belanjawan2019-official.jpg

oleh Sivarajan Arumugam

Belanjawan 2019, sebagai Belanjawan Kerajaan Persekutuan baru Pakatan Harapan yang pertama, telah dibentangkan pada 2 November lalu. Sebelum Belanjawan ini dibentangkan, Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah memberi amaran bahawa rakyat harus mengikat perut atau berkorban demi untuk menjamin kestabilan kewangan negara.

Belanjawan 2019 ini akan menjadi “penjenamaan”(branding) Kerajaan Pakatan Harapan untuk menunjukkan bahawa agenda pembangunan dan keprihatinannya terhadap rakyat adalah jauh berbeza berbanding dengan Barisan Nasional dahulu. Walaupun ada beberapa usaha baru untuk menangani permasalahan rakyat, tetapi ianya masih gagal untuk keluar dari acuan ekonomi pro-pasaran bebas, dan pembangunan yang dikuasai oleh pihak swasta. Antara isu-isu yang harus didalami dan dipantau keefektifannya adalah seperti berikut:

1. Perkhidmatan kesihatan untuk rakyat

Menteri Kewangan telah mengumumkan dalam Belanjawan 2019 bahawa Kerajaan melalui usahasama dengan syarikat insurans swasta akan memperkenalkan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40, yang akan menyediakan perlindungan percuma ke atas 4 penyakit kritikal utama (belum dinyatakan lagi) sehingga RM 8,000 dan maksimum 14 hari pendapatan gantian semasa rawatan hospital pada kadar RM50 sehari atau bersamaan RM700 setahun. Menteri Kewangan berkata bahawa Great Eastern Life Insurance bersetuju untuk mencarum sebanyak RM 2 bilion ke dalam dana permulaan yang akan diuruskan oleh Bank Negara Malaysia.

Walaupun kita mengalu-alukan hasrat Kerajaan untuk membantu golongan B40 dalam menampung kos rawatan penyakit kritikal ini, tetapi kita risau bahawa peruntukan RM 8,000 seorang itu akan dilupuskan dengan cepat sekali. Memang menjadi kenyataan bahawa, sekiranya rawatan tersebut dijalani di hospital swasta, pihak swasta lebih cenderung untuk mengenakan caj yang tinggi jika seseorang itu dilindungi oleh insurans, kerana bayaran perubatan mereka dijamin oleh insurans. Pelbagai pemeriksaan diagnostik dicadangkan walaupun ianya tidak perlu. Ini akan menaikkan bil hospital dan melupuskan peruntukan RM 8,000 ini.

Apabila para pesakit kehabisan peruntukan RM 8,000 ini dan tidak mampu membayar dari poket sendiri rawatan seterusnya di hospital swasta, maka mereka akan dirujuk ke hospital kerajaan. Namun, mengikut Akta Fi Perubatan yang sedang dikuatkuasa sekarang, para pesakit yang dirujuk dari hospital swasta dikenakan caj Kelas Pertama di hospital kerajaan. Bayaran ini berlipat ganda caj kelas biasa. Maka mereka yang dilindungi insurans pada peringkat awalnya akan dibebani oleh caj kelas pertama kemudian. Oleh itu, kerajaan harus mengkaji Akta Fi Perubatan ini jika skim insurans ini diteruskan.

Kita dimaklumkan bahawa Kerajaan akan memperuntukkan hampir RM 29 bilion untuk perkhidmatan kesihatan yang merupakan peningkatan sebanyak 7.8% berbanding tahun lepas. Peruntukan ini termasuk RM 10.8 bilion bagi membaik pulih klinik dan hospital serta pembelian ubat-ubatan dan kelengkapan. PSM berharap bahawa Kerajaan juga akan mementingkan pembinaan hospital-hospital baru demi untuk mengurangkan kesesakan di hospital utama di pusat-pusat bandar. Kita perlukan Hospital Besar kedua di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Klang, Seremban, Pulau Pinang dan sebagainya. Jika kesesakan dalam hospital tidak dikurangkan, kualiti perkhidmatan kesihatan akan merosot.

2. Gaji Minimum

PSM amat tidak berpuashati dengan pengumuman kadar gaji minimum baru RM 1,100, iaitu penambahan hanya RM 50 daripada angka yang diumumkan pada bulan September lalu. Peningkatan RM 50 ini lebih rendah daripada cadangan Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji, iaitu RM 1,170. Apakah fungsinya Jawatankuasa ini jika cadangannya disia-siakan? PSM meragui bagaimana Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan janji manifesto RM1,500 akan dicapai dalam tempoh 5 tahun.

Kos kenaikan gaji minimum ini akan ditanggung oleh para majikan dan bukannya Kerajaan, di mana ianya tidak akan memberikan impak kepada kewangan negara. Jika Kerajaan Pakatan Harapan menetapkan gaji minimum yang lebih tinggi, maka ia secara langsung akan meningkatkan taraf hidup rakyat terbanyak dan mengurangkan kos Kerajaan untuk membantu keluarga di bawah paras kemiskinan.

Tambahannya pula, Kerajaan Pakatan Harapan juga telah mengulangi kesilapan yang dibuat oleh Kerajaan BN dulu dengan melambatkan kajian semula dan pelaksanaan kadar gaji minimum baru. Pekerja telah rugi 6 bulan gaji kerana ianya sepatutnya berkuatkuasa Jun 2018 ini.

Walaupun PSM menyokong inisiatif Belanjawan 2019 untuk memulakan semula kempen “ Belilah Barangan Malaysia”, tetapi jika warga pekerja tidak mempunyai gaji yang mencukupi, macam mana pula mereka akan membeli barangan keluaran tempatan dan menjayakan industri tempatan. Gaji yang munasabah merupakan factor yang penting untuk menjana ekonomi domestik. Kerajaan Pakatan Harapan gagal merealisasikan kitaran wang ini.

3. Jualan tanah kerajaan untuk menjana pendapatan Persekutuan

Menteri Kewangan menyatakan bahawa model kerjasama awam-swasta yang berdasarkan transaksi tanah secara tender terbuka dan bukannya menggunakan kaedah rundingan terus untuk mendapatkan harga tertinggi bagi tanah Kerajaan yang dijual akan dilaksanakan.

PSM risau dengan perancangan tersebut, kerana tanah di lokasi startegik harus digunakan oleh Kerajaan untuk projek-projek yang memanfaatkan rakyat. Baru-baru ini pun Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merungut bahawa Kerajaan Negeri gagal menyediakan tapak tanah untuk pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat. Kajian terbaru oleh Centre for Polisi Studies membongkarkan bahawa harga kebanyakan projek perumahan berhampiran dengan stesen MRT dan LRT adalah jauh lebih tinggi daripada harga rumah mampu milik.

Maka, PSM risau bahawa perancangan menjual tanah Kerajaan secara membuta tuli hanya dengan motif untuk menjana dana Kerajaan akan merencatkan pelbagai program perumaham mampu milik dan kemudahan asas untuk rakyat kerana semua tanah yang strategik telahpun dijual!

4. Perumahan untuk rakyat

PSM mengalu-alukan pelbagai inisiatif Kerajaan melalui Belanjawan 2019 untuk membantu rakyat membeli rumah. Antaranya dana berjumlah RM 1 bilion ditubuhkan oleh Bank Negara untuk pembelian rumah mampu milik berharga sehingga RM 150,000 untuk golongan berpendapatan tidak lebih daripada RM2,300 sebulan supaya dapat memiliki rumah buat kali pertama, Pinjaman ini akan diberikan oleh AmBank, CIMB Bank, Maybank, RHB Bank dan BSN melalui kadar pembiayaan serendah 3.5%. Yang keduanya ialah bagi pembeli rumah pertama dengan pendapatan isi rumah sehingga RM 5,000, Kerajaan akan memperuntukkan RM 25 juta kepada Cagamas Berhad untuk menyediakan jaminan pajak gadai bagi membolehkan peminjam mendapat pembiayaan yang lebih tinggi termasuk bayaran deposit. Ketiganya ialah yang terbaru iaitu konsep pinjaman terbuka antara rakan setara (peer-to-peer lending). Sebagai contoh, pembeli boleh membeli hartanah terpilih dengan bayaran 20% nilai hartanah manakala baki 80% akan dibiayai oleh pelabur yang ingin mendapat pulangan kenaikan nilai hartanah tersebut untuk suatu tempoh masa.

