PSM sentiasa mengetengahkan gaji sosial untuk setiap individu bagi memastikan taraf hidup minimum yang berkualiti. Gaji sosial seperti kesihatan berkualiti yang percuma, pengangkutan awam yang efisien, perumahan mampu milik serta pendidikan percuma juga membantu rakyat untuk mengelakkan daripada kemelut kemiskinan.

Kos gaji sosial merupakan satu kos yang tinggi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam proses mengagihkan kekayaan. Satu persoalan yang kerap kali ditujukan kepada PSM adalah sumber kewangan untuk pelaksanaan. Maka polisi pengurusan kewangan wajar dibincangkan untuk membiayai gaji sosial yang dicadangkan PSM agar tidak dilabelkan sebagai menanam tebu di bibir.

Rasionalisasi perkhidmatan kerajaan

Berdasarkan tinjauan Forum Ekonomi Dunia (WEF), kerajaan Malaysia merupakan yang ke-15 paling efisien di dunia. Di sebalik tabir, terdapat banyak agensi berlapis yang boleh disatukan, dihapuskan atau dipindah kuasa untuk merendahkan kos operasi. Proses ini dikenali sebagai “rasionalisasi perkhidmatan sivil” dan tidak seharusnya dikelirukan dengan pengurangan peranan kerajaan berdasarkan idea neo-liberal.

Sebagai permulaan, Malaysia hanya memerlukan 10 buah kementerian, iaitu:

  • Kementerian Kewangan
  • Kementerian Pembangunan Sosial (Pendidikan, Sains, Sukan)
  • Kementerian Komuniti (Agama, Minoriti, Buruh, Pengguna, Informasi)
  • Kementerian Dalam Negeri (Polis, Penyelamat, Imigresen)
  • Kementerian Luar Negeri
  • Kementerian Infrastruktur (Pengangkutan, Tenaga, Kerja Raya)
  • Kementerian Kesihatan
  • Kementerian Sumber Asli (Pertanian, Perlombongan, Alam Sekitar)
  • Kementerian Pertahanan

Dari sini, penyatuan agensi yang memiliki tugasan yang hampir sama boleh dilaksanakan. Contohnya, Pertahanan Awam Di-Raja Malaysia (PADM) boleh ditubuhkan untuk mengambilalih tugasan penyelamat dan bencana daripada Agensi Bencana Negara, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan perkhidmatan ambulans. Agensi kewangan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) boleh disatukan menjadi Agensi Kewangan Negara.

Agensi berkaitan hal ehwal pengangkutan seperti Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ), Lembaga Lebu raya Malaysia (LLM), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Dasat (SPAD) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR ) boleh disatukan. PDRM boleh mewarisi kuasa penguatkuasa agensi tersebut. Pengurus Populasi Diraja Malaysia (PPDM) boleh ditubuhkan menggantikan Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menguruskan semua hal ehwal rakyat sama ada warganegara atau migran.

Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) akan mengambil semua jenis kuasa penahanan seperti kes cetak rompak daripada KPDNKK, jenayah kewangan, jenayah trafik dan komersial daripada BNM, Suruhanjaya Sekuriti. Proses menggabungkan dan mengagih semula tugasan jabatan akan mengurangkan jumlah jabatan dan kos operasinya.

Kerajaan Malaysia telah menubuhkan banyak syarikat khas dikenali sebagai “special purpose vehicle (SPV)” seperti GreenTech Corporation, Malaysian Nuclear Corporation, MRT Co, Malaysia Rail Link and MyHSR. Oleh kerana laporan kewangan tidak dibentangkan di parlimen seperti badan berkanun, ahli lembaga pengarah SPV dibayar dengan gaji tinggi. Untuk mengelakkan pembaziran dana kerajaan, semua SPV perlu dibubarkan. MyHSR dan Malaysian Rail Link boleh dipindah kepada KTMB manakala MRT Co kepada Prasarana dan TNB boleh menyerap GreenTech Corporation.

Dengan merasionalisasi struktur kerajaan, maka kos operasi dapat dikurangkan kerana sewa pejabat, peralatan,  perisian, kos pengurusan, dan kos penyelenggaraan dapat dikurangkan. Kerajaan Persekutuan merupakan penyewa ruang pejabat terbesar secara tidak langsung di Malaysia. Sebagai contoh, hampir semua penyewa ruang pejabat di Platinum Sentral adalah SPV atau agensi kerajaan. Semua agensi boleh dipindahkan ke Putrajaya manakala Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) diubahsuai menjadikan Parlimen.

 Malaysian Point of Services (MyPOS)

POS Malaysia boleh menjadi instrumen penting dalam mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan memudahkan interaksi rakyat dengan kerajaan. POS Malaysia Berhad perlu dimiliknegarakan semula oleh Kerajaan Malaysia dan diubahsuai sebagai MyPOS untuk memberikan semua khidmat urusan kaunter kerajaan seperti membuat pasport, MyKad, pendaftaran syarikat, pembaharuan lesen dan sebagainya. MyPOS boleh menyediakan khidmat penghantaran serta pemprosesan dokumen untuk OKU dan warga emas.

Pemindahan tugasan kaunter kepada MyPOS tidak akan mengurangkan tenaga kerja kerana lebih banyak pejabat pos perlu dibuka. Pada 2016, POS Malaysia mempunyai 19,021 orang staf dan dianggarkan hampir 280,000 orang staf baru perlu dipindah dari agensi dan jabatan lain kepada MyPOS untuk mengelakkan kesesakan pejabat. Dengan adanya MyPOS, kerajaan tidak perlu membuka, membina dan menyelenggara pejabat untuk pelbagai agensi di seluruh pelosok negara.

Kerajaan boleh memindah semua operasi bukan kaunter ke Putrajaya atau ibu negeri. Beberapa pejabat tertentu boleh diserahkan kepada MyPOS dengan selebihnya dijual atau ditutup. MyPOS boleh meningkatkan kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan kerana tidak perlu ke pelbagai pejabat kerajaan. Kos pengangkutan yang ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah dapat dikurangkan kerana tidak perlu berulang ke pelbagai pejabat.

Suruhanjaya Percukaian Entiti Malaysia (SPEM)

SPEM merupakan satu agensi baru yang akan mengambilalih bidang kuasa pengutipan cukai dan pendaftaran syarikat, menggantikan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),  Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kastam Diraja Malaysia serta pengutipan cukai untuk kerajaan tempatan dan negeri. SPEM boleh mewujudkan sebuah sistem daftar digital tentang informasi kewangan rakyat seperti isi rumah, pemilikan hartanah, hasil saham, faedah bank dan simpanan di bank. Sistem SPEM akan membuka akaun percukaian secara automatik apabila mencapai usia 18 tahun dan dibiarkan aktif sehingga meninggal dunia.

Kebarangkalian mengelakkan rasuah dan cukai akan berkurang kerana SPEM boleh mengesan apabila jumlah harta di atas paras pendapatan. Sistem pelepasan cukai oleh LHDN sekarang bersifat regresif. Contohnya, pelepasan cukai untuk pembelian komputer hanya dinikmati oleh pembayar cukai yang pendapatan RM2,830 ke atas. Dengan SPEM, pembelian komputer oleh golongan bergaji rendah akan memberikan jumlah defisit yang akan dibayar oleh kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah. 

Mengembangkan pendapatan boleh dicukai individu

Malaysia memiliki kadar cukai yang rendah berbanding saiz ekonomi, iaitu 15.3% pada 2016, berbanding dengan kebanyakan negara maju iaitu melebihi 30%. Sumbangan cukai individu kepada seluruh hasil negara untuk 2018 adalah 12.5% daripada 1.8 juta rakyat mendaftar untuk membayar cukai. Hal ini demikian kerana Malaysia tidak mengenakan cukai terhadap banyak jenis pendapatan khususnya terhadap untung modal, dividen serta kerja kedua/sambilan/perundingan.

Definisi pendapatan perlu dikembangkan daripada pendapatan gaji kepada pendapatan penuh termasuk faedah bank, untung amanah saham, untung transaksi mata wang asing, untung penjualan hartanah, elaun khas eksekutif, hadiah bernilai RM1,000 ke atas, kerja sambilan, hasil sewa kenderaan, “home-stay” dan sebagainya. Secara ringkas, pengembangan definisi pendapatan boleh dicukai menambah jumlah pembayar bercukai dan hasil cukai dengan golongan yang berpendapatan tinggi akan membayar cukai lebih tinggi berbanding dulu. Cukai tetap untuk syarikat pegangan pelaburan (IHC)  Kini, kebanyakan golongan berpendapatan tinggi memiliki IHC untuk mengurangkan hasil boleh dicukai dengan memasukkan perbelanjaan harian seperti petrol, tol, bil elektrik rumah, susut nilai kenderaan, bil telefon dan pelancongan sebagai kos operasi. Syarikat pegangan pelaburan (investment holding companies) tidak akan dikenakan cukai syarikat sebaliknya membayar cukai pada kadar sama dengan cukai korporat (24% pada 2018) terhadap hasil pelaburan. Sistem cukai tetap akan menutup semua lubang untuk mengelakkan cukai.

SENARIO CUKAI UNTUNG PELABURAN IHC UNTUNG BERSIH IHC
Untung Pelaburan 400,000.00 400,000.00
Kos Operasi 150,000.00 150,000.00
Untung Bersih 250,000.00 250,000.00
Hasil Boleh Dicukai 400,000.00 250,000.00
Kadar Cukai Syarikat 24.0% 24.0%
Jumlah Cukai (RM) 96,000.00 60,000.00

 

Cukai Kredit Alam Sekitar (Enviromental Credit Tax)

Cukai kredit alam sekitar (ECT) merupakan sejenis cukai barangan dan perkhidmatan umpama GST tetapi bukan bersifat memiskin rakyat. ECT bersifat mengubahkan budaya penggunaan rakyat kerana ECT dikenakan terhadap pencemar alam sekitar untuk memberi subsidi kepada penyelamat. Sebagai contohnya, semua tin aluminium, botol plastik dan botol kaca akan dikenakan cukai tetap sebanyak RM1 terhadap pembungkusannya. RM1 tersebut akan dibayar untuk setiap botol atau tin yang dibawa ke pusat kitar semula.

Sistem ini akan membantu golongan tanpa rumah (homeless) kerana dianggarkan setiap homeless mengutip hampir 100 botol dan tin sehari yang dijual ke pusat kitar semula. Jikalau mereka dibayar RM1 untuk setu tin atau botol, maka setiap homeless berpotensi menjana pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan yang boleh mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

Penggunaan tin dan plastik juga akan berkurang kerana harga minuman manis akan bertambah, manakala kitar semula akan bertambah kerana insentif kewangan. Kitar semula juga mengurangkan import bahan mentah seperti silika (kaca) dan aluminium (tin) serta menjimatkan kos pelupusan sampah. ECT boleh dikenakan terhadap pembelian petrol dan diesel oleh kenderaan peribadi untuk membiayai sistem pengangkutan awam percuma.

Cukai Rumah Kosong

Ketika ini, banyak spekulator membeli rumah di kawasan bandar dan membiarkan kosong untuk beberapa tahun sebelum dijual pada harga lebih tinggi. Spekulator dengan modal yang tinggi enggan menyewakan rumah menyebabkan kekurangan bekalan di dalam pasaran sewa rumah. Cukai rumah kosong akan dikenakan secara bulanan terhadap rumah tiada penghuni berdasarkan lokasi, saiz dan nilai.

Cukai rumah kosong meningkatkan kos menyimpan rumah kosong, maka memaksa spekulator untuk menyewa rumah tanpa penghuni. Apabila bekalan rumah sewa mengatasi permintaan rumah sewa, maka sewa rumah akan berkurang yang memanfaatkan golongan penyewa, khususnya mahasiswa, warga bujang dan golongan bawahan. Hasil cukai akan diserahkan kepada kerajaan tempatan untuk membina rumah mampu milik untuk pembeli rumah pertama. 

Kesimpulan

Umumnya, pelaksanaan gaji sosial di Malaysia yang disarankan oleh PSM bukan sesuatu yang mustahil. Sistem pengurusan yang efisien dapat mengurangkan ketirisan untuk mengurangkan kos operasi kerajaan serta meningkatkan kepuasan rakyat kerana pertambahan kualiti perkhidmatan. Cukai yang strategik boleh mengagihkan kekayaan daripada maha kaya kepada marhaen. Berdasarkan pengalaman negara kebajikan, golongan berpendapatan tinggi menerima baik kadar cukai yang tinggi apabila keluarga mereka juga menikmati gaji sosial.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s