Pada 21 Februari 1848, Manifesto Komunis diterbitkan di London, Britain. Manifesto Komunis ditulis secara bersama oleh Karl Marx dan Friedrich Engels. Buku yang kecil ini pada asalnya bertujuan untuk digunakan sebagai program politik bagi “Liga Komunis” (dalam bahasa Jerman: Bund der Kommunisten). Liga Komunis merupakan prototaip kepada organisasi revolusioner kelas proletariat. Pada tahun 1847, Marx dan Engels berjaya memujuk “Liga Keadilan” (Bund der Gerechten, atau dalam bahasa Inggeris: League of the Just, bukannya Justice League dalam DC Comics) untuk bergabung dengan Jawatankuasa Surat-menyurat Komunis (Kommunistisches Korrespondenz-Komitee) yang dipimpin oleh mereka di Brussels, dan mengorganisasi semula menjadi “Liga Komunis”. Pada bulan Disember 1847 hingga Januari 1848, Marx dan Engels ditugaskan untuk menulis program tindakan bersama Liga Komunis, yang diterbitkan sebagai “Manifesto Komunis” kemudiannya.
Marx dan Engels berpandangan bahawa golongan komunis “tidak sanggup untuk menyembunyikan pandangan dan hasrat mereka”, maka mereka mengajukan matlamat revolusi yang jelas: menjatuhkan pemerintahan kelas kapitalis dan membina sebuah masyarakat baharu tanpa kelas.
Revolusi 1848
Semasa Marx dan Engels menulis Manifesto Komunis, benua Eropah sedang berada di ambang tercetusnya gelombang Revolusi 1848 yang hebat. Pada masa itu, wujudnya keadaan “ketenangan sebelum ribut”. Kuasa-kuasa yang reaksioner sedang menular di Eropah, sementara kelas pekerja hampir tidak dapat dimobilisasikan. Marx sendiri juga dibuang negeri ke Brussels. Namun, pada ketika Manifesto Komunis diterbitkan, segalanya telah berubah secara mendadak dengan menyaksikan permulaan gelombang revolusi yang merebak di seluruh benua Eropah.
Pada bulan Januari 1848, Sicily di Itali menjadi tempat paling awal tercetusnya gelombang revolusi apabila rakyat bangkit menentang pemerintahan kerajaan Bourbon di situ.
Pada bulan Februari 1848, revolusi rakyat tercetus di Perancis (iaitu negara yang mengusir keluar Marx pada tahun 1845 atas permintaan Raja Prusia, Jerman), sehingga menjatuhkan pemerintahan “Monarki Julai” dan menubuhkan kerajaan Republik Kedua Perancis (tetapi tidak kekal lama kerana tindakan kudeta oleh Louis-Napoléon Bonaparte pada tahun 1852). Alexis de Tocqueville, seorang ahli politik kelas borjuasi, menulis tentang Revolusi Perancis pada tahun 1848 dalam buku harian peribadinya “Recollections”, di mana beliau menyatakan bahawa, “masyarakat dibahagikan kepada dua: mereka yang tidak memiliki apa-apa bergabung dalam perasaan iri hati secara bersama, dan mereka yang memiliki segalanya bergabung dalam keganasan secara bersama.” Ini dengan jelasnya menggambarkan pertentangan kelas yang begitu sengit pada masa itu.
Pada bulan Mac 1848, berlakunya kebangkitan rakyat di Berlin, Jerman, apabila golongan kelas menengah, kelas pekerja dan petani berprotes di jalanan, dengan tuntutan untuk kebebasan akhbar, kebebasan berhimpun, penyatuan negara Jerman dan sebagainya. Aksi protes rakyat memaksa raja Prusia pada masa itu bersetuju dengan sebahagian tuntutan rakyat (tetapi tidak melaksanakannya selepas itu). Pada tahun 1848, wilayah-wilayah di seluruh Konfederasi Jerman dilanda gelombang revolusi. Namun, revolusi di Jerman akhirnya digagalkan oleh kuasa golongan aristokrat yang konservatif.
Di Britain, penyokong-penyokong gerakan Piagam Rakyat (Chartism) mengadakan perhimpunan besar-besaran pada bulan April 1848 dan mengemukakan petisyen untuk pembaharuan sistem pilihanraya kepada Parlimen, tetapi ditolak oleh golongan pemerintah pada masa itu.
Benua Eropah pada tahun 1848, secara politiknya berada di persimpangan pertembungan antara idea-idea politik baharu dengan struktur kekuasaan yang lama. Dari segi ekonomi, benua Eropah sedang mengalami perkembangan yang pesat kerana Revolusi Perindustrian. Sistem sosio-ekonomi yang bersifat kapitalis semakin hari semakin kukuh. London, tempat di mana Manifesto Komunis itu diterbitkan, merupakan jantung kepada sistem ekonomi kapitalis sedunia pada masa itu.
Ekonomi kapitalis membawa pembangunan ekonomi yang hebat, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelumnya, tetapi pada masa yang sama, ia mendatangkan lebih banyak lagi penderitaan dan kesusahan kepada rakyat bawahan yang menaburkan buruh mereka untuk pembangunan ekonomi. Oleh itu, penentangan rakyat pekerja yang hidup merana di bawah sistem kapitalis ini, sememangnya sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Di mana adanya penindasan, di situ adanya perlawanan. Perjuangan melawan ketidakadilan memerlukan idea revolusioner, hala tuju politik yang jelas dan program perjuangan yang bersesuaian, untuk mencapai pembebasan masyarakat yang sebenar. Penerbitan Manifesto Komunis adalah tepat pada masanya ketika itu kerana ia telah menyahut panggilan zaman untuk idea-idea perubahan yang radikal. Malah, idea-idea dan semangat yang terkandung dalam Manifesto Komunis ini masih relevan sehingga hari ini.
Apa yang ditulis dalam Manifesto Komunis?
Manifesto Komunis dibahagikan kepada 4 bab dan satu pendahuluan yang ringkas.
Dalam ayat pemula dalam pendahuluannya, dinyatakan bahawa, “Adanya satu hantu, hantu komunisme, sedang berkeliaran di Eropah. Segala kekuasaan di Eropah lama telah bersatu dalam satu persekutuan keramat untuk mengusir hantu ini.” Parti-parti politik di semua negara, sama ada parti pemerintah atau parti pembangkang, telah menggunakan label “komunisme” untuk mengutuk musuh politiknya, dan ini menggambarkan bahawa “Komunisme sudahpun diakui oleh semua kekuasaan di Eropah sebagai sejenis kuasa”. Maka, Manifesto Komunis mencadangkan bahawa, “telah tiba waktunya untuk golongan komunis menerangkan secara terbuka pandangan mereka, matlamat mereka, niat mereka, dan menolak dongeng tentang hantu komunisme dengan manifesto parti mereka sendiri.”
Bab pertama bertajuk “borjuis dan proletariat”, telah menerangkan pandangan materialisme historis, dengan kenyataan bahawa “sejarah segala masyarakat sehingga kini, adalah sejarah perjuangan kelas”.
Dalam semua bentuk masyarakat kelas yang wujud, majoriti rakyat yang tertindas hidup di bawah pemerintahan zalim golongan kelas penindas yang merupakan minoriti kecil. “Orang yang menindas dan orang yang ditindas, sentiasa berada di kedudukan bertentangan antara satu sama lain, melakukan perjuangan secara berterusan tanpa putus-putusnya, kadang-kadang secara tersembuyi, kadang-kadang secara terang-terangan, satu perjuangan yang setiap kalinya akan berakhir dengan sama ada seluruh masyarakat diubah secara revolusi ataupun kelas-kelas yang bermusuhan musnah secara bersama-sama.”