PSM berpendapat bahawa, inisiatif tersebut berhasrat murni tetapi ianya “tidak tepat pada sasaran” (miss the point) kerana masalah pokoknya adalah harga rumah yang melambung tinggi secara rasional. Skim-skim tersebut mungkin akan membantu pembiayaan rumah, tetapi pembeli masih terikat dengan jumlah pinjaman yang tinggi (kerana harga rumah tinggi) ditambah pula dengan faedah yang perlu dibayar balik. Jika mereka gagal untuk membayar balik, maka rumah mereka akan dilelong!

PSM mempersoalkan pada Kerajaan Pakatan Harapan yang begitu cekap dalam mengkaji semula kos projek-projek infrastruktur seperti ECRL, MRT2, LRT3 dan berjaya mengurangkan kos berbilion ringgit, kenapa pula kos rumah yang begitu penting untuk rakyat tidak dikaji dan mendesak pemaju untuk mengurangkan harganya? PSM berharap Kerajaan Pakatan Harapan akan mengkaji manipulasi harga oleh pemaju-pemaju yang mengaut keuntungan segera, kerana selepas proses jualan dan pembiayayan bank selesai, pemaju akan memperolehi bayaran terus dari bank. Pembelilah yang akan sangkut dengan pembayaran balik hutang tersebut selama 20-30 tahun yang akan datang.

5. Memperkasakan Orang Asli

Belanjawan 2019 memperuntukkan RM 100 juta untuk memperkasa pembangunan masyarakat Orang Asli melalui pembinaan dan menaiktaraf infrastruktur bagi bekalan air, penempatan semula, pendidikan, kebajikan dan pembangunan ekonomi.

PSM percaya bahawa usaha sebenar untuk memperkasakan Orang Asli adalah dengan memberikan jaminan hak tanah adat mereka. Apakah gunanya segala infrastruktur jika cara hidup mereka yang bergantung pada hutan diceroboh oleh kontraktor pembalak, pelombong dan pihak TNB yang hendak menenggelamkan kampung mereka untuk membina Empangan Hidro?

Maka, PSM mencadangkan supaya Belanjawan 2019 memperuntukkan suatu dana khas untuk membuat peta lakaran tanah adat bersama dengan komuniti Orang Asli dan kerja-kerja mewartakannya dijalankan dengan lancar. Barulah ini bermaksud untuk memperkasakan Orang Asli kita.

Perlunya perubahan nyata dalam paradigma pembangunan

Belanjawan 2019, belanjawan persekutuan yang pertama bagi Kerajaan Pakatan Harapan, nampaknya berhasrat murni untuk menaiktaraf kehidupan rakyat, tetapi ia gagal mengenalpasti masalah asas melalui kaca mata analisis kelas yang jelas. Maka, pelbagai usaha pembaharuan atau reformasi ingin dilaksanakan masih menggunakan mekanisme dan acuan pembangunan yang lama.

Sepertimana yang dinyatakan oleh Mahathir dalam sidang media selepas pembentangan belanjawan itu, Mahathir mengalu-alukan pandangan dan kritikan untuk memperbaiki belanjawan tersebut agar ia lebih berkesan. Maka dengan niat itulah, PSM berharap pada Kerajaan supaya mendengar dan membuat perubahan –perubahan yang nyata kepada perancangan mereka dalam Belanjawan 2019 ini kelak.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *