Brazil akan berdepan dengan gelombang serangan hebat terhadap hak asasi manusia dan ketidakadilan sosial yang semakin hebat.
Pertembungan kelas yang hebat pastinya akan berlaku sekiranya Bolsonaro berdegil untuk melaksanakan dasar ekonomi ekstrim yang pro-korporat dan anti-pekerja. Bolsonaro berkemungkinan akan menggunakan kekuasaan tentera untuk memukul gerakan yang menentangnya. Kerajaan Bolsonaro merupakan ancaman hebat untuk rakyat biasa di Brazil dan juga di Dunia. Bolsonaro perlu ditentang secara habis-habisan.
Situasi bukannya sangat pesimistik untuk melawan balik. Ramai rakyat Brazil telah turun ke jalanan berprotes menentang Presiden baru ini. Brazil mempunyai masyarakat sivil dan gerakan sosial yang agak dinamik. Gerakan sosial dan golongan kiri di Brazil pastinya akan melangkah ke depan untuk mempertahankan kebebasan sivil daripada ancaman kerajaan yang anti-demokratik dan menentang dasar ekonomi yang anti-pekerja. Kesatuan pekerja dan gerakan massa seperti Gerakan Pekerja Tanpa Tanah (MST) di Brazil, memainkan peranan penting dalam terus memobilisasi rakyat untuk melawan balik dan menewaskan kemaraan politik pelampau kanan.
One thought on “Brazil: Pelampau kanan dipilih sebagai Presiden”