Manifesto ini berhujah bahawa, sifat istimewa dalam zaman kapitalisme adalah pertentangan kelas telah menjadi semakin jelas. “Seluruh masyarakat semakin hari semakin terpecah kepada dua golongan besar yang bermusuhan, terpecah kepada dua kelas yang bertentangan secara langsung: borjuasi dan proletariat.” Di bawah sistem kapitalis, kelas pekerja ataupun kelas proletariat, melakukan perjuangan kelas terhadap kelas borjuasi yang menguasai sumber pengeluaran. Kelas borjuasi menjadi kelas yang berkedudukan untuk memerintah, menggantikan kekuasaan masyarakat feudal yang lama di Eropah, melalui “revolusi yang berterusan terhadap alat pengeluaran, oleh itu terhadap hubungan pengeluaran, dan oleh itu terhadap segala hubungan sosial”. Kelas borjuasi sentiasa mengeksploitasi kelas proletariat untuk mengaut keuntungan daripadanya, dan mengumpulkan modalnya, sehingga proses ini menghasilkan “penggali kuburnya sendiri” – kelas proletariat. Kelas pekerja yang menyedari potensi revolusioner dalam dirinya dan berorganisasi untuk menyatukan dirinya, akan merampas kuasa melalui revolusi, menjatuhkan pemerintahan kelas borjuasi.
Bab kedua bertajuk “proletariat dan komunis”, menggariskan hubungan antara golongan komunis dengan kelas pekerja. Menurut Manifesto Komunis, parti komunis tidak akan membantah parti-parti kelas pekerja yang lain, kerana tujuan terdekat parti komunis adalah sama dengan parti-parti kelas proletariat yang lain, iaitu “menjadikan kelas proletariat sebagai satu kelas, menjatuhkan pemerintahan kelas borjuasi, membolehkan kelas proletariat merampas kuasa pemerintahan”. Namun, berbeza dengan parti-parti kelas proletariat yang lain, parti komunis akan sentiasa “menunjukkan serta mengedepankan kepentingan-kepentingan bersama seluruh kelas proletariat tanpa mengira bangsa”.
Bab ini juga mengemukakan hujah-hujah mempertahankan komunisme, misalnya penghapusan sistem pemilikan swasta dalam masyarakat borjuasi. Manifesto Komunis menulis, “Komunisme tidak menafikan kuasa sesiapa untuk memiliki produk masyarakat, ia hanya merampas kuasa mereka yang menggunakan pemilikan sebegini untuk memperhambakan orang lain dalam melakukan kerja.” “Adanya orang berhujah bahawa jika sisten pemilikan swasta dihapuskan, maka segala aktiviti akan terhenti, dan gejala kemalasan akan meningkat. Jikalau begitu, masyarakat kapitalis sepatutnya sudahpun hancur oleh sebab kemalasan sejak awal lagi, kerana dalam masyarakat ini, orang yang menyumbangkan tenaga buruh tidak memiliki apa-apa, sedangkan orang yang memiliki segalanya tidak perlu menyumbangkan tenaga buruhnya.”
Manifesto Komunis membidas hujah golongan nasionalis borjuasi yang mengatakan bahawa komunis mahu menghapuskan tanahair dan bangsa. “Pekerja tiadanya tanahair. Kita tidak boleh merampas benda yang tidak dipunyai mereka. Oleh kerana kelas proletariat pada mulanya perlu mendapatkan pemerintahan politik, perlu mengangkat dirinya sebagai kelas yang memimpin bangsa, perlu mengorganisasikan dirinya menjadi bangsa, maka ia sendiri masih bersifat kebangsaan, walaupun bukan seperti yang difahami oleh kelas borjuasi.” “Apabila eksploitasi manusia terhadap manusia dihapuskan, eksploitasi satu bangsa terhadap bangsa yang lain turut akan dihapuskan. Apabila pertentangan kelas dalam sesuatu bangsa dihapuskan, hubungan permusuhan antara bangsa juga akan hilang.”
Berkenaan dengan hubungan antara ideologi dan masyarakat kelas, bab kedua Manifesto Komunis menghujahkan bahawa “pemikiran yang menguasai setiap zaman sentiasanya adalah pemikiran kelas pemerintah”. “Revolusi komunis adalah pemutusan yang paling radikal dengan hubungan pemilikan yang tradisional; maka tidak menghairankan bahawa dalam proses perkembangannya ia akan berputus secara paling radikal dengan fikiran-fikiran yang tradisional.”
