ipanews_f6877aa7-511c-4ad0-843e-31004b064c58_1

oleh Hadri A Rahman

Masalah perumahan di Republik Ireland adalah masalah yang kian meruncing. Dianggarkan pada bulan Mac 2018 sahaja, ada seramai 10,000 golongan gelandangan di seluruh negara tersebut, termasuklah 3,755 orang kanak-kanak.

Malahan, menurut maklumat yang diperolehi daripada Dublin Region Homeless Executive (DRHE), pada bulan Jun 2018, sebanyak 800 keluarga tinggal di hotel dan BnB (bed and breakfast) yang kini telah melangkaui tempoh masa 12 bulan yang diletakkan oleh kerajaan Ireland sendiri untuk menyelsaikan masalah ini.

Pada masa yang sama, hanya sebanyak 530 keluarga yang diletakkan di bawah ‘Supported Emergency Accommodation‘ – sebuah tindakan yang diambil oleh bekas Menteri Perumahan Simon Coveney untuk menyelsaikan masalah ini. Bezanya antara golongan gelandagan yang tinggal di hotel dan mereka yang diletakkan di bawah  ‘Supported Emergency Accommodation‘ adalah mereka akan tinggal sama ada di ‘own door’ accommodation’ ataupun di ‘family hubs’.

Family hubs’ disini adalah sebuah fasiliti yang dikendalikan oleh golongan amal dengan bantuan DRHE. Hab ini membenarkan mereka tinggal dalam jangka masa yang lebih panjang, dilengkapi dengan tempat permainan untuk kanak-kanak, dan tempat membasuh dan mencuci untuk keluarga yang tinggal di hab ini.

Namun begitu, ramai berpendapat bahawa fasiliti ini tidak mencukupi untuk mengendalikan isu perumahan ini. Angka yang diambil daripada DRHE menunjukkan lebih ramai keluarga terpaksa tinggal di penginapan kecemasan sebegini daripada mereka yang berjaya memperolehi perumahan, statistik yang diberikan kepada Dublin City Council’s Finance Committee menunjukkan bahawa seramai 554 keluarga terpaksa mengambil penginapan kecemasan dari bulan Januari hingga Jun 2018. Jika dibandingkan, hanya sebanyak 353 buah keluarga telah berjaya memperolehi tempat tinggal pada masa yang sama.

Sebab paling utama yang diberikan untuk masalah ini adalah kekurangan unit perumahan yang baru yang dibina untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Eoghan Murphy, Menteri Perumahan, Perancangan dan Kerajaan Tempatan, mengakui bahawa ianya adalah satu trend yang membimbangkan. Malahan, pelan “Repair and Leasing Scheme” yang dilancarkan pada bulan Februari 2017 dan menjanjikan akan mengubahsuai 800 buah rumah kosong kepada rumah sosial dalam masa 1 tahun, namun begitu, ia didapati bahawa, daripada 3,500 buah rumah, hanya 15 buah sahaja yang berjaya disiapkan.

ireland

Kecewa dengan situasi ini, Take Back The City (TBTC), sebuah kumpulan aktivis perumahan yang terdiri daripada 15 buah kumpulan akar umbi telah mengambil keputusan untuk mengambil tindakan drastik untuk menangani situasi ini.

Pada 7 Ogos lalu, aktivis daripada TBTC telah mengambilalih sebuah rumah kosong di Summerhill Parade, Dublin. Namun begitu, pada 16 Ogos, hakim telah memberikan PJ O’ Donnell, pemegang amanah kepada Pat O Donnell & Co Ltd Retirement and Death Benefit Plan, injuksi yang mengarahkan individu-individu yang tidak berkenaan untuk keluar dan berhenti menceroboh hartanah yang dimiliki oleh pelan pencen tersebut.

Lantas, setelah injuksi daripada Mahkamah Tinggi tersebut telah diterima, aktivis-aktivis daripada TBTC akur dengan arahan makamah tersebut dan meninggalkan kawasan tersebut pada 17 Ogos. Setelah berhimpun di luar bangunan di Summerhill Parade, golongan aktivis ini lantas berarak melalui Parnell Square sebelum berhenti and menduduki sebuah rumah 4 tingkat di 34 North Frederick Street.

Di sini, seorang jurucakap bagi golongan aktivis membaca pernyataan yang mengatakan bahawa dengan sokongan yang diberikan oleh orang tempatan dan luar, ia telah memberikan mereka semangat untuk sebuah gerakan untuk perumahan yang kuat dan teratur.

Mereka juga telah mengatakan bahawa pihak kerajaan tidak akan menyelesaikan masalah perumahan yang timbul, sebaliknya rakyat yang akan melakukannya, dan Summerhill hanyalah titik permulaan.

Pada 28 Ogos lalu, sebuah arahan telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan mereka supaya berhenti menceroboh dan keluar dari bangunan tersebut pada 2 petang, 29 Ogos. Namun, kali ini golongan aktivis tersebut mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan arahan tersebut.

Pada 8 September, 100 aktivis telah berhimpun di O’Connell Street sebelum berarak dan mengambilalih lagi satu rumah di Belvedere Court. Lagi sekali, Mahkamah Tinggi telah menganugerahkan injuksi yang mengarahkan penunjuk perasaan untuk keluar dan berhenti menceroboh rumah tersebut.

Kemudiannya pada, 11 September, sekitar jam 7 petang, sekumpulan lelaki bertopeng telah tiba untuk menghalau penunjuk perasaan keluar dari rumah tersebut. Menurut aktivis daripada TBTC, sebuah van dengan nombor plat United Kingdom telah tiba di kawasan tersebut dengan 15 hingga 20 orang lelaki dan kesemuanya tidak memakai sebarang identifikasi untuk menentukan majikan mereka. Selepas ketibaan lelaki bertopeng ini, 3 orang anggota polis telah tiba dikawasan tersebut, dan apabila orang awam mula tiba untuk membantah pengusiran tersebut, skuad rusuhan telah dihantar ke lokasi untuk mengawal keadaan.

Menurut TBTC, seramai 6 orang aktivis telah ditahan, dan 2 orang daripada mereka telah didakwa dan dijadualkan akan muncul di mahkamah pada 2 Oktober akan datang.

342.jpg

Setelah aktivis-aktivis tersebut diusir, bangunan itu telah ditutup, sementara 100 orang aktivis berdiri di luar bangunan itu untuk membantah pengusiran tersebut sebelum berarak ke O’Connell Street dan Balai Polis Store Street.

Setibanya di sana, penunjuk perasaan melaungkan slogan anti-kerajaan dan anti-parti Fianna Fáil, dan pada masa yang sama menuntut supaya aktivis-aktivis yang ditahan di balai polis itu dibebaskan. Pihak polis akur pada tekanan penunjuk perasaan dan membebaskan aktivis yang telah ditahan itu.

Pada keesokan harinya, iaitu pada 12 September, golongan aktivis ini mengadakan protes duduk bantah di simpang jalan antara Parnell Street dan O’Connell Street selama 45 minit dan menghalang trafik di sana. Setelah itu, golongan aktivis ini menuju ke 41 Belvedre Place dan menduduki kawasan itu.

Pada 22 September, Take Back The City telah mengadakan tunjuk perasaan yang paling besar di seluruh negara, termasuklah di bandar Dublin, Waterford, Cork, Limerick, Wexford, Galway, Derry dan Belfast.

Mereka telah mendapat sokongan daripada kesatuan pelajar Union of Students Ireland (USI) yang telah meluluskan usul tergempar untuk menyokong dan mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan. Penunjuk perasaan yang terdiri daripada ahli parti politik, kesatuan pekerja dan pelajar telah mengambil bahagian dalam aksi protes pada hari itu.

Di Dublin, penunjuk perasaan sekali lagi mengadakan protes duduk bantah di O’Connell Street, dan pada masa yang sama, Glebe House di Crumlin Village (sebuah kawasan di pinggir bandaraya Dublin) telah diduduki oleh empat orang aktivis selama 24 jam. Mereka mendesak Dublin City Council untuk mengambilalih bangunan ini supaya ia dapat digunakan rakyat, kerana ia sudah dibiarkan kosong hampir tiga tahun.

Namun begitu, Menteri Dalam Negeri untuk Perumahan dan Pembaharuan Bandar Damien English, melalui stesen radio RTE 1, telah mengeluarkan kenyataan bahawa meskipun beliau bersetuju dengan tunjuk perassan yang aman, beliau merasakan tindakan menduduki rumah yang kosong adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan kerja yang sia-sia sahaja.

Sementara itu, tunjuk perasaan yang berasingan telah diadakan di bandar Galway, Waterford, Sligo dan Cork pada hari yang sama. Sebuah tunjuk perasaan yang lebih besar yang dipanggil, “Raise The Roof” akan berlangsung pada 3 Oktober di luar Leinster House, iaitu bangunan Parlimen Ireland.

Sumber Rujukan:

https://www.irishtimes.com/news/social-affairs/almost-10-000-people-now-homeless-new-figures-show-1.3443383

https://www.housing.gov.ie/housing/homelessness/other/homelessness-data

http://www.thejournal.ie/homeless-family-hub-figures-dublin-4246411-Sep2018/

http://www.thejournal.ie/occupation-frederick-street-4186902-Aug2018/

http://www.thejournal.ie/high-court-north-frederick-street-vacate-4207155-Aug2018/

http://www.thejournal.ie/activists-housing-frederick-street-north-dublin-4208153-Aug2018/

http://www.thejournal.ie/housing-activists-dublin-occupation-4224284-Sep2018/

http://www.thejournal.ie/overreaction-to-a-peaceful-occupation-actions-of-gardai-and-security-firm-condemned-4231211-Sep2018/

http://www.thejournal.ie/overreaction-to-a-peaceful-occupation-actions-of-gardai-and-security-firm-condemned-4231211-Sep2018/

http://www.thejournal.ie/traffic-housing-protest-dublin-fredrick-street-4232688-Sep2018/

http://www.thejournal.ie/take-back-the-city-explainer-4242067-Sep2018/

trinitynews.ie/news/2018/09/usi-pass-emergency-motion-to-support-the-take-back-the-city-protest/

http://www.thejournal.ie/crumlin-house-occupied-housing-activists-dublin-4249518-Sep2018/

https://www.irishtimes.com/news/social-affairs/plan-for-3-500-social-homes-delivers-just-15-countrywide-1.3638894

http://www.rebelnews.ie/2018/09/14/the-unmasked-face-of-the-housing-emergency/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *