Sistem kapitalis digerakkan oleh persaingan. Tanpa persaingan, tiadanya masyarakat kapitalis.
Persaingan dalam masyarakat kapitalis, adalah persaigan golongan kapitalis untuk mengumpul modal dengan memaksimumkan keuntungan. Golongan kapitalis sanggup melakukan apa-apa sahaja demi survival diri sendiri dan menumpaskan pesaingnya dalam masyarakat kapitalis.
Jika masyarakat tidak lagi mempunyai persaingan, maka masyarakat itu bukan lagi masyarakat kapitalis. Ini kerana dengan tidak wujudnya lagi persaingan, pengumpulan modal dan kebanyakan aktiviti ekonomi kapitalis akan kehilangan motifnya.
Asas untuk persaingan:
- Pasaran yang tiada had.
- Kewujudan banyak pusat yang membuat keputusan, khususnya keputusan berkaitan dengan pelaburan dan pengeluaran.
Mitos kapitalis adalah menganggap pasaran itu tiada had, tiada sempadannya. Jika adapun, mereka akan cuba sedaya upaya untuk menembusi sempadan itu untuk membuka pasaran yang lebih luas.
Keputusan untuk melaburkan modal dan mengeluarkan apa jenis barangan itu ditentukan oleh kapitalis-kapitalis yang memiliki kilang-kilang berasingan. Mereka merancang dalam syarikatnya untuk menghasilkan barangan tanpa membuat penyelarasan dengan kapitalis yang lain, kerana mereka tidak mahu kapitalis lain menewaskan mereka dalam persaingan untuk mengumpul modal.
Jika seseorang kapitalis memonopoli semua pengeluaran dalam sesuatu sektor industri, persaingan tidak akan hilang, kerana masih wujudnya pasaran yang tiada had. Sektor industri tersebut perlu bersaing dengan sektor industri yang lain, untuk memperoleh sebanyak pasaran yang mungkin. Tambahan pula, pesaing luar juga mungkin muncul bila-bila masa, dan mula bersaing dalam sektor industri yang sama.
Jika pasaran kapitalis dihadkan, syarikat-syarikat korporat akan bersaing sesama sendiri untuk menguasai sebahagian pasaran yang terhad ini. Oleh itu, persaingan semestinya akan wujud juga.
Persaingan hanya boleh dihapuskan apabila kedua-dua di bawah ini berlaku serentak:
- Semua barangan dihasilkan oleh seorang pengeluar sahaja;
- Pasaran dibekukan sepenuhnya, dan tiada lagi perluasan pasaran.
Kapitalis sentiasa mencari jalan untuk memperluaskan pasaran supaya dapat mengaut lebih keuntungan. Para kapitalis bersaing sesama sendiri untuk menjual barangan mereka, dan kapitalis yang dapat menghasilkan barangan yang dijual dengan harga lebih murah akan mempunyai kelebihan untuk bersaing.
Wujudnya satu fenomena yang dialektik dalam ekonomi kapitalis: oleh sebab pengeluaran komoditi pada kadar yang semakin cepat dalam industri kapitalis, nilai tenaga buruh akan semakin berkurangan; namun, disebabkan juga banyak barangan yang hanya digunakan oleh segelintir kecil orang dalam masyarakat sebelum ini telah bertukar menjadi barangan kegunaan ramai (kerana penurunan harga berikutan daripada pengeluaran secara besar-besaran), maka nilai tenaga kerja juga meningkat pada masa yang sama.
Pasaran yang tiada had, bukan sahaja perluasan dari segi geografi, tetapi juga melibatkan perluasan secara ekonomi dan kuasa beli. Secara geografi, memang ada hadnya untuk bumi kita, dan kita tidak berdagang dengan makhluk planet Marikh (jika ada). Namun, pasaran masih boleh berkembang dengan bertambahnya kuasa beli. Kuasa beli boleh bertambah dengan peningkatan pendapatan pekerja ataupun penurunan harga barangan kerana pengeluaran besar-besaran.
Apabila sistem perbankan berkembang dengan pesat, pinjaman wang kepada golongan pekerja juga menjadi satu cara untuk meningkatkan kuasa beli untuk memastikan perluasan pasaran.
Seringkali juga kapitalis “mencipta” barangan baru yang tidak diperlukan sebelum ini, dan mengiklankannya sebagai sesuatu “keperluan”, supaya dapat memperluaskan pasarannya. Ada juga kapitalis yang mengeluarkan barangan yang berjangka hayat lebih pendek supaya para pengguna akan menukarnya dengan membeli yang baru.
Pengejaran untuk keuntungan semestinya akan membawa kepada pembaziran.
Dengan adanya pengumpulan modal daripada penghasilan nilai surplus oleh pekerja, kapitalis boleh melabur lebih modal dalam pengeluaran untuk membeli mesin baru dan menaiktaraf proses pengeluarannya sehingga boleh menghasilkan lebih barangan. Pengeluaran secara besar-besaran juga akan mengurangkan kos pengeluaran itu dan membolehkan seseorang kapitalis itu menewaskan pesaingnya yang tidak mampu menjual barangannya (kerana kos pengeluaran lebih tinggi).
Harga sesuatu barangan itu berkurang dengan peningkatan dalam kadar pengeluaran buruh. Ini kerana masa buruh yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu barangan itu semakin berkurang. Ini merupakan alat untuk kapitalis memperluaskan pasaran dan menewaskan pesaingnya. Cara untuk mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan kuantiti pengeluaran adalah melalui perkembangan automasi, iaitu pengeluaran menggunakan mesin. Dalam sejarah perkembangan sistem kapitalis, “Revolusi Industri” tercetus dengan penggunaan enjin stim, kemudiannya berkembang pesat dengan penggunaan minyak petroleum, dan lepas itu tenaga elektrik.
Namun, automasi atau penggunaan mesin secara berleluasa membawa kepada satu masalah yang serius, iaitu mesin-mesin ini telah menggantikan tenaga buruh. Seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelum ini, dalam komposisi organik modal, hanya tenaga buruh itu yang menghasilkan nilai baru, bukannya modal tetap yang termasuk mesin-mesin. Apabila pekerja kehilangan kerja kerana digantikan oleh mesin, mereka akan kehilangan rezeki, kerana mereka tidak dapat mencipta nilai baru yang dibayar sebagai gaji kepada mereka untuk membeli keperluan hidup. Pekerja juga merupakan pengguna, dan mereka tidak akan dapat membeli barangan yang dihasilkan dari kilang, maka kapitalis juga tidak akan mendapat nilai surplus kerana barangannya tidak dapat dijual.
Satu lagi hukum abadi masyarakat kapitalis adalah penumpuan dan pemusatan modal.
Persaingan antara kapitalis dalam pasaran bebas akhirnya akan menyebabkan modal semakin tertumpu dalam tangan segelintir kapitalis yang mempunyai “daya saing” yang lebih hebat. Daya saing di sini bermakna kemampuan seseorang kapitalis itu memaksimumkan keuntungannya dengan menjual barangannya dengan harga lebih murah. Kapitalis hanya boleh berbuat demikian dengan meningkatkan tahap pemerasannya terhadap pekerja.
Persaingan antara kapitalis akan menjadikan sebahagian orang dalam kelas kapitalis itu diturunkan taraf kepada proletariat. Segelintir kecil orang dalam kelas kapitalis melucutkan identiti kapitalis sebahagian orang yang lain. Ini adalah satu proses mewujudkan golongan kapitalis yang maha kaya, iaitu monopoli. Amat ironinya dalam sistem kapitalis, persaingan membawa kepada monopoli.
Secara amnya, dalam sektor industri dengan komposisi organik modal yang semakin besar, penumpuan modalnya adalah semakin hebat. Sebaliknya, jika komposisi organik modal itu semakin kurang, penumpuan modal itu adalah tidak ketara. Ini kerana semakin kecil komposisi organik modal, maka semakin kurang modal yang diperlukan untuk memulakan bisnes dalam sektor industri itu.
Misalnya, untuk mewujudkan sebuah kilang pengetinan makanan itu hanya memerlukan modal permulaan lebih kurang beberapa juta ringgit, tetapi untuk memulakan sebuah kilang keluli itu pula memerlukan beratus juta ringgit. Jadi, sektor pengeluaran keluli itu lebih cenderung untuk berlakunya penumpuan modal kerana hanya kapitalis yang memiliki modal yang jauh lebih besar dapat memulakannya berbanding dengan kilang pengetinan makanan.
Kapitalisme adalah hasil daripada persaingan bebas. Tanpa persaingan, sistem kapitalis itu tidak mungkin wujud. Tetapi persaingan bebas menyebabkan penumpuan dan pemusatan modal. Pemusatan mewujudkan apa yang bertentangan dengan persaingan bebas, iaitu monopoli.
Apabila pasaran kapitalis itu hanya tinggal bebarapa syarikat besar yang memonopoli pengeluaran, mereka akan dapat mencapai persetujuan secara mudah untuk membahagikan pasaran sesama mereka sendiri, dan menghalang penurunan harga barangan yang mengurangkan keuntungan mereka. Ini akhirnya akan merugikan para pengguna.
Oleh itu, kita dapat perhatikan bahawa, dalam perkembangan peringkat awal kapitalisme pada abad ke-19, iaitu dalam tempoh kurang daripada 100 tahun, trend dinamik sistem kapitalis itu telah berubah dengan hebatnya. Pada awalnya, bilangan syarikat yang terlibat dalam pengeluaran itu semakin bertambah, pengeluaran itu bertambah dan harga barang semakin turun. Namun, apabila sampai ke satu tahap di mana persaingan itu mencapai kemuncaknya, kekayaan semakin tertumpu dalam tangan segelintir kecil syarikat besar yang mempunyai “daya saing” lebih hebat, sehingga bilangan syarikat semakin kurang. Syarikat-syarikat yang tinggal itu telah membuat persetujuan untuk mengelakkan penurunan harga barang yang berterusan, dengan menghadkan kuantiti pengeluaran. Era kapitalis monopoli yang wujud pada tahun 1870-an telah menggantikan era kapitalis persaingan bebas sebelum itu.
Dalam kapitalis monopoli, golongan kapitalis tidak lagi menggunakan cara meningkatkan pengeluaran untuk menurunkan harga, tetapi menggunakan cara mengagihkan pasaran sesama kapitalis, dan menetapkan had pengeluaran untuk pasaran. Ini mewujudkan satu fenomena yang aneh, iaitu kapitalis yang bermula sebagai seorang pesaing, sekarang itu bersekongkol dengan pesaing yang lain untuk menghadkan persaingan dan mengurangkan pengeluaran. Sebabnya? Ini merupakan satu cara untuk meningkatkan keuntungan. Seperti mana yang diulang dan ulang lagi, motif kapitalis adalah memaksimumkan keuntungan. Di peringkat kapitalisme monopoli, iaitu apabila modal semakin tertumpu dan dipusatkan dalam tangan segelintir kecil golongan kapitalis besar, mereka hanya boleh mendapat keuntungan yang lebih dengan cara begini: mengurangkan pengeluaran untuk menaikkan harga, supaya boleh dapat lebih keuntungan yang mendorong pengumpulan modal.
Modal baru yang dikumpulkan dengan cara monopoli itu, tidak boleh lagi dilaburkan dalam sektor industri yang sama lagi. Ini kerana jika kapitalis itu melabur lagi, ia akan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan menambahkan kuantiti pengeluaran, sehingga menyebabkan kejatuhan harga barangan (yang mengurangkan keuntungannya). Inilah kontradiksi yang dialami oleh sistem kapitalis sejak abad ke-19.
Oleh yang demikian, timbulnya satu sifat baru untuk modal dan sistem kapitalis, iaitu kapitalisme menular ke seluruh dunia melalui pengeksportan modal. Pengeksportan modal ini membolehkan syarikat kapitalis didirikan di tempat-tempat yang belum wujudnya sistem kapitalis monopoli. Kegiatan ini membawa kepada satu fenomena baru yang dipanggil imperialisme.