ptptn

(KENYATAAN BERSAMA – 5 November 2018)

Tahniah kepada kerajaan Pakatan Harapan yang meningkatkan belanjawan untuk sektor pendidikan daripada 59.96 bilion kepada 60.24 bilion. Namun, isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam belanjawan yang telah dibentangkan sangat regresif dan tidak mengambilkira langsung situasi rakyat hari ini.

Dalam isu PTPTN, kerajaan telah mengambil keputusan untuk memperkenalkan pembayaran balik melalui potongan gaji berjadual secara automatik antara 2% hingga 15% untuk peminjam berpendapatan melebihi RM 1,000 sebulan. Kalau mengambilkira gaji minimum yang baru, iaitu RM 1,100 yang sangat rendah, tidak ada seorang pun yang akan dikecualikan daripada membayar balik hutang PTPTN. Perkara ini akan menekankan rakyat kerana pekerja-pekerja Malaysia memang menerima gaji yang rendah yang tidak selaras dengan kenaikan harga barang dan keperluan terutamanya golongan B40.

Kebanyakan dalam kalangan B40 juga mempunyai pendapatan yang kurang daripada gaji yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia untuk seseorang pekerja mencapai taraf kehidupan berkualiti yangminimum. Menteri Kewangan juga tidak harus lupa bahawa gaji minimum di Malaysia lebih rendah berbanding negara-negara lain di ASEAN dari segi kuasa membeli. Pengenalan mekanisme pembayaran balik ini menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan langsung tidak mengambilkira situasi rakyat yang semakin ditekan dari segi ekonomi.

Kerajaan Malaysia seharusnya memberi penjelasan yang lebih mendalam tentang pelepasan cukai untuk syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman pekerja. Mekanisme ini langsung tidak memberi solusi kepada tekanan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja hari ini. Faktor pertama yang menyebabkan rakyat berhutang dengan PTPTN adalah kos pendidikan yang sangat tinggi oleh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang bermotifkan keuntungan serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mengalami masalah kewangan.

Intervensi kerajaan sangat diperlukan untuk membendung yuran yang tinggi oleh IPTS dan IPTA. Kerajaan Malaysia harus berhenti berfungsi sebagai institusi kewangan korporat yang hanya fokus pada memberi dan mengutip balik hutang dan faedah. Pertukaran kerajaan daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan sepatutnya membuka laluan kepada penggubalan dasar-dasar yang membantu kelas pekerja dan marhaen.

Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai hutang isi rumah yang tertinggi di Asia, maka kerajaan harus fokus dalam memperkukuhkan gaji sosial seperti pendidikan berkualiti yang percuma. Retorik hutang RM 1 trilion harus dihentikan dan tanggungjawab sesebuah kerajaan adalah untuk memastikan akses pendidikan yang terbuka untuk rakyat yang hendak melanjutkan pelajarannya dan memastikan sistem pendidikan tidak mendiskriminasikan rakyat berdasarkan status kewangan.

==========

Kenyataan bersama ini yang disokong oleh:

  1. Pemuda PSM
  2. Parti Murba
  3. Komrad Borneo
  4. Gerakan Pembebasan Akademik
  5. Malaysian Progressives of Australia (MPOZ)
  6. Suara Kolektif Uia
  7. Buku Jalanan Uia
  8. Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma
  9. Liberasi
  10. Nadi Mahasiswa
  11. PKPIM
  12. Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
  13. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
  14. Malaysia Muda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *