Kwsp.jpg

Menurut laporan akhbar The Sunday Daily pada 3 Oktober 2018, dengan tajuk Government mulls reviewing retirement age (Kerajaan pertimbangkan untuk mengkaji semula umur persaraan), Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengkaji semula umur persaraan 60 tahun pada masa kini, kerana terdapat ramai persara tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk usia tua mereka.

Menurut Menteri Sumber Manusia, terdapat lebih daripada dua pertiga (68%) pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada umur 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM 50,000. Dengan tahap simpanan sebegini, adalah tidak mencukupi untuk persara hidup dengan selesa selepas mereka bersara. Maka, menurut Menteri Sumber Manusia, melanjutkan umur persaraan, akan membantu mereka yang tidak mempunyai simpanan yang mencukupi ini.

Nampaknya Menteri Sumber Manusia dan kerajaan telah meletakkan premis yang salah dalam mengkaji semula umur persaraan. Simpanan untuk pekerja tidak mencukupi untuk bersara, bukannya umur persaraan terlalu rendah, tetapi adalah disebabkan gaji yang diperoleh pekerja sepanjang hidupnya sebelum persaraan memang sangat rendah sehingga tidak mempunyai simpanan hari tua yang secukupnya.

Penetapan umur persaraan adalah untuk membolehkan pekerja dapat berhenti pekerja dengan pendapatan atau simpanan yang mencukupi untuknya hidup pada usia tua. Persaraan dengan simpanan atau perlindungan pendapatan yang mencukupi (seperti pencen), membolehkan seseorang itu melalui kehidupan persaraan atau usia tua dengan selesa dan berkualiti.

Jika seorang yang sudah mencapai umur persaraan itu ingin meneruskan kerjanya kerana dia terlalu suka dengan kerja itu dan badannya sihat serta masih mempunyai tenaga yang banyak untuk melakukannya, sememangnya tidak patut ada halangan untuk orang itu berbuat demikian. Tetapi pada hakikatnya, dalam kebanyakan situasi dalam masyarakat kita hari ini, khususnya golongan berpendapatan rendah, seseorang itu terpaksa bekerja walaupun mencapai umur persaraan, bukan kerana dia sukakan kerjanya, tetapi pendapatan dan simpanannya tidak mencukupi untuk dia melalui usia tua tanpa bekerja!

Jika Menteri betul-betul faham bahawa masalah gaji rendah adalah punca asasnya yang menjadikan kebanyakan pesara kita tidak mempunyai simpanan hari tua yang mencukupi, maka beliau tidak akan menganggap menaikkan umur persaraan sebagai penyelesaian kepada masalah ini!

Namun, Menteri yang sama juga baru-baru ini membenarkan kerajaan menaikkan gaji minimum hanya RM 50 kepada RM 1050 sebulan mulai bulan Januari tahun depan. Ini jelas menunjukkan Menteri dan Kerajaan Pakatan Harapan baru tidak faham tentang masalah pokoknya. Malah, masih terikut-ikut dengan kehendak pemodal untuk memeras sebanyak mungkin tenaga kerja rakyat biasa tanpa bayaran gaji yang setimpal!

Menteri juga berkata bahawa salah satu cara untuk membolehkan pekerja menabung untuk usia tua adalah melibatkan majikan mereka dalam menggalakkan pekerja mereka menabung untuk usia tua. Ini memang satu cadangan yang tidak masuk akal! Bagaimana seseorang dapat menggalakkan pekerjanya untuk menabung apabila gaji yang dibayar kepada pekerjanya begitu rendah, sampai menampung kehidupan seharian pun tidak mencukupi?!

Meningkatkan umur persaraan bermakna kerja lebih masa (OT) secara paksa untuk pekerja. Ramai pekerja sudahpun terpaksa melakukan OT setiap hari kerana gaji yang rendah, dan melanjutkan usia persaraan bagaikan OT untuk beberapa tahun lagi!

Meningkatkan umur persaraan juga bermakna peluang pekerjaan untuk anak muda akan berkurang, kerana majikan akan terus mengupah pekerja yang sudah melebihi umur persaraan sekarang ini (kecuali majikan yang enggan membayar gaji yang lebih tinggi untuk pekerja berpengalamanan dan cenderung untuk mengupah pekerja baru dengan kadar gaji yang lebih rendah). Kekurangan peluang pekerjaan akan mendatangkan kecenderungan gaji untuk pekerja baru terus ditekan pada kadar yang amat rendah.  Lebih-lebih lagi, Kerajaan tidak mempunyai pemikiran dasar untuk meningkatkan kualiti hidup pekerja dan memacu ekonomi negara dengan meningkatkan kadar gaji minimum ke paras yang sewajarnya.

Jadi, meningkatkan umur persaraan tidak akan menyelesaikan secara dasarnya masalah ketiadaan jaminan hidup usia tua untuk pekerja, malah anak muda yang baru masuk ke dunia pekerjaan juga turut dimangsakan.

Untuk menjamin kehidupan usia tua para pekerja, khususnya pekerja di sektor swasta, Kerajaan perlu memperkenalkan skim pencen warga emas untuk semua rakyat yang mencapai umur persaraan. Skim pencen berbeza dengan simpanan KWSP. Wang simpanan KWSP boleh dikeluarkan dan dihabiskan dengan cepat selepas pekerja mencapai usia persaraan, sementara bayaran pencen disalurkan kepada pesara setiap bulan dengan jumlah tertentu, untuk memastikan pesara mempunyai pendapatan yang tetap untuk melalui kehidupan usia tuanya.

Di samping itu, Kerajaan perlu serius dalam merombak semula dasar gaji sekarang ini yang menekan gaji pekerja pada tahap yang rendah untuk memenuhi kepentingan golongan kapitalis yang mengutamakan keuntungan. Gaji minimum di negara kita adalah amat rendah. Jika kerajaan betul-betul ingin meningkatkan taraf hidup pekerja kita dan juga kualiti hidup pesara, gaji pekerja perlu dinaikkan dengan signifikan, dengan peningkatan gaji minimum ke paras yang sepatutnya sebagai permulaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *