MALAYSIA – 5 SEPTEMBER 2018: Kerajaan telah mengumumkan pada hari ini bahawa kadar gaji minimum diseragamkan bagi seluruh negara. Kadar gaji minimum yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019 ialah RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam, untuk seluruh negara Malaysia.

Ini bermakna selepas 2 tahun setengah, gaji minimum untuk pekerja di Semenanjung Malaysia hanya akan naik sebanyak RM 50 sahaja dari RM 1000 sebulan sebelum ini. Peningkatan gaji ini sekadar 5% sahaja dalam tempoh 2 tahun setengah.

Gaji minimum untuk Pekerja di Sabah dan Sarawak dinaikkan dari RM 920 ke RM 1,050, dengan peningkatan sebanyak RM 170.

Peningkatan gaji minimum ini memang sangat rendah dan jauh lebih rendah daripada apa yang diharapkan golongagan pekerja yang terpaksa hidup dengan pendapatan rendah setiap hari. Nampaknya kerajaan sekali lagi tunduk pada kehendak golongan majikan korporat yang hanya setuju dengan kenaikan gaji minimum ke RM 1,050 sejak awal lagi.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri berkaitan dengan pelarasan gaji minimum sektor ini mengatakan bahawa “peningkatan gaji minimum berkenaan adalah selaras dengan situasi ekonomi semasa negara”. Adakah Pejabat Perdana Menteri cuba berkata bahawa situasi ekonomi semasa negara kita tidak lagi membebankan lagi hidup rakyat, maka tidak perlukan gaji minimum yang lebih tinggi? Adakah kerajaan kita sudah sediakan perkhidmatan asas yang percuma serta berkualiti, seperti kesihatan, pendidikan, pengangkutan awam dan sebagainya kepada semua rakyat khususnya pekerja bergaji rendah, sehingga tidak perlu menaikkan gaji minimum ke satu paras yang munasabah?

Ataupun kerajaan kita menganggap peningkatan gaji minimum ini macam beri sedekah sahaja?

Gaji mininum mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013, dengan kadar RM 900 sebulan untuk Semenanjung dan RM 800 untuk Sabah dan Sarawak; kemudiannya dinaikkan pada 1 Julai 2016, dengan kadar RM 1000 untuk Semenanjung dan RM 920 untuk Sabah dan Sarawak.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) menuntut pelaksanaan gaji minimum RM 1500 yang diselaraskan di seluruh negara dengan serta-merta sejak sebelum PRU-14. Pakatan Harapan pula menjanjikan kenaikan gaji minimum ke RM 1500 secara berperingkat.

Kadar gaji minimum sekarang ini memang sangat rendah dan sangat tidak mencukupi untuk pekerja bawahan menampung kehidupan mereka. Kenaikan gaji minimum bulanan sebanyak RM 50 tidak akan membawa apa-apa makna yang signifikan kepada pengurangan beban hidup pekerja.

Dari segi ekonomi, kenaikan gaji minimum dengan satu jumlah yang signifikan, dapat merangsang kuasa beli pekerja dan membantu dalam kemampanan ekonomi dalam negara.

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *