Lebuhraya tidak bawa kita ke mana-mana
Batal PIL1 sekarang!
(Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, pada 7 Ogos 2018)
1. Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya membatalkan cadangan untuk Projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL1). Ini kerana pembinaan lebuhraya dengan 6 lorong kereta yang menembusi kawasan bukit tidak akan dapat menyelesaikan masalah trafik di Pulau Pinang secara efektif. Lebih teruk lagi adalah ia akan mendatangkan kesan negatif terhadap alam sekitar, kesejahteraan masyarakat dan kualiti hidup kita.
2. Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) tentang projek PIL1 sedang dipamerkan untuk semakan dan komen daripada orang ramai. Laporan EIA telah menunjukkan bahawa projek lebunraya sepanjang 19.5 km dengan 6 lorong kereta yang memakan kos sebanyak RM 8 bilion ini akan menjejaskan dengan buruknya kehidupan rakyat biasa dan alam sekitar di Pulau Pinang. “Menyembunyikan” lebuhraya ini melalui terowong yang menembusi bukit, tidak akan mengurangkan kesan negatifnya terhadap ekologi bukit-bukit di Pulau Pinang.
3. Pembinaan lebuhraya untuk mengalihkan aliran trafik tidak akan menangani masalah kesesakan lalulintas secara efektif, khususnya di pusat bandar. Untuk mengatasi kesesakan waktu puncak, kita perlu mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kenderaan persendirian di atas jalan, dengan memperbaiki sistem pengangkutan awam (seperti perkhidmatan bas yang lebih baik), bukannya menambah lebih jalanraya dan lebuhraya. Membina lebuhraya hanya akan menarik lebih banyak kereta, mengurangkan penumpang pengangkutan awam dan memburukkan lagi masalah kesesakan lalulintas. Ini adalah fakta yang terbukti dan pengetahuan asas.
4. Projek PIL1 merupakan salah satu komponen dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, yang telah dirombak dan menyimpang secara ketaranya daripada pelan asal yang dicadangkan oleh pakar perunding kejuruteraan Halcrow, disebabkan oleh pengaruh daripada pemaju hartanah untuk memenuhi kepentingan mereka melalui Rakan Pelaksana Projek, SRS Consortium. Versi terbaru Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang fokus pada pembinaan projek mega memakan kos berbilion-bilion seperti PIL1 dan LRT, bukannya memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam yang sedia ada. Kos untuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang juga melonjak daripada RM 27 bilion pada asalnya kepada anggaran RM 46 bilion di bawah SRS Consortium.
5. Projek lebuhraya ini jelasnya dipandukan oleh kepentingan pemaju hartanah yang mencari keuntungan, dengan mengorbankan kualiti kehidupan rakyat biasa dan kelestarian alam sekitar.
6. Banyak kumpulan masyarakat sivil, termasuk Penang Forum dan persatuan-persatuan penduduk, telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap projek Lebuhraya PIL1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak patut mengabaikan atau menghina pandangan mereka yang bernilai dan berpandangan jauh ini. Penglibatan masyarakat sivil dengan pandangan kritikal terhadap isu-isu dasar dan pembangunan adalah penting untuk tadbir urus yang baik dan memupuk masyarakat demokratik yang sihat.
7. Kami menggesa pada Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya mengkaji semula Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang. Kita perlukan anjakan paradigm dalam menyusun sistem pengangkutan negeri untuk menjadikannya benar-benar menggerakkan orang bukan kereta.
8. Kami berpandangan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang patut mengkaji secara seriusnya cara-cara alternatif untuk menangani masalah kesesakan trafik, bukannya masih meneruskan idea usang untuk membina lebih lebuhraya.
9. Kami mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya menggunakan pendekatan pengangkutan awam berasaskan bas untuk menangani isu pergerakan harian. Ini merupakan cara yang jauh lebih murah dan boleh dilakukan dalam tempoh masa yang singkat tanpa mendatangkan impak negatif yang meluas kepada masyarakat dan alam sekitar. Pendekatan berasaskan bas ini akan termasuk pembentukan rangkaian bas yang lebih luas dan berintegrasi, laluan khas untuk bas, dan pengenalan kepada sistem Bus Rapid Transit (BRT). Perlu juga penekanan pada kemampuan rakyat, mudah akses, mesra pengguna, ketepatan masa, sambungan yang baik dan liputan rangkaian yang lebih baik.
10. Sistem pengangkutan awam berasaskan bas adalah cara yang lebih murah, lebih cepat dan lebih efektif, berbanding dengan pembinaan lebuhraya. Adalah tidak masuk akal untuk pembuat dasar kita tidak mengambilkira secara serius pilihan ini, sebaliknya sanggup membelanjakan lebih wang untuk memenuhi kepentingan pemaju hartanah.
11. Kami juga menyeru pada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk melakukan pembaharuan terhadap Majlis Pengangkutan Negeri Pulau Pinang (PTC), dengan, menyalurkan kuasa kepada PTC, supaya mewujudkan dan memperkukuhkan peranannya sebagai badan berkuasa untuk mengawasi perancangan pengangkutan dan pelaksanaan pelan pengangkutan di Pulau Pinang. PTC juga perlu didemokrasikan. Pemberdayaan dan pendemokrasian PTC boleh dilakukan melalui pemilihan umum untuk memilih ahli-ahlinya (sebahagiannya jika bukan semua). Pendemokrasian harus menjadi langkah yang penting untuk memajukan pembaharuan sosial dalam era “Malaysia Baru” ini.
One thought on “Batal Projek Lebuhraya PIL1 sekarang!”