may_day_rally0105a.jpg

Dalam kaca mata ramai orang di Malaysia, PSM ini hanya parti politik yang memperjuangkan kepentingan golongan B40 sahaja. Bagaimana pula dengan M40 dan yang lain? Kenapa rakyat kelas menengah yang lain patut menyokong PSM?

B40 ialah 40% rakyat yang terbawah dalam masyarakat. Golongan B40 mengalami kehidupan yang susah akibat daripada pendapatan yang rendah dan pemerasan yang berterusan daripada sistem kapitalis. Masyarakat pekerja ladang, peneroka bandar, pekerja kontrak, Orang Asli dan sebagainya, merupakan komponen utama dalam golongan B40. Pelaksanaan dasar neo-liberal seperti sistem penyumberan luar (outsourcing) tenaga kerja yang menjadikan pekerja yang pada asalnya diupah sebagai pekerja tetap dijadikan pekerja kontrak yang tiada jaminan kerja, memiskinkan lagi golongan B40.

Memang sepanjang sejarah sejak penubuhannya, PSM menumpukan banyak usaha untuk memperkasakan rakyat bawahan dalam perjuangan menuntut hak dan kesejahteraan hidup mereka. PSM telah memainkan peranan penting dalam mengorganisasi dan memobilisasi rakyat daripada golongan B40 untuk membawa tuntutan mereka ke hadapan.

Menumpukan usaha dalam memperjuangkan kepentingan golongan B40 tidak bermakna PSM tidak mengendahkan masalah yang dihadapi oleh kelas menengah.

Kemajuan sebenar sesebuah masyarakat bukan diukur melalui betapa tingginya pencapaian golongan yang terkaya ataupun berapa buah bangunan cakar langit yang didirikan, tetapi diukur melalui bagaimana golongan bawahan yang terpinggir itu dilayan. Jika sesebuah masyarakat masih adanya orang yang hidup dalam papa kedana, tiada gunanya untuk kita bangga tentang berapa orang mahakaya di negara kita berada di tangga teratas dalam senarai orang terkaya ataupun betapa mewahnya rumah dihuni oleh golongan mahakaya ini.

PSM memperjuangkan keadilan sosial, di mana setiap rakyat dapat dilayan dengan baik dan hidup sejahtera tanpa mengira latar belakangnya. PSM memperjuangkan pengurangan jurang antara yang kaya dengan yang miskin, dengan memperkasakan golongan bawahan untuk menuntut perubahan sebegini. Hanya dengan jurang kekayaan dikurangkan dengan dasar-dasar sosio-ekonomi yang progresif, barulah masyarakat kita dapat mencapai tahap kemajuan yang tinggi dan semua rakyat dapat menikmati hasil kemajuan ini. Jikalau tidak, masyarakat kita akan berada dalam keadaan “apartheid ekonomi”, iaitu golongan yang miskin semakin terpisah dan diasingkan daripada masyarakat yang didominasi oleh golongan mahakaya.

Sekiranya masyarakat kita masih wujudnya ketidaksamarataan yang serius dan ramai rakyat hidup susah, bolehkah seorang daripada kelas menengah atas yang menikmati kekayaan itu hidup dengan tenang? Tidakkah dia akan sentiasa takut dirinya dirompak atau barang kepunyaannya dicuri oleh orang yang terdesak untuk mendapatkan kekayaan? Pada hakikatnya, mereka yang menjadi mangsa kepada jenayah yang diakibatkan oleh ketidaksamarataan ekonomi juga biasanya golongan kelas menengah dan bawahan yang tidak mampu melindungi diri mereka dengan mengupah pengawal peribadi atau memasang sistem keselamatan yang canggih di rumah mereka.

Oleh itu, kesusahan yang dialami golongan bawahan akan memberi impak juga kepada kehidupan golongan kelas menengah juga.

Satu lagi contoh, jikalau bukannya keadaan sosio-ekonomi yang lebih teruk di negara asal, tidak mungkin adanya ramai pekerja migran datang mencari nafkah di Malaysia, sehingga mewujudkan persaingan sesama pekerja yang mengekalkan gaji yang rendah untuk semua pekerja. Jika dapat hidup selesa di negara asal sendiri, tiada keperluannya untuk seseorang itu merantau jauh demi mencari nafkah, kecuali dia tertarik sangat dengan kecantikan alam dan keharmonian masyarakat di negara kita.

Jadi, untuk selesaikan masalah masyarakat secara keseluruhan, kita perlu menanganinya dari akar umbi. Fokus pada usaha memperkasakan golongan bawahan akan dapat membantu dalam memajukan masyarakat kita untuk kepentingan semua dan memastikan hak rakyat dilindungi.

Sementara itu, selain berjuang untuk isu-isu yang berkait rapat dengan golongan bawahan, PSM juga berusaha dalam membawa kempen-kempen yang dapat memanfaatkan lapisan masyarakat yang lebih luas termasuk golongan kelas menengah, seperti mempertahankan sistem kesihatan awam kita supaya dapat diakses semua rakyat, menuntut pengembalian pilihanraya tempatan supaya semua rakyat dapat menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan tempatan, memperjuangkan pencen warga emas untuk semua rakyat, memperjuangkan dasar perumahan yang memastikan sesiapa yang memerlukan rumah untuk tinggal adanya rumah, dan sebagainya.

PSM bukan sahaja memperjuangkan kepentingan golongan B40, tetapi juga memperjuangkan kepentingan bersama rakyat terbanyak yang sedang diancam oleh kekuasaan yang terlalu tertumpu dalam tangan golongan 1% mahakaya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s