PRK01.jpg

Dua pilihanraya kecil (PRK) yang berlangsung di negeri Selangor pada 8 September 2018, iaitu di kawasan DUN Balakong dan Seri Setia, telah menyaksikan Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya mengekalkan kerusi yang dimenangi dalam PRU-14 dengan mengalahkan pesaingnya dengan undi majoriti yang selesa. Namun, peratusan keluar mengundi untuk kedua-dua kawasan DUN yang terlibat mencatatkan paras yang amat rendah, iaitu 42% untuk Balakong dan 44% untuk Seri Setia. Peratusan keluar mengundi di Balakong merupakan peratusan terendah dalam sejarah PRK di negara kita setakat ini.

Di kawasan DUN Balakong, calon Pakatan Harapan daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Wong Siew Ki, berjaya meraih undi sebanyak 22,508 (bersamaan 84.99% perolehan undi), sementara calon daripada Parti MCA Tan Chee Teong hanya mendapat 3,975 undi (bersamaan 15.01%). Calon MCA yang menggunakan logo MCA bukannya logo BN dalam PRK ini, dapat mempertahankan depositnya dengan mendapat undi lebih daripada satu perlapan jumlah undi, berbanding dengan peratusan undi 10.90% dalam PRU-14 lalu yang menyebabkan calon BN hilang deposit. Namun, peratusan perolehan undi untuk Pakatan Harapan telah meningkat dari 77.53% dalam PRU-14 kepada hampir 85% dalam PRK ini.

Di kawasan DUN Seri Setia, calon Pakatan Harapan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Halimey Abu Bakar, memperoleh undi sebanyak 23,998 (bersamaan 58.60 %), mengalahkan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Halimah Ali yang mendapat 9,698 undi (bersamaan 41.40%). Peratusan undi yang diperoleh calon PAS telah meningkat dengan signifikannya berbanding PRU-14 setelah BN tidak meletakkan calon, sementara undi kepada Pakatan Harapan di Seri Setia telah menurun sebanyak 8.02 titik peratusan berbanding 66.62% undi dalam PRU-14.

PRK di kawasan DUN Balakong diadakan selepas penyandang jawatan ADUN Eddie Ng Tien Chee meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya pada 20 Julai 2018; sementara PRK untuk kawasan DUN Seri Setia terpaksa diadakan selepas Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos 2018 kerana penyakit kanser.

Dua PRK terbaru ini merupakan kali pertama calon Pakatan Harapan menggunakan logo bersama Pakatan Harapan untuk bertanding. Semasa PRU-14, Pakatan Harapan masih tidak dapat didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan dan parti-parti komponen Pakatan Harapan telah bersetuju untuk menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai logo bersama di Semenanjung Malaysia. Dalam PRK Sungai Kandis yang berlangsung pada 4 Ogos 2018, calon Pakatan Harapan daripada parti PKR masih menggunakan logo PKR.

Peratusan keluar mengundi yang rendah untuk dua PRK ini, menunjukkan mood rakyat untuk melibatkan diri dalam proses pengundian sudah menurun berbanding PRU-14. Antara faktor yang menyebabkan kekurangan minat pengundi untuk keluar mengundi dalam PRK adalah PRK ini berlangsung terlalu dekat selepas PRU-14, hasil PRK yang tidak akan mempengaruhi banyak senario politik negara atau negeri Selangor itu sendiri, dan juga keputusan PRK yang sudah pasti akan memihak kepada calon Pakatan Harapan sejak awal lagi. Kedua-dua kawasan DUN yang menjalankan PRK ini dimenangi Pakatan Harapan dalam PRU-14 dengan perolehan undi yang amat besar. Faktor calon yang tidak menawarkan apa-apa perkara yang menarik perhatian pengundi juga mengurangkan kadar keluar mengundi.

Dengan peratusan keluar mengundi yang begitu rendah, maka timbulnya satu persoalan bahawa adakah PRK yang sengaja diadakan untuk membolehkan Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen itu juga akan menemui nasib yang sama? Anwar Ibrahim dan PKR sedang merancang untuk PRK yang membolehkan Anwar sendiri bertanding supaya beliau dapat dipilih untuk kembali ke Parlimen sebagai persediaan mengambialih kuasa Perdana Menteri daripada Mahathir selepas itu. Namun, sekiranya peratusan keluar mengundi yang rendah dalam PRK yang disertai Anwar Ibrahim ini, berkemungkinan akan menjejaskan kredibiliti politik Anwar dan menambahkan faktor ketidakpastian dalam proses peralihan kuasa PM pada masa akan datang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s