Manifesto Komunis juga menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk melakukan revolusi, seperti mengenakan cukai progresif dengan kadar yang lebih tinggi, menghapuskan perwarisan harta pusaka, memiliknegarakan sistem pengangkutan, menghapuskan buruh kanak-kanak, melaksanakan pendidikan percuma, memusatkan kredit melalui penubuhan bank negara, menggabungkan pertanian dengan perindustrian untuk membolehkan penghapusan perbezaan antara bandar dengan luar bandar, dan sebagainya. Pada hakikatnya, banyak langkah-langkah pembaharuan masyarakat yang dicadangkan dalam Manifesto Komunis, telah pun dilaksanakan di banyak negara, dan sememangnya hampir semuanya adalah hasil daripada perjuangan kelas pekerja.
Manifesto Komunis juga menegaskan perlindungan kebebasan individu dalam masyarakat komunis yang tidak lagi adanya kelas sosial. “Sebagai menggantikan masyarakat borjuasi yang lama, yang mempunyai kelas dan pertentangan kelas, kita akan mewujudkan satu persekutuan, di mana perkembangan bebas setiap orang adalah syarat untuk perkembangan bebas semua orang.”
Bab ketiga bertajuk “kesusasteraan sosialis dan komunis”, di mana penulis membezakan komunisme dengan aliran pemikiran sosialis yang lain di Eropah pada masa itu. Aliran-aliran pemikiran sosialis yang dikritik dalam Manifesto Komunis termasuklah sosialisme yang reaksioner, sosialisme yang konservatif atau bersifat borjuis dan sosialisme kritis yang bersifat utopia. Manifesto Komunis menganggap aliran-aliran pemikiran sosialis tersebut hanya memperjuangkan agenda reformis dan tidak mementingkan sifat revolusioner kelas pekerja.
Bab keempat bertajuk “pendirian komunis terhadap pelbagai parti-parti pembangkang”, menggariskan secara ringkasnya pendirian politik yang patut diambil oleh golongan komunis di negara-negara seperti Perancis, Switzerland, Poland dan Jerman. Manifesto Komunis menegaskan bahawa golongan komunis di merata tempat akan “menyokong segala gerakan revolusioner yang menentang susunan masyarakat dan sistem politik yang wujud sekarang”. Di samping itu, golongan komunis di merata tempat juga akan “berusaha untuk membentuk perpaduan dan penyelarasan antara parti-parti demokratik di seluruh dunia”.
Akhir sekali, Manifesto Komunis menyeru untuk revolusi komunis yang menjatuhkan sistem kapitalis. “Proletariat tidak akan kehilangan apa-apa kecuali rantai mereka. Mereka akan menguasai dunia.” Manifesto Komunis menyeru untuk tindakan bersama kelas pekerja antarabangsa, “kaum buruh sedunia, bersatu!”
Panduan untuk pembebasan masyarakat
Sememangnya Manifesto Komunis bukannya sebuah buku kitab suci yang mengandungi segala kebenaran untuk manusia. Isi kandungan buku kecil memang ada had zamannya. Namun, pendirian politik yang diambil dalam Manifesto ini dalam mengkritik kapitalisme dan mengajukan alternatif untuk pembebasan masyarakat, masih merupakan inspirasi dan panduan bagi kita pada hari ini untuk menentang ketidakadilan sosial, memperjuangkan pembebasan yang sebenar dan membina sebuah masyarakat yang lebih sejahtera untuk semua.
Manifesto Komunis merupakan sebuah dokumen yang mengemukakan idea politik yang radikal dan berkesan. Ia bukan sahaja membongkarkan percanggahan asas dalam masyarakat kapitalis, tetapi juga mengajukan pendirian politik pembebasan untuk mengubah susunan masyarakat yang sedia ada.
Walaupun ramalan Marx untuk revolusi Jerman berkembang lebih lanjut lagi sehingga mencetuskan revolusi proletariat yang lebih hebat di Eropah akhirnya tidak menjadi realiti, malah gelombang Revolusi 1848 digagalkan oleh kuasa-kuasa yang reaksioner, tetapi inspirasi daripada Manifesto Komunis telah menjadi panduan kepada perjuangan pembebasan masyarakat yang berterusