padang jawa01

SHAH ALAM, SELANGOR: Penduduk-penduduk yang menghuni di Lot 626 dan 1416 Kampung Padang Jawa telah mengadakan satu himpunan solidariti di kampung tersebut pada 23 September 2018 untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap ancaman pengusiran paksa daripada pemaju.

Turut bersama dengan penduduk semasa sidang akhbar himpunan solidariti kelmarin ialah wakil daripada kumpulan masyarakat dan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk A. Sivarajan (Setiausaha Agung PSM).

Lebih kurang 170 buah keluarga yang menetap di Lot  626 dan 1416 Kampung Padang Jawa, merupakan peneroka bandar yang menduduki kawasan tersebut sejak tahun 1970-an. Mereka dibenarkan untuk menduduki lot tanah ini oleh tuan tanah pada ketika itu melalui perjanjian sewaan tapak bersama pemilik tanah.

Pada asalnya kawasan ini dipenuhi belukar, namun telah dibangunkan sehingga menjadi sebuah penempatan yang sempurna setelah diteroka oleh penduduk-penduduk di sini.

Sewaan tapak yang dibayar oleh penduduk berjalan dengan lancar sehinggalah terhenti pada suatu masa yang tidak diketahui puncanya. Penduduk dimaklumkan bahawa tanah tersebut telah bertukar milik dari tuan tanah lama kepada beberapa pihak sehinggalah yang terkini, iaitu Ehsan Bina Sdn Bhd, pada sekitar tahun 2012.

Pada awalnya, dalam satu perbincangan antara wakil pemaju bersama wakil penduduk yang diadakan pada tahun 2014 bertempat di Hotel Concorde Shah Alam, pihak pemaju berkata bahawa akan membina perumahan Rumah Selangorku yang akan dijual kepada penduduk.

Pada tahun 2013, dengan penglibatan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail, satu perjumpaan telah diadakan di Dewan MBSA Padang Jawa dihadiri oleh Rodziah sendiri, wakil Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, wakil pemaju dan peguam pemaju. Rodziah mengesyorkan pada penduduk supaya memohon Rumah Selangorku, tetapi lokasinya di tempat lain dan bukan di Padang Jawa (tidak diberikan kepastian), yang adanya projek Rumah Selangorku Jenis A berharga RM 42,000 seunit.

Pemaju Ehsan Bina Sdn Bhd telah menyaman penduduk Kampung Padang Jawa di Mahkamah dengan tujuan mengusir mereka keluar dari kampung halaman mereka. Kes tersebut sampai ke Mahkamah Rayuan, di mana penduduk menang.

Dalam keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada pertengahan tahun 2016, Hakim Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa penduduk Kampung Padang Jawa bukanlah penceroboh tetapi penghuni yang menduduki tanah tersebut dengan kebenaran. Hakim juga memutuskan bahawa pemaju Ehsan Bina Sdn Bhd harus melalui pendengaran penuh di mahkamah sebelum menuntut pemilikan kosong tanah tersebut.

Justeru, pada bulan April 2017, pemaju Ehsan Bina menawarkan pula pampasan sebanyak RM 7000 kepada setiap kelarga, tetapi tiada apa-apa kepastian mengenai rumah alternatif daripada pemaju ataupun Kerajaan Negeri.

Namun, Ehsan Bina Sdn Bhd mengambil laluan pintas dan tidak memohon untuk pendengaran penuh di mahkamah seperti mana yg diperintah oleh Mahkamah Rayuan, sebaliknya bertindak memecahbelahkan penduduk dengan permohonan bahawa sebahagian besar penduduk telah menerima tawaran pemaju. Pendengaran penuh kes berkenaan isu Kampung Padang Jawa tidak pernah berlaku sehingga kini.

Malah, sehingga kini tiada apa-apa wang pampasan dibayar kepada mana-mana penduduk Kampung Padang Jawa, dan juga tiada apa-apa tawaran jelas perumahan alternatif daripada Kerajaan Negeri Selangor, walaupun pelbagai tawaran lisan telah dikemukakan sebelum ini.

Pada 4 April 2018, penduduk telah menyampaikan memorandum kepada Menteri Besar Selangor untuk menuntut campurtangan pihak Menteri Besar dalam menyelesaikan masalah penduduk kampung. Berikutan dengan itu, beberapa mesyuarat susulan telah diadakan dengan Haniza Mohamed Talha, selaku EXCO Perumahan Kerajaan Negeri Selangor.

Ketika EXCO Kerajaan Negeri Selangor sedang cuba mengatur perundingan antara pemaju dan penduduk kampung, penduduk Kampung Padang Jawa telah dikejutkan dengan satu perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 18 September 2018 melalui bailif mahkamah yang memberikan kebenaran kepada pemaju Ehsan Bina dan penguatkuasa untuk menggunakan merobohkan rumah penduduk kampung dan mengusir keluar mereka secara pada 4 Oktober 2018 yang akan datang. Ini merupakan taktik kotor peguam pemaju yang mendapatkan writ pemilikan kosong tanpa pemberitahuan kepada pihak penduduk atau peguam yang mewakili penduduk.

Tindakan pemaju juga menyebabkan tergendalanya cadangan penduduk kampung kepada EXCO Kerajaan Negeri Selangor Haniza, di mana beliau sedang mempertimbangkan cadangan penduduk supaya Kerajaan Negeri Selangor menggunakan Lot 647 yang bersebelahan dengan kampung tersebut untuk membina Rumah Selangorku yang berharga RM 42,000.

Namun, penduduk Kampung Padang Jawa tidak berpuas hati dengan ADUN Batu Tiga, Rodziah, yang berjumpa dengan mereka baru-baru ini, di mana beliau berkata bahawa Rumah Selangorku untuk penduduk Kampung Padang Jawa perlu dimohon melalui lawan web dan tiada kepastian bahawa mereka akan mendapat rumah tersebut. ADUN Rodziah juga enggan menghalang perobohan rumah yang bakal berlaku.

Penduduk-penduduk di Lot 626 dan 1416 Kampung Padang Jawa merupakan peneroka untuk kawasan ini dan mereka mempunyai hak untuk perumahan. Pengusiran paksa terhadap peneroka bandar tanpa adanya apa-apa penyelesaian yang adil, adalah pencabulan hak asasi manusia yang serius.

Penduduk-penduduk Kampung Padang Jawa menyeru pada Kerajaan Negeri Selangor supaya menggunakan kesungguhan politik untuk menghalang perobohan rumah secara paksa dan menyelesaikan masalah perumahan penduduk Kampung Padang Jawa. Para penduduk juga bertekad untuk melawan secara habis-habisan pengusiran paksa sekiranya ia berlaku nanti.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s