Kerajaan tempatan merupakan peringkat ketiga dalam komponen sistem pentadbiran kerajaan di negara kita, iaitu selepas Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Kerajaan tempatan termasuk Dewan/Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

Sesebuah kerajaan tempatan bertanggungjawab ke atas pengurusan setempat dan penting untuk memastikan pembangunan mampan setempat, menjaga alam sekitar
dan menyediakan kemudahan sosial bagi penduduk setempat. Kerajaan tempatan berurusan secara harian dengan rakyat.

Kerajaan tempatan mempunyai peranan dan tugas-tugas seperti: perancangan tempatan; mengeluarkan lesen (seperti lesen penjaja, lesen untuk premis perniagaan dan sebagainya); merancang dan menyediakan kemudahan awam; membina bangunan, perumahan dan unit-unit perniagaan (seperti pasar, gerai-gerai dan sebagainya); mengurus dan mengawal lalu lintas; mengutip hasil cukai seperti cukai pintu; berkuasa meluluskan atau menolak pelan untuk sesuatu projek pembangunan.

Namun, rakyat Malaysia tidak mempunyai hak untuk memilih kerajaan tempatan dan wakil rakyat di peringkat majlis tempatan melalui pilihan raya sejak tahun 1960-an apabila pilihan raya tempatan digantung sehingga kini.

Kenapa perlunya pilihan raya tempatan?

Pilihan raya tempatan dapat menjamin kebertanggungjawaban kerajaan tempatan terhadap rakyat setempat.

Oleh sebab ahli-ahli majlis tempatan sekarang ini dilantik oleh parti-parti pemerintah di negeri masing-masing, ini menyebabkan kebanyakan ahli majlis hanya melakukan tugas mereka sebagai budak suruhan kepada kerajaan negeri, bukannya rakyat tempatan yang sepatutnya menerima perkhidmatan mereka. Dengan adanya pilihan raya tempatan, ahli-ahli majlis tempatan akan bertanggungjawab terus kepada pengundi, dan bukannya kerajaan negeri yang melantik mereka tanpa proses demokrasi. Para pengundi juga boleh menukar ahli majlis yang tidak melaksanakan tugasnya secara baik melalui proses pengundian.

Dengan adanya pilihan raya tempatan, pihak berkuasa tempatan akan menjadi lebih peka dan lebih bertanggungjawab kepada kepentingan rakyat setempat, kerana sekiranya kerajaan tempatan tidak menjalankan tugas secara baik, ia akan ditukar dalam pilihan raya tempatan yang akan datang.

Sejarah ringkas pilihan raya tempatan di Malaysia

Pilihan raya kerajaan tempatan pertama kali diperkenalkan di George Town, Pulau Pinang pada tahun 1857, tetapi dimansuhkan pada tahun 1913, kemudiannya dipulihkan semula pada tahun 1951, apabila Ordinan Majlis Tempatan diwujudkan pada tahun 1950.

Ordinan Majlis Tempatan 1952 mewujudkan majlis tempatan untuk kawasan luar bandar.

Pada tahun 1958, pilihan raya tempatan telah dijalankan untuk majlis bandaraya, majlis perbandaran dan majlis daerah.

Pilihan raya tempatan yang terakhir dijalankan pada tahun 1963 sebelum semua pilihan raya tempatan digantung apabila darurat diumumkan pada bulan September 1964, semasa berlakunya Konfontrasi dengan Indonesia.

Suruhanjaya Diraja Penyiasatan ke atas Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung Malaysia ditubuhkan pada tahun 1965 dan dipimpin oleh Athi Nahappan. Dalam laporan yang diterbitkan pada bulan Disember 1968, Suruhanjaya Diraja telah menyarankan bahawa setiap ibu kota di Semenanjung Malaysia patut ditadbir oleh pihak berkuasa tempatan yang terdiri daripada wakil yang dipilih oleh rakyat, dan ini patut diperluaskan ke tempat lain juga. Namun, saranan daripada laporan tersebut tidak dipeduli oleh Kerajaan pada masa itu.

Akta Kerajaan Tempatan 1976 telah menggantungkan semua pilihan raya tempatan.

Pada masa kini, semua Yang Di-Pertua Majlis Tempatan atau Datuk Bandar dan Ahli Majlis Tempatan dilantik oleh Kerajaan Negeri tanpa pilihanraya.

Bolehkah Kerajaan Pakatan Harapan mengembalikan pilihanraya tempatan?

Janji 25 dalam Buku Harapan (Manifesto Pakatan Harapan semasa PRU-14), berkenaan dengan “memperkukuh peranan dan kuasa pihak berkuasa tempatan”, menyatakan bahawa:

“Pakatan Harapan komited untuk memperkukuhkan demokrasi setempat. Akauntabiliti pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada masyarakat setempat akan dipertingkatkan agar mereka menjadi lebih bertanggungjawab kepada penduduk setempat dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 akan dipinda untuk memastikan hasrat ini tercapai. Pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil setempat akan diberi tempat untuk menyuarakan pandangan mereka secara terus dalam PBT.”

Walaupun tidak tertulis dengan jelasnya bahawa Pakatan Harapan akan mengembalikan pilihan raya tempatan, tetapi Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin telah mengatakan bahawa pilihan raya bagi memilih datuk bandar mungkin dapat dilaksanakan dalam tempoh 3 tahun. Ini merupakan satu petanda yang baik bahawa Pakatan Harapan akan berusaha mengembalikan pilihanraya tempatan.

Pengembalian pilihan raya tempatan sebenarnya bukannya satu perkara yang baharu untuk parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan. Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah meletakkan pengembalian pilihan raya tempatan dalam manifesto mereka.

Di negeri Pulau Pinang, selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa pentadbiran pada tahun 2008, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah untuk memulihkan pilihan raya tempatan. Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dalam meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012, tetapi pilihan raya tidak dapat diadakan kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan memberi komitmen untuk melaksanakan pilihan raya. Kerajaan Negeri Pulau Pinang kemudiannya menyaman Kerajaan Pusat dan SPR ke Mahkamah Persekutuan, namun Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan untuk mengadakan pilihan raya di Pulau Pinang dalam satu keputusan pada bulan Ogos 2014.

Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat juga pernah merancang untuk mengadakan pilihan raya tempatan secara berperingkat.

PRU-14 telah menyaksikan kemenangan besar Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan dan di banyak buah negeri. Harapan untuk memulihkan undi di peringkat Kerajaan Tempatan telah kembali semula. Seruan untuk pilihan raya tempatan juga semakin kuat, daripada masyarakat sivil sehinggalah wakil rakyat Pakatan Harapan.

Bagaimana pulihkan pilihan raya tempatan?

Penghalang utama untuk mengadakan pilihan raya tempatan adalah Akta Kerajaan Tempatan 1976. Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dengan tajuk “Peruntukan berhubungan dengan pilihanraya kerajaan tempatan terhenti mempunyai kesan” menyatakan bahawa, “walau apapun yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, semua peruntukan berhubungan dengan pilihan raya kerajaan tempatan hendaklah terhenti berkuatkuasa atau mempunyai kesan”.

Oleh itu, bagi membolehkan pilihan raya tempatan dapat dikembalikan, Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 perlu dimansuhkan. Sementara itu, Seksyen 9 dan 10 akta yang sama ini, berkenaan dengan kuasa kerajaan negeri memberi arahan kepada kerajaan tempatan dan juga perlantikan ahli majlis, perlu dipinda sekiranya ingin memulihkan pilihan raya. Pindaan terhadap Akta Kerajaan Tempatan 1976 hanya memerlukan majoriti lebih 50% dalam Dewan Rakyat. Pakatan Harapan sekarang ini telah menguasai lebih 50% kerusi dalam Dewan Rakyat dan sepatutnya pindaan terhadap Akta ini dapat diluluskan dengan mudah.

Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 juga boleh dijadikan contoh rujukan bagi negeri-negeri yang ingin menggubal enakmen untuk membolehkan pelaksanaan pilihan raya tempatan.

Walau bagaimanapun, beberapa isu berkaitan dengan pilihan raya tempatan seperti logistik perjalanan pilihan raya, sistem pengundian yang digunakan, senarai pengundi dan sebagainya perlu diselesaikan seboleh mungkin sebelum mengadakan pilihan raya. Sekiranya perlu mendapatkan input yang bernas untuk membolehkan pilihan raya tempatan diadakan dengan licinnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh melakukan usaha memungut pendapat daripada masyarakat sivil; ataupun Dewan Rakyat menubuhkan Jawatan Pemilihan Parlimen untuk memungut pendapat daripada seluruh rakyat Malaysia.

Kembalikan pilihan raya tempatan

Malaysia telah melangkah ke era baharu dengan kejatuhan rejim UMNO-BN yang menjadi penghalang kepada perkembangan demokrasi di negara kita. Oleh itu, ruang untuk rakyat menentukan nasib kita bersama melalui proses demokrasi sepatutnya terbuka luas. Pemulihan pilihan raya tempatan merupakan satu langkah yang penting untuk memperluaskan ruang demokrasi dan memperdalamkan proses pembaharuan masyarakat kita.

Institusi demokrasi di negara kita hanya akan disempurnakan dengan adanya pilihan raya kerajaan tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *