work3.jpg

Buruh atau tenaga kerja itu asas kepada ekonomi. Buruh manusia mencipta kekayaan masyarakat.

Buruh menghasilkan nilai. Tanpa buruh manusia, maka tiadanya nilai.

Dalam pengeluaran barangan, ia melibatkan proses:

Sumber pengeluaran (peralatan, mesin, kilang, pengangkutan, jalan dan sebagainya; objek buruh, iaitu bahan mentah) + buruh (orang yang melakukan kerja) ——> hasil pengeluaran (barangan)

01 - proses buruh

Jikalau kuasa pengeluaran buruh itu berada pada tahap yang rendah, di mana setiap orang hanya mampu mengeluarkan barangan yang cukup untuk keperluan hidup, maka keadaan sebegini tidak akan mewujudkan perbezaan secara sosial antara manusia, dan tidak akan wujud pemisahan secara sosial dalam keseluruhan masyarakat itu. Dalam keadaan sebegini, semua orang adalah pengeluar, semua orang berada pada tahap ekonomi yang sama. Keadaan ini wujud dalam masyarakat primitif.

Apabila kuasa pengeluaran melebihi tahap yang rendah itu, akan wujudnya barangan lebihan ataupun barangan surplus. Apabila adanya surplus, apabila tenaga manusia dapat mengeluarkan barangan yang melebihi keperluannya untuk hidup, sudah pastinya akan mewujudkan perlawanan untuk menentukan bagaimana surplus itu diagihkan. Sejak itu, jumlah pengeluaran dalam sesuatu masyarakat itu tidak lagi terdiri daripada jumlah buruh setiap orang pengeluar dalam masyarakat itu, kerana sebahagian daripada barangan lebihan hasil daripada aktiviti buruh dapat digunakan untuk membolehkan segelintir orang terus hidup tanpa bekerja. Maka, wujudnya kelas.

Setelah wujudnya surplus dan kelas masyarakat, buruh atau kerja yang dilakukan oleh pengeluar itu boleh dibahagikan kepada 2 bahagian:

  1. Sebahagian adalah kerja yang dilakukan untuk mengekalkan hidup orang yang menaburkan buruh itu, iaitu buruh yang diperlukan.
  2. Satu lagi bahagian adalah kerja yang dilakukan untuk kelas pemerintah, iaitu buruh surplus.

Nilai surplus, ataupun nilai lebihan, adalah barangan surplus masyarakat dalam bentuk matawang.

Setiap barangan hasil daripada buruh manusia itu biasanya ada kegunaannya. Barangan itu perlu memenuhi sesuatu keperluan manusia, misalnya makanan untuk dimakan, kereta untuk mengangkut seseorang dari satu tempat ke tempat yang lain. Oleh itu, setiap barangan hasil daripada buruh manusia itu adanya sejenis nilai guna.

Selain nilai guna, barangan hasil daripada buruh manusia ada lagi satu jenis nilai, iaitu nilai tukar. Adakalanya, sesuatu barangan bukannya dihasilkan untuk kegunaan terus oleh pengeluar itu sendiri ataupun orang lain, tetapi dihasilkan untuk ditukar atau dijual dalam pasaran.

Barangan dihasilkan untuk dijual, dan bukan hanya semata-mata untuk nilai gunanya, maka wujudnya pengeluaran komoditi. Komoditi adalah barangan yang dihasilkan untuk ditukar dalam pasaran, dan bukannya untuk kegunaan terus.

Setiap komoditi perlu mempunyai nilai guna dan nilai tukar pada masa yang sama. Komoditi perlu ada nilai guna, kalau tidak, tiada orang mahu membelinya. Jika sesuatu komoditi itu tiada nilai guna untuk sesiapa, maka komoditi itu tidak akan dapat dijual, dan pengeluaran itu menjadi tidak bermakna. Oleh kerana komoditi itu tiada nilai guna, semestinya ia juga tiada nilai tukar.

Akan tetapi, barangan yang ada nilai guna tidak semestinya ada nilai tukar. Sama ada sesuatu barangan itu ada nilai tukar atau tidak, adalah bergantung pada masyarakat di mana barangan itu mempunyai sistem pertukaran sebagai asasnya atau tidak. Jika pertukaran merupakan sesuatu perkara yang biasa dalam masyarakat itu, maka sesuatu barangan yang ada nilai guna sudah pastinya boleh ada nilai tukar. Sistem pertukaran menjadi sesuatu yang biasa hanya boleh berlaku dalam masyarakat yang ada pembahagian kerja.

Jika sesuatu masyarakat itu tiada pembahagian kerja, iaitu barangan yang dihasilkan oleh setiap orang itu sama, amat jelas tidak akan ada fenomena pertukaran. Misalnya, tiada apa-apa yang boleh ditukar antara dua orang pesawah padi yang sama-sama menghasilkan beras. Dengan adanya pembahagian kerja dalam masyarakat, jika dua kumpulan masyarakat yang menghasilkan barangan dengan nilai guna berbeza itu bertemu, maka akan berlakunya pertukaran.

Pengeluaran komoditi, iaitu pengeluaran yang menghasilkan nilai tukar, mencapai kemuncak dalam masyarakat kapitalis. Masyarakat kapitalis merupakan masyarakat manusia yang pertama kalinya dalam sejarah di mana pengeluaran komoditi mendominasi seluruh masyarakat itu.

Namun, bukan semuanya pengeluaran dalam masyarakat kapitalis itu adalah pengeluaran komoditi. Ada dua jenis barangan yang hanya memiliki nilai guna sahaja.

  • Jenis yang pertama adalah barangan yang dihasilkan oleh petani untuk kegunaan sendiri, iaitu hasil pertanian yang dikeluarkan dalam kebun dan digunakan secara langsung oleh petani itu. Walau bagaimanapun, barangan sebegini hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan pengeluaran pertanian. Secara umumnya, di negara di mana pertaniannya lebih mundur, bahagian dalam pengeluaran pertanian yang dibekalkan untuk kegunaan petani itu sendiri adalah lebih besar. Oleh yang demikian, biasanya sukar untuk menganggar pendapatan rakyat negara sebegini.
  • Jenis kedua adalah benda-benda yang dihasilkan dalam isi rumah untuk kegunaan sendiri. Ada banyak buruh manusia digunakan untuk pengeluaran dalam isi rumah sebegini, tetapi ianya hanya mengeluarkan nilai guna, dan bukannya komoditi. Misalnya, memasak semangkuk sup untuk makan malam, menjahit butang pada baju yang dipakai sendiri dan memperbaiki sendiri paip air yang rosak, semua ini adalah pengeluaran, tetapi bukannya pengeluaran untuk pasaran.

Dengan kewujudan pengeluaran komoditi yang menjadi semakin rutin dan biasa dalam masyarakat kita, ia telah mengubah corak buruh manusia, malah juga mengubah organisasi masyarakat manusia.

Nilai komoditi adalah buruh manusia yang terkandung secara amnya tanpa apa-apa perbezaan dalam komoditi berkenaan. Nilai komoditi menggambarkan penggunaan tenaga manusia secara fizikal dan mental.

Buruh konkrit (atau buruh yang berguna) adalah tenaga kerja yang digunakan untuk mencipta nilai guna sesuatu komoditi.

Buruh abstrak adalah buruh manusia secara amnya yang mengetepikan bentuk khusus kegiatan buruh itu. Buruh abstrak tiada perbezaan dari segi kualiti, hanya ada perbezaan kuantiti. Buruh abstrak adalah sumber kepada nilai komoditi. Tetapi buruh abstrak itu tidak bersamaan dengan nilai. Nilai hanya terbentuk apabila buruh abstrak itu terkandung dalam komoditi.

01 - komoditi1

Adalah amat mustahil membandingkan buruh konkrit secara kuantiti, kerana dua jenis kerja yang berlainan memerlukan buruh konkrit yang berlainan. Misalnya, adalah tidak mungkin untuk kita bandingkan buruh konkrit untuk membina sebuah rumah dengan buruh konkrit untuk menoreh getah, di mana kedua-dua jenis kerja ini melibatkan kemahiran yang berbeza. Satu lagi contoh adalah, tidak mungkin untuk kita bandingkan kerja seorang doktor dengan kerja seorang pekerja yang memunggah barang di kilang, kerana kerja doktor itu melibatkan kepakaran yang kompleks manakala pekerja pemunggah itu melakukan kerja fizikal yang mudah.  Oleh yang demikian, adalah perlu untuk menukar pelbagai kerja buruh itu menjadi buruh abstrak, supaya kita dapat bandingkan secara kuantitatif. Namun demikian, ini tidak bermakna buruh yang kompleks dan buruh yang mudah boleh disamakan kuantitinya apabila ditukar kepada buruh abstrak, kerana perbezaan tahap kompleksiti buruh boleh ditunjukkan melalui nilai tukar.

Kemunculan pengeluaran komoditi dan perkembangannya menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat, hasilnya adalah buruh yang terkandung dalam komoditi itu akan mempunyai dua ciri: ciri yang tetap dan ciri yang boleh diukur. Dalam erti kata lain, buruh bukan lagi penggabungan dengan alam semulajadi secara semulajadi dan tidak lagi bergerak mengikut rentak fisiologi manusia.

Apabila pengeluaran komoditi menjadi semakin berleluasa, buruh itu akan menjadi teratur dan mengikut satu hukum tertentu, maka organisasi seluruh masyarakat juga semakin berasaskan sistem pengiraan mengikut buruh. Masa buruh telah digunakan sebagai asas pengiraan.

Apabila masa buruh dijadikan asas kepada ekonomi, dalam masyarakat yang berasaskan sistem pengiraan masa kerja, dengan pengeluaran dan pertukaraan komoditi menjadi sesuatu yang biasa dan berleluasa, maka sebarang pertukaran komoditi itu semestinya pada asasnya bergantung pada sistem pengiraan masa kerja. Hukum amnya adalah, nilai tukar suatu komoditi ditentukan oleh kuantiti buruh yang diperlukan untuk menghasilkannya. Kuantiti buruh itu, diukur mengikut masa yang diperlukan untuk menghasilkan barangan itu.

Akan tetapi, bukannya semua orang mempunyai kebolehan kerja yang sama, dan bukannya semua orang mempunyai kekuatan fizikal yang sama ataupun kemahiran yang sama. Jika nilai tukar sesuatu komoditi ditentukan mengikut hanya kuantiti buruh yang digunakan oleh seseorang individu sahaja, adalah tidak masuk akal.

Misalnya, jika guna andaian masa kerja seseorang itu menentukan nilai tukar sesuatu komoditi, seorang pengeluar kasut itu lebih malas atau lebih tidak boleh pakai, masa yang digunakannya untuk mengeluarkan kasut itu akan menjadi lebih panjang, ini menjadikan nilai kasut yang dibuatnya semakin tinggi! Ini semestinya sesuatu yang tidak mungkin. Jika seorang pembuat kasut boleh menghasilkan sepasang kasut dalam satu jam dan dijual dengan RM 10, siapa mahu beli kasut yang sama yang dibuat oleh seorang pembuat kasut yang lain yang menghabiskan 10 jam untuk menghasilkannya dan menjual dengan harga RM 100?

Nilai tukar bukan hanya pulangan untuk seseorang yang sanggup melakukan kerja itu, tetapi adalah hubungan objektif yang didirikan antara pengeluar-pengeluar yang bebas. Dalam masyarakat di mana ekonominya didirikan atas pembahagian kerja dan masa buruh, dengan bergantung pada hubungan sebegini, tukang-tukang atau pengeluar-pengeluar komoditi yang berbeza itu baru boleh melakukan pertukaran setara. Dalam masyarakat sebegini, buruh yang dibazirkan tidak akan mendapat pulangannya, sebaliknya buruh macam ini akan didenda. Masa purata yang diperlukan untuk membuat sepasang kasut ditentukan oleh kuasa pengeluaran secara am. Jika anda menggunakan lebih masa untuk membuat sepasang kasut berbanding dengan masa yang diperlukan secara amnya, bermakna anda telah membazirkan tenaga kerja, dan masa yang dibazirkan itu tidak akan menukar apa-apa benda pun untuk anda.

Nilai komoditi ditentukan oleh masa buruh yang diperlukan secara sosial. Komoditi ditukarkan mengikut prinsip nilai setara.

Nilai tukar sesuatu komoditi, bukannya ditentukan oleh kuantiti buruh yang digunakan oleh pengeluar yang berasingan, tetapi ditentukan oleh kuantiti buruh yang diperlukan secara sosial untuk menghasilkan komoditi tersebut.

Buruh yang diperlukan secara sosial bermaksud, buruh yang diperlukan untuk mengeluarkan sesuatu komoditi di bawah keadaan am kuasa pengeluaran buruh pada suatu masa tertentu dalam sesebuah negara. (Dalam erti kata lain, ianya adalah buruh yang dilakukan oleh pekerja itu untuk menampung kehidupan dalam masyarakat itu.)

Apa itu kuantiti buruh? Kebolehan seseorang pekerja itu memang akan berbeza dengan yang lain. Kita tidak boleh mengetepikan perbezaan kemahiran pekerja. Misalnya, jika seorang pekerja tidak mahir bekerja selama satu jam boleh menghasilkan nilai kerja yang sama dengan seorang pekerja mahir yang belajar kemahiran itu untuk beberapa tahun, apa akan berlaku? Semestinya tiada orang ingin menjadi pekerja mahir. Masa kerja yang dihabiskan untuk belajar kemahiran itu akan dibazirkan begitu sahaja jika ini berlaku. Di bawah sistem ekonomi yang berasaskan sistem pengiraan masa kerja, seorang pemuda sudi belajar sesuatu kemahiran adalah disebabkan dia boleh mendapat balik pampasan ke atas masa kerjanya yang dihabiskan dalam latihan kemahiran pada masa kelak. Boleh dikatakan begini, buruh seorang pekerja mahir itu patut dianggap sebagai sejenis buruh yang kompleks ataupun buruh komposit, berlipat ganda berbanding buruh tidak mahir. Jadi, kita boleh menyimpulkan bahawa, nilai tukar sesuatu komoditi, ditentukan oleh kuantiti buruh yang diperlukan secara sosial, di mana buruh mahir adalah gandaan kepada buruh mudah, dan pekalinya adalah kuantiti yang munasabah dan boleh diukur.

Secara ringkasnya, Teori Nilai Buruh yang dibawa oleh Marx dapat disimpulkan seperti di bawah:

  • Kedualan atau dua faktor yang dimiliki oleh komoditi, iaitu nilai guna dan nilai tukar. Nilai guna adalah “sifat semulajadi” komoditi dan tidak boleh dibandingkan. Nilai tukar adalah hasil daripada buruh manusia secara am, merupakan “sifat sosial” komoditi itu, menjadikannya asas kepada pertukaran komoditi.
  • Kedualan ciri yang dimiliki oleh buruh dalam pengeluaran komoditi, iaitu buruh konkrit dan buruh abstrak.
  • Nilai komoditi ditentukan oleh masa buruh yang diperlukan secara sosial.

“Kegunaan sesuatu benda itu menjadikannya satu nilai guna.” – Karl Marx, Das Kapital Jilid I.

“[nilai guna] membentuk kandungan material untuk kekayaan, dalam apa jua bentuk masyarakatnya yang mungkin. Dalam bentuk masyarakat yang perlu dipertimbangkan di sini, mereka juga adalah pembawa material untuk nilai tukar.” – Karl Marx, Das Kapital Jilid I.

One thought on “Buruh dan Nilai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *