01042015 amnesty international death penalty

10 Oktober setiap tahun ialah Hari Menentang Hukuman Mati Sedunia. Hari Menentang Hukuman Mati Sedunia pada tahun ini amat bermakna untuk Malaysia, kerana Kerajaan Malaysia akhirnya mengambil keputusan untuk memansuhkan hukuman mati!

Menurut Liew Vui Keong, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati untuk semua kesalahan. Sementara itu, semua pelaksanaan hukuman mati mandatori akan ditangguhkan sehingga pemansuhan hukuman mati dikuatkuasakan.

Liew Vui Keong mengatakan bahawa pindaan terhadap undang-undang sedia ada yang mengenakan hukuman mati akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang, yang dijadualkan bermula pada 15 Oktober 2018.

Di samping itu, Kabinet juga memutuskan untuk menggantung penguatkuasaan Akta Hasutan, sebuah akta represif yang selalu digunakan terhadap pengkiritik kerajaan sebelum ini.

Pengumuman terbaru mengenai pemansuhan hukuman mati ini merupakan satu perkara yang amat bermakna dan bersejarah untuk Malaysia. Pemansuhan hukuman mati menjadi negara Malaysia selangkah ke hadapan dalam usaha perlindungan hak asasi manusia dan pembinaan masyarakat yang lebih bersifat kemanusiaan. Kita juga akan dapat mewujudkan sistem keadilan jenayah yang lebih berkesan dengan pemansuhan hukuman mati.

Selama ini, terdapatnya ramai di kalangan masyarakat sivil telah berkempen untuk pemansuhan hukuman mati. Manifesto Untuk 99% yang dikemukakan Gabungan Kiri, telah menyeru supaya “memansuhkan hukuman gantung sampai mati di Malaysia, menangguhkan kesemua hukuman mati secara serta merta semasa proses pemansuhan, di samping meringankan hukuman mereka yang menanti pelaksanaan hukuman maut”.

Dalam Manifesto Pakatan Harapan semasa PRU-14, telah menjanjikan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan akan memansuhkan hukuman gantung mandatori untuk semua akta (terkandung dalam Janji 27 Buku Harapan, “Menghapuskan undang-undang yang zalim”).

Adalah diharapkan bahawa Kerajaan tidak melakukan pusingan-U dalam usaha memansuhkan hukuman mati untuk semua kesalahan.

noose_thumbnail-01-3_2

Latar belakang tentang hukuman mati di Malaysia

Hukuman mati sebagai hukuman yang paling berat yang dikenakan ke atas pesalah, merupakan sebahagian daripada sistem undang-undang common law yang diwarisi daripada penjajah British. Namun, bekas penjajah kita, United Kingdom, telah mula memansuhkan hukuman mati untuk kesalahan membunuh (tetapi kekalkan untuk kesalahan penderhakaan, pelanunan dengan kegansan, menimbulkan kebakaran di dermaga di-raja dan beberapa lagi kesalahan tentera semasa perang) pada tahun 1969. Pelaksanaan hukuman mati di UK yang terakhir adalah pada tahun 1964. UK memansuhkan hukuman mati untuk semua kesalahan waktu aman pada tahun 1998.

Hukuman mati di Malaysia dijalankan dengan menggunakan cara gantung sampai mati.

Pada masa kini, hukuman mati boleh dikenakan ke atas kesalahan seperti membunuh, penderhakaan terhadap raja, melancarkan perang terhadap raja, menculik untuk membunuh, perompakan dengan pembunuhan, memiliki senjata api, mengedar dan menyeludup dadah, dan sebagainya.

Setakat ini, terdapatnya 1,267 orang yang dijatuhkan hukuman mati yang masih berada di penjara. Antaranya 336 orang masih dalam rayuan di Mahkamah Rayuan, 128 orang dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan, dan 442 orang lagi sedang merayu dengan Lembaga Pengampunan. Antara tahun 2007 hingga 2017, lembaga pengampunan di beberapa buah negeri telah mengurangkan hukuman terhadap 165 orang yang dikenakan hukuman mati.

Hukuman mati bukan cara berkesan untuk membendung jenayah

Sebelum ini, Kerajaan Malaysia mengekalkan hukuman mati dengan alasan bahawa hukuman mati dapat mengurangkan kes jenayah berat. Namun, adalah terbukti di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia, hukuman mati bukannya cara yang berkesan untuk menangani jenayah.

Hukuman mati dikenakan terhadap seseorang yang melakukan jenayah berat, hanya dapat memenuhi satu matlamat, iaitu perasaan untuk “membalas dendam”. Namun, dendam yang dibalas, meragut nyawa seseorang kononnya untuk menebus nyawa seorang lagi, bukannya keadilan yang sebenar.

Sistem keadilan jenayah pada zaman moden tidak lagi menumpu pada sentiment untuk membalas dendam, tetapi lebih memfokus pada rehabilitasi dan pemulihan, serta pencegahan daripada kesalahan diulangi lagi. Hukuman mati bukan sahaja tidak dapat membendung jenayah, malah boleh mengakibatkan penjenayah melakukan kesalahan yang lebih serius lagi untuk mengelakkan dirinya daripada ditangkap.

Memangnya si pesalah yang melakukan jenayah berat perlu diasingkan daripada masyarakat, untuk mengelakkannya daripada mengulangi jenayahnya yang mengancam orang lain, namun ini tidak bermakna kita ada lesen untuk membunuh pesalah yang melakukan jenayah berat itu.

Hukuman mati adalah pencabulan hak yang paling teruk

Hukuman mati merupakan sejenis hukuman yang tidak dapat dibalikkan seperti sedia kala selepas pelaksanaan sekiranya didapati hukuman yang dijatuhkan itu tidak betul. Orang yang mati tidak dapat dihidupkan semula.

Hak untuk hidup merupakan hak asasi manusia yang paling penting untuk semua orang. Hukuman mati merupakan sejenis pencabulan hak asasi yang paling serius kerana merampas hak asasi yang paling mustahak untuk seseorang.

Tiada sesiapa berhak untuk mengambil nyawa seorang lagi, dengan apa jua sebab. Membunuh orang adalah sesuatu yang salah, maka membunuh seorang yang disabit membunuh orang (walaupun telah dibuktikan), bukannya sesuatu perbuatan yang betul juga. Dua perbuatan yang salah tidak membawa kepada satu perkara yang betul. Ini bukannya soalan matematik campur tolak.

Sejak tamatnya Perang Dunia II, pemansuhan hukuman mati telah menjadi satu trend antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan resolusi yang tidak terikat dalam Perhimpunan Agungnya untuk beberapa tahun kebelakangan ini, menyeru untuk moratorium terhadap pelaksanaan hukuman mati di seluruh dunia.

Di dunia pada hari ini, sebanyak 106 buah negara telah memansuhkan hukuman mati untuk semua kesalahan jenayah; 29 buah negara telah memansuhkan hukuman mati secara de facto (iaitu tidak lagi melaksanakan hukuman mati untuk sekurang-kurangnya satu dekad yang lepas dan dipercayai bahawa mempunyai dasar atau praktik untuk tidak melaksanakan hukuman mati); 7 buah negara telah memansuhkan hukuman mati untuk jenayah biasa tetapi kekalkan untuk keadaan khas (seperti jenayah sewaktu perang). Hanya 54 buah negara sahaja yang masih mengekalkan hukuman mati dari segi undang-undang dan amalan, termasuk Malaysia sehinggalah baru-baru ini.

Sekiranya Kerajaan Malaysia melaksanakan apa yang diputuskan, iaitu pemansuhan hukuman mati untuk semua kesalahan, negara kita dapat melangkah lebih ke depan lagi menuju sebuah masyarakat yang lebih berkemanusiaan dan memberi jaminan perlindungan hak asasi yang lebih menyeluruh untuk semua rakyat. Jangan U-turn dalam pemansuhan hukuman mati!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *