Adalah dilaporkan bahawa cadangan untuk meningkatkan kadar bayaran konsultasi untuk doktor di hospital dan klinik swasta akan dibentangkan dalam mesyuarat kabinet yang akan datang.

Menurut Dr. Dzulfefly Ahmad, Menteri Kesihatan, semakan semula kadar caj di hospital dan klinik akan dibincangkan dalam kabinet dulu sebelum keputusan diambil.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Dr. Azman Abu Bakar memberitahu bahawa kertas mengenai cadangan semakan semula caj bayaran konsultasi untuk hospital dan klinik swasta yang diserahkan kepada Dr. Dzulfefly, telah mencadangkan kenaikan caj antara RM 35 dan RM 125.

Caj bayaran sekarang di hospital dan klinik swasta adalah antara RM 10 dan RM 35. Cadangan kenaikan ini bermakna caj di hospital dan klinik swasta akan meningkat 3 kali ganda.

Kenaikan kadar caj ini dikatakan telah dipersetujui dalam sesi town hall “Perundingan Pihak Berkepentingan Mengenai Cadangan Semakan Semula Caj Pengamal Am” yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.

Perlu diingatkan bahawa Kementerian Kesihatan juga sedang mengkaji pelaksanaan insurans kesihatan sosial untuk goongan berpendapatan rendah B40. Adakah insurans kesihatan sosial ini akan digunakan untuk membayar caj konsultasi yang telah dinaikkan sekiranya diluluskan? Jika ini berlaku, maknanya Kerajaan akan menggunakan lebih banyak dana awam untuk menyokong sistem kesihatan swasta. Bagaimana sistem kesihatan awam kita akan dapat dipertingkatkan sekiranya lebih wang dibelanjakan untuk “mensubsidi” sektor swasta?

Jika kerajaan meningkatkan peruntukan untuk kesihatan, dana tambahan tersebut sepatutnya digunakan untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam, seperti membina hospital dan klinik yang baru, membayar doktor di hospital dan klinik kerajaan dengan ganjaran yang lebih baik supaya mereka terus kekal di sektor awam, menambahkan kemudahan di hospital dan klinik awam, dan sebagainya. Sebarang dana tambahan yang digunakan untuk mensubsidi klinik dan hospital swasta melalui sistem insurans kesihatan, meskipun golongan B40 tidak perlu membayar premiumnya, hanya akan terus menghakis sistem kesihatan awam di negara kita.

Nampaknya kerajaan telah meletakkan keutamaan yang salah dalam memperbaiki sistem kesihatan di negara kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *