maxresdefault.jpg

Tokoh pemikir kiri Samir Amin telah meninggal dunia pada 12 Ogos 2018 di Paris, Perancis.

Samir Amin merupakan seorang ahli ekonomi, aktivis dan pemikir Marxis yang terkenal di dunia. Samir lahir di Mesir dan belajar di Perancis pada tahun 1947-1957. Samir pernah menyertai Parti Komunis Perancis, tetapi kemudiannya beliau menjarakkan diri daripada fahaman “Marxisme” yang dibawa oleh Kesatuan Soviet. Pemikiran Samir lebih dekat dengan golongan Maois pada masa itu. Samir pulang ke Kaherah, Mesir, pada tahun 1957-1960, bekerja dengan kerajaan Mesir sebagai pegawai penyelidik di Institusi Pengurusan Ekonomi. Samir kemudiannya berpindah di beberapa buah negara sebelum menjadi Pengarah Forum Dunia Ketiga (Third World Forum) yang beribupejabat di Dakar, Senegal, pada tahun 1980.

Samir Amin merupakan penggerak utama dalam Forum Dunia untuk Alternatif dan juga Solidariti Selatan-Selatan.

Samir Amin pernah menulis dan menerbitkan banyak buku tentang kapitalisme, imperialism dan Marxisme. Antara tulisannya yang penting termasuk “Accumulation on a World Scale: A Critique of the Theory of Underdevelopment”, “A Critique of Eurocentrism and Culturalism: Modernity, Religion, and Democracy”, “The Implosion of Contemporary Capitalism” dan “Capitalism in the Age of Globalization”.

Samir Amin merupakan salah seorang pemikir utama yang memperkembangkan teori radikal yang penting berkenaan dengan ekonomi politik antarabangsa, iaitu, Teori Kebergantungan (Dependency Theory) dan Analisis Sistem Dunia.

Berbeza dengan ekonomi arus perdana yang membandingkan ekonomi negara sebagai unit yang berbeza sesama sendiri, teori kebergantungan menganggap ekonomi dunia sebagai SATU sistem yang bersepadu. Sistem pemerasan terhadap buruh dan sistem negara tidak dapat dibezakan dalam sistem dunia yang bersepadu ini. Oleh itu, sistem negara adalah kesan daripada perluasan modal sedunia.

Teori Kebergantungan mengatakan bahawa sumber-sumber kekayaan mengalir dari negara-negara miskin dan kurang membangun di “pinggiran” (periphery) ke negara-negara kaya di “teras”. Negara teras menjadi semakin kaya dengan meminggirkan negara-negara pinggiran.  Penghujahan utama dalam teori kebergantngan adalah negara-negara miskin dimiskinkan dan negara kaya pula dikayakan dengan cara negara-negara miskin disepadukan dalam “sistem dunia”.

Walaupun teori kebergantungan tidak lagi memainkan pengaruh dalam bidang kajian pembangunan, namun teori ini masih sesuai untuk mengkaji realiti pembangunan yang tidak seimbang dalam pembahagian kekayaan sedunia dan juga perkembangan kelas menengah di negara-negara Selatan yang bergantung secara global.

Samir Amin mengajukan idea “memutuskan penghubungan” (delinking) untuk negara-negara kurang maju membebaskan diri daripada kongkongan imperialis negara-negara “teras”. Samir Amin menyokong dunia yang multipolar sebagai pengganti kepada susunan dunia yang dipengaruhi hegemoni Amerika Syarikat pada masa kini.

Walaupun Samir Amin sudahpun meninggal dunia, namun beliau telah meninggalkan sumber-sumber pemikiran yang penting untuk kita semua dalam usaha memahami realiti dunia kita yang masih dikuasai imperialisme kapitalis dan juga mencari untuk alternatif pembebasan rakyat di Dunia Ketiga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *