oleh S. Arutchelvan

Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad tentang penetapan gaji minimum RM 1,050 untuk seluruh negara adalah satu langkah yang menjaja maruah pekerja bergaji rendah dan satu penghinaan kepada kaum pekerja. Ia adalah satu penipuan yang amat dashyat!

Sepanjang 22 tahun pemerintahan Mahathir sebagai Perdana Menteri sebelum ini, beliau tidak pernah membenarkan undang-undang gaji minimum digubal walaupun anak-anaknya sendiri adalah antara orang terkaya di Malaysia dan menjadi jutawan. Apabila Akta Gaji Minimum digubal pada tahun 2012, ramai rakyat biasa dan kesatuan sekerja gembira tetapi Mahathir tidak berpuas hati sama sekali . Sekarang sini setelah Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri, nampaknya tidak banyak yang telah berubah.

Pada 17 Julai tahun ini, Parti Sosialis Malaysia (PSM) merupakan salah satu kumpulan yang telah dijemput oleh Majlis Perundingan Gaji Negara untuk satu mesyuarat tergempar. Dalam mesyuarat tersebut, PSM mengusulkan gaji minimum RM 1,500 dan pekerja perlu dibayar tambahan gaji yang tertunggak dari 1 Julai 2018. Ini adalah kerana semakan gaji minimum mestilah dilakukan setiap 2 tahun dan semakan terakhir telah dibuat pada 1 Julai 2016. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula dalam mesyuarat tersebut meminta gaji minimum ditetapkan pada RM 1,800. Majlis Perundingan Gaji Negara sendiri pada mulanya mencadangkan RM 1,250 untuk Semenanjung Malaysia mengikut manifesto Pakatan Harapan, tetapi jika gaji perlu diseragamkan, mereka mencadangkan RM 1,170 di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak. Yang menarik adalah, wakil kaum majikan mengusul kenaikan RM 50 ringgit bermula dari Januari 2019, iaitu gaji minimum RM 1050.

Kini Mahathir mengumumkan apa yang diusulkan oleh majikan. Bukankah ini bererti kepentingan pekerja telah dilelong dan dijaja sepenuhnya oleh Mahathir? Saya fikir adalah tidak masuk akal untuk wujudkan Majlis Perundingan Gaji Negara sekiranya keputusan muktamad dibuat oleh Kabinet. Maka, PSM menyeru ahli-ahli Majlis Perundingan Gaji Negara supaya meletak jawatan sahaja sebagai langkah yang bermaruah memandangkan hanya suara majikan dan orang kaya sahaja ada nilai, dipertimbangkan dan didengar. Majlis Perundingan Gaji Negara juga telah membuang masa dan wang serta tidak mempunyai lokus untuk menentukan gaji minimum. Adalah lebih baik elaun mereka digunakan untuk perkara lain yang lebih berfaedah.

Berdasarkan manifesto Pakatan Harapan, ini bermakna dalam tempoh empat tahun akan datang, gaji minimum perlu ditingkatkan sebanyak RM 450 supaya dapat mencapai RM 1500. Ini akan menimbulkan lebih banyak tekanan kepada bakal Perdana Menteri setelah Mahathir melepaskan jawatannya kerana Mahathir merancang untuk bersara dalam masa 2 tahun. Saya pasti Mahathir tidak peduli nasib PM selepasnya. Yang lebih mendukacitakan adalah semasa zaman BN pun, gaji minimum dinaikkan sebanyak RM 100. Pakatan Harapan telah mengecewakan kaum pekerja di negara kita.

Adakah semua jaguh pekerja dalam Pakatan Harapan akan bersuara atau mereka akan menutup mulut mereka? Adakah mereka akan mempunyai keberanian untuk melawan kenyataan PM yang merupakan satu penghinaan kepada hak dan maruah pekerja? Adakah mereka akan membuka mulut mereka dan berdiri dengan pekerja atau adakah mereka lebih rela menyembah pada Mahathir dan rakan-rakannya yang kaya? Saya menantikan hujah kawan-kawan Yang Berhormat yang sebelum ini dilihat sebagai pembela kaum pekerja, termasuklah Kulasegaran, Abdullah Sani, Charles Santiago, Muhammad Sabu, Hanifa Maidin, Syed Shahril, P.Ramasamy, Maria Chin, Sivarasa, Tian Chua dan Nurul Izzah.

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Gaji minimum RM 1,050 – Mahathir menjaja maruah pekerja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *