loho PIL1 - 01 with wording.jpg

PIL1 tidak akan selesai masalah trafik
Jangan korbankan kemampanan untuk penyelesaian berjangka pendek

(Berikut ialah kenyataan yang dikeluarkan oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatakuasa Pusat PSM, pada 28 Ogos 2018.)

1. Parti Sosialis Malaysia amat bimbang tentang kesan projek lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL1) terhadap rakyat Pulau Pinang, seperti yang ditunjukkan dalam Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling untuk PIL1.

2. Projek lebuhraya sepanjang 19.5 km (termasuk 10.5 km terowong yang terdiri daripada 4 bahagian) ini yang memakan kos sebanyak RM 8 bilion, akan memberi kesan buruk kepada kualiti kehidupan rakyat biasa dan juga kelestarian alam sekitar di Pulau Pinang.

3. Projek lebuhraya ini bukannya penyelesaian berjangka masa panjang untuk masalah kesesakan lalu-lintas di Pulau Pinang. Analisis trafik telah menunjukkan bahawa lebuhraya yang dicadangkan ini akan mencapai kapasiti sepenuhnya pada tahun 2030. Dengan mengambilkira tempoh pembinaan yang mencecah 7 tahun, maka hanya tinggal lebih kurang 4 tahun untuk aliran trafik yang licin sebelum kita berdepan dengan masalah kesesakan lalu-lintas yang sama.

4. Pembinaan lebuhraya untuk mengalihkan aliran lalu-lintas tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu-lintas secara efektif, khususnya di pusat-pusat bandar. Untuk menangani kesesakan waktu puncak, kita perlu mengambil langkah untuk mengurangkan kenderaan persendirian atas jalan dengan meningkatkan sistem pengangkutan awam (seperti perkhidmatan bas yang lebih baik), bukannya menambahkan lebih banyak jalanraya dan lebuhraya. Membina lebuhraya hanya akan menarik lebih banyak kereta, merampas pengguna pengangkutan awam (termasuk sistem LRT yang dicadangkan yang juga akan menghubungkan bahagian utara dan bahagian selatan pulau), dam memburukkan lagi masalah kesesakan lalu-lintas.

5. Terdapatnya beberapa kekurangan dalam Laporan EIA untuk PIL1, antaranya:
– Laporan ini tidak mengambikira dengan sewajarnya risiko pembinaan terowong. Lebih separuh daripada lebuhraya PIL1 adalah melalui terowong. Laporan EIA gagal menjalankan analisis risiko terhadap kesan daripada “gerudi-dan-letup” yang digunakan semasa pembinaan terwong, kerana terdapatnya zon garisan sesar dan cerun bukit yang berbahaya. Laporan ini juga tidak menilai kesan pembinaan terowong terhadap aliran air bawah tanah.
– Laporan ini gagal menunjukkan scenario “kes paling teruk”, kerana pembinaan terowong yang melibatkan “gerudi-dan-letup” boleh mengakibatkan perubahan bentuk tanah yang mungkin akan mencetuskan keruntuhan dan penenggelaman. Menikut laporan EIA, “kawasan-kawasan yang bersilang dengan zon garis sesar adalah sangat mudah patah dan mudah runtuh. Ini boleh merosakkan pembinaan yang sedang berjalan dan struktur yang berdekatan, seperti kondominium, Kek Lok Si, Empangan Air Itam dan Kompleks Bukit Bendera.” Namun, tiadanya penilaian secara kuantiti terhadap ancaman sebegini. Kemusnahan yang disebabkan oleh ancaman seperti keruntuhan Empangan Air Itam, adalah di luar mitigasi.
– Laporan EIA ini tidak menunjukkan dengan sewajarnya persiapan untuk pengurusan tapak kerja. Laporan ini tidak menangani isu seperti bagaimana menguruskan serpihan batu yang banyak daripada proses pembinaan terowong sepanjang 10.5 km. Penyimpanan dan pengurusan bahan-bahan letupan untuk tujuan pembinaan terowng juga tidak dibincangkan dengan sewajarnya.
– Walaupun laporan EIA mengiktiraf bahawa paras pencemaran bunyi yang melebihi 70 dB (A) dalam lingkungan 20 m dari lebuhraya akan mempengaruhi sekolah, tempat perniagaan dan kediaman sepanjang hari, tetapi ia tidak menawarkan langkah-langkah mitigasi yang efektif untuk mereka yang terjejas.

6. Projek lebuhraya PIL1 akan mendatangkan ancaman jangka masa panjang kepada kesihatan, alam sekitar dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang, hanya untuk tujuan berjangka masa pendek dalam menyelesaikan masalah kesesakan lalu-lintas.

7. Kami mengulangi seruan kami kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya membatalkan projek lebuhraya PIL1.

8. Kami juga menuntut pada Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya mengkaji semula Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang. Kita perlukan anjakan paradigma dalam menyusun sistem pengangkutan dalam negeri kepada sesuatu yang benar-benar menggerakkan rakyat bukannya kereta.

9. Kami berpandangan bahawa Kerajaan Negeri patut mempertimbangkan dengan seriousnya cara-cara alternatif untuk menangani masalah kesesakan lalu-lintas, bukannya masih berpegang pada idea usang yang membina lebih banyak lebuhraya. Terdapatnya cara-cara yang lebih murah, lebih cepat dan lebih efektif berbanding pembinaan lebuhraya, misalnya jaringan perkhidmatan bas yang lebih bersepadu. Kerajaan patut membangunkan alternatif yang benar-benar mampan, bukannya membelanjakan lebih banyak lagi wang untuk menjaga kepentingan pemaju hartanah.

Baca lanjut: Batal Projek Lebuhraya PIL1 sekarang!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *