methode_times_prod_web_bin_84404c28-c4bd-11e8-9259-db41e732e46f.jpg

oleh Hadri A Rahman

Ketibaan Jair Bolsonaro, calon untuk Presiden Brazil dari Parti Sosial Liberal, di Rio de Janeiro pada 29 September 2018, telah menerima tentangan hebat daripada penunjuk perasaan yang diketuai oleh kaum wanita dari semua 27 negeri di seluruh Brazil menjelang pilihanraya yang akan diadakan pada 7 Oktober kelak.

Jair Bolsonaro, seorang ahli kongres untuk Rio de Janeiro sejak tahun 1991, dianggap oleh rakyat Brazil sebagai seorang ahli politik yang berkontroversi, dengan komen yang berbaur perkauman, seksis, anti-LGBT, dan anti-pelarian. Malahan, sebagai seorang bekas ahli tentera Brazil berpangkat Kapten, dia juga pernah mengeluarkan pendapat yang positif terhadap kerajaan junta (kediktatoran tentera) yang telah memerintah Brazil dari tahun 1964 ke 1985. Dengan kenyataanya yang berkontroversi, tidak hairanlah dia telah digelar sebagai “Donald Trump Brazil”.

Meskipun beliau telah ditetak di bandar Juiz de Fora pada 6 September lalu, satu tinjaunan pendapat yang dijalankan oleh Datafolha pada bulan yang sama telah menunjukkan bahawa pada tahap sokongan 28 peratus, beliau merupakan calon untuk Presiden yang paling popular di kalangan rakyat Brazil. Beliau juga merupakan calon presiden pertama yang telah berjaya memperolehi dana pilihanraya sebanyak 1 juta reais (sebanyak RM 1,045,410.89) melalui derma sahaja.

Pelbagai sebab telah diberikan untuk menerangkan mengapa Jai Bolsonaro adalah calon yang paling popular untuk pilihanraya pada kali ini.

Antara sebab yang telah diberikan adalah penangkapan bekas Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, daripada Parti Pekerja pada April lepas telah menghalang peluangnya untuk bertanding semula sebagai Presiden Brazil. Pada masa penangkapannya, beliau merupakan calon Presiden yang paling popular, dengan 39% responden mengatakan bahawa beliau adalah calon pilihan pertama mereka untuk Presiden. Namun begitu, mengikut undang-undang Akta Rekod Bersih di Brazil, beliau telah hilang kelayakan untuk menjadi calon Presiden dan digantikan oleh Fernando Haddad pada 11 September 2018.

Skandal korupsi “Operation Car Wash” yang ditemui pada tahun 2014, yang melibatkan parti-parti politik dan syarikat-syarikat terbesar Brazil telah melemahkan keyakinan rakyat Brazil terhadap parti-parti politik yang sedia ada, terutama sekali Parti Pekerja yang telah didapati menggunakan wang tersebut untuk membiayai kempen Dilma Rousseff untuk Presiden Brazil pada tahun 2014.

Jenayah yang kian meruncing di Brazil juga merupakan salah satu sebab mengapa ramai yang menyokong Jair Bolsonaro dalam pilihanraya ini. Dengan kes pembubuhan sebanyak 63,880 pada tahun 2017 sahaja, ia telah memberikan suatu gambaran bahawa Brazil ibarat negara yang tiada undang-undang. Malahan, antara janji kempennya untuk melonggarkan undang-undang bagi memiliki senjata api dan membenarkan polis lebih kebebasan untuk menembak penjenayah yang disyaki telah meningkatkan popularitinya.

Bimbang dengan populariti Jair Bolsonaro yang makin meningkat, wanita-wanita di Brazil mengambil keputusan untuk melancarkan kempen #EleNao (Bukan Dia) melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp, dengan pelakon wanita, wartawan and pengacara TV wanita terkenal di Brazil mengambil bahagian dan telah tersebar ke seluruh dunia.

Menurut Laman Berita G1, demonstrasi anti-Bolsonaro ini telah dimulakan daripada kumpulan Facebook, “Wanita Bersatu Menentang Bolsonaro” yang mempunyai 4 juta ahli, dan dianggap antara tunjuk perasaan yang paling bersejarah di Brazil, dengan anggapan bahawa seramai setengah juta telah mengambil bahagian, termasuklah wanita, lelaki, kanak-kanak dan golongan LGBT.

Lebih menggalakan, sebuah kaji selidik yang dijalankan oleh MDA Institute dan dianjurkan oleh National Transport Confederation pada 30 September lalu telah menunjukkan bahawa calon Parti Pekerja, Fernando Haddad telah mendapat sokongan sebanyak 25 peratus, manakala sokongan untuk Bolsorano kekal pada 28.2 peratus.

Bolsorano juga calon yang paling ditolak, di mana sebanyak 55.7 peratus daripada pengundi mengatakan bahawa mereka menentang Bolsorano sebagai calon Presiden Brazil. Malahan, kaji selidik itu juga berpendapat bahawa Bolsorano akan tewas pada pusingan kedua jika dia terpaksa menentang Haddad atau Ciro Gomes daripada Parti Buruh Demokratik, dengan kedua-dua calon dijangkakan akan menang dengan 42.7 peratus undi.

Malahan, pilihanraya Brazil kali ini menunjukkan peningkatan calon wanita daripada masyarakat Afro-Brazil selepas pembunuhan Marielle Franco, seorang ahli majlis bandaraya dari parti Sosialisme dan Kebebasan, pada 14 Mac lalu. Calon-calon ini telah mengambil inspirasi daripada Franco untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya kali ini di bawah slogan “Marielle presente (hadir)”. Komuniti LGBT Brazil juga mengambil bahagian dalam pilihanraya kali ini, di mana seramai 53 calon orang transgender mengambil bahagian dalam pilihanraya kali ini.

5012

Sumber:

https://www.bbc.com/news/world-latin-america-45652518

https://www.bbc.com/news/world-latin-america-45579635

https://www.theguardian.com/world/2018/sep/06/brazil-jair-bolsonaro-far-right-presidential-candidate-stabbed

https://www.foreignaffairs.com/articles/brazil/2018-07-12/will-brazils-next-president-be-far-right-nationalist

https://www.aljazeera.com/news/2018/09/brazil-thousands-women-rally-bolsonaro-180929231001428.html

https://www.theguardian.com/world/2018/sep/30/huge-protests-in-brazil-as-far-right-presidential-hopeful-jair-bolsonaro-returns-home

http://www.latimes.com/world/la-fg-brazil-women-protests-20180929-story.html

https://www.bbc.com/news/world-latin-america-45696677

https://www.telesurtv.net/english/news/Brazil-PT-Candidate-Fernando-Haddad-Widens-Support-Now-in-2nd-Place-20180920-0020.html

https://www.telesurtv.net/english/news/Brazil-New-Poll-Confirms-Rising-Support-for-Haddad-Likely-Loss-for-Bolsonaro-in-Second-Round-20180930-0004.html

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *