45089326_1951837211600177_2635738377772597248_n.jpg

GEORGE TOWN, PULAU PINANG – 31 OKTOBER 2018: Sekumpulan penduduk dari Pangsapuri Ampang Jajar telah yang menghadapi ancaman pengusiran daripada Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berhimpun di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri di KOMTAR pada hari ini, untuk menyerahkan satu memorandum yang memohon pada Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya membatalkan notis pengusiran paksa berkenaan dan mengadakan perbincangan dengan penduduk yang terlibat.

Pangsapuri Ampang Jajar merupakan rumah sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Permatang Pauh, Seberang Perai, yang diselia oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Penghuni di 45 unit rumah di Pangsapuri Ampang Jajar telah menerima notis pada 1 Oktober 2018 yang menyuruh mereka untuk keluar dari unit rumah pangsapuri ini sebelum 31 Oktober 2018. Notis tersebut menyatakan pelbagai alasan untuk mengusir penduduk di situ. Penduduk di 17 unit rumah yang menghadapi pengusiran paksa telah bergabung dan mengemukakan rayuan kepada pihak Kerajaan Negeri.

Para penduduk yang diancam pengusiran telah menghantar surat rayuan kepada pihak Bahagian Perumahan, sama ada di Mak Mandin ataupun KOMTAR, untuk menjelaskan sebab mereka masih memerlukan rumah sewa ini. Mereka juga menyerahkan surat rayuan secara kelompok kepada pihak Exco Perumahan Jagdeep Singh Deo dan Bahagian Perumahan pada 26 Oktober 2018.

Tuntutan penduduk Pangsapuri Ampang Jajar kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah :

  1. Batalkan notis pengusiran dan mengadakan perbincangan dengan penduduk yang terlibat.
  1. Ubahsuai syarat-syarat perumahan PPR Pulau Pinang yang anti-pekerja
  • Gaji minimum telah dinaikkan ke RM 1,000 sejak dua tahun lalu. Kerajaan hanya mengumumkan kenaikan RM 50 untuk gaji minimum bagi tahun depan. Paras kemiskinan pula ditetapkan pada RM 920 sebulan. Jadi, mengapakah syarat pendapatan maksimum untuk permohonan rumah PPR di negeri Pulau Pinang masih ditetapkan pada kadar RM 750.00 untuk seorang manakala pendapatan seisi sekeluarga perlu kurang daripada RM 1,500.00?
  • Pendapatan isi rumah kasar purata Pulau Pinang adalah antara yang tertinggi di Malaysia dengan kadar RM 6,771 (tahun 2016), dan keluarga B40 di Pulau Pinang kebanyakannya mempunyai pendapatan isi rumah melebihi RM 1,500 jika kedua-dua suami isteri bekerja (dengan gaji minimum RM 1,000 sebulan), maka meletakkan syarat pendapatan isi rumah kurang RM 1,500 untuk PPR adalah tidak masuk akal.
  • Syarat memohon PPR Persekutuan ialah pendapatan isi rumah di bawah RM 3,000.00 sebulan, jauh lebih tinggi daripada paras yang ditetapkan di Pulau Pinang.
  • Semua mangsa pengusiran yang disenaraikan dalam memorandum adalah rakyat B40 atau pekerja biasa, seperti operator kilang, pekerja pembersihan, buruh kasar, pekerja kawalankeselamatan, orang kelainan upaya (OKU) yang bekerja dan sebagainya. Gaji mereka adalah pada paras gaji minimum RM 1,000. Ini membuatkan mereka disasarkan sebagai tidak layak untuk menduduki rumah PPR.
  • Syarat memohon PPR yang anti-pekerja pada masa kini agak mengelirukan kerana ini memberi bayangan palsu bahawa hanya mereka yang tidak bekerja formal sahaja boleh menduduki rumah PPR. Pekerja formal / biasa tidak layak untuk menduduki rumah PPR.
  1. Hormati hak untuk rumah sebagai hak asasi manusia
    • Kerajaan Negeri harus sedar bahawa wujudnya kekurangan dalam penyediaan rumah mampu milik untuk golongan bawahan B40 di Pulau Pinang, mungkin disebabkan kekangan daripada peruntukan persekutuan sebelum pilihanraya umum yang lalu. Tetapi, kini isu itu tidak wujud lagi dan usaha untuk menambahkan projek perumahan rakyat miskin boleh dipertingkatkan lagi tanpa perlu melakukan pengusiran.
    • Pekerja biasa tidak mampu untuk membeli atau menyewa rumah di luar kerana spekulasi harga rumah yang sangat tinggi dan di luar kecapaian warga miskin. Maka, kerajaan harus bertanggungjawab menyediakan kemudahan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah ini.

Antara penduduk Pangsapuri Ampang Jajar yang diusir, adanya seorang dikatakan berpendapatan isi rumah lebih, tetapi beliau merupakan seorang ibu tunggal yang kerja sebagai operator di kilang (dengan gaji kasar lebih kurang RM 2,000 sebulan, termasuklah OT) dengan tanggungan 7 orang di rumah termasuk seorang anak OKU; adanya seorang yang juga didakwa berpendapatan isi rumah lebih yang hanya merupakan penjaja kecil menjual kuih (dengan pendapatan tidak menentu setiap bulan) bersama isterinya dengan tanggungan anak; adanya seorang penghuni OKU yang bekerja sebagai pengawal keselamatan disuruh keluar kerana ibunya (nama yang didaftarkan sebagai penghuni asal); adanya seorang penghuni diusir keluar selepas ibu mertua (nama yang didaftarkan) meninggal dunia, dan hanya boleh memohon sebagai pemohon baru dengan syarat dikehendaki membayar separuh daripada tunggakan sewa sebelum ini, sedangkan penghuni tersebut hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan di PPR yang sama dengan suaminya tidak bekerja kerana jatuh sakit sementara mempunyai tanggungan 8 orang anak. Adalah amat ironi sekali apabila orang yang melakukan kerja membersihkan pangsapuri PPR itu diusir keluar dari rumah kediamannya di situ.

Penduduk yang sedang menetap di Pangsapuri Ampang Jajar ini merupakan golongan B40 yang memerlukan bumbung untuk berteduh. Mereka mempunyai alasan yang munasabah untuk kekal menyewa di situ. Sekiranya Kerajaan Negeri mahu mereka mengosongkan rumah, maka perlu mengemukakan alternatif yang bersifat kemanusiaan untuk mengelakkan mereka daripada menjadi gelandangan. Para penduduk Pangsapuri Ampang Jajar yang menghadapi ancaman pengusiran ini berharap pihak Exco Kerajaan Negeri dapat meluangkan masa untuk mengaturkan perjumpaan dengan mereka supaya mencari penyelesaian yang sewajarnya.

45081598_264642950754790_8800960663263379456_n

Memorandum daripada penduduk-penduduk Pangsapuri Ampang Jajar telah diterima oleh Akhmal bin Abu Basar, Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Turut bersama dengan penduduk Pangsapuri Ampang Jajar semasa penyerahan memorandum ialah R. Karthiges, Penyelaras Biro Perumahan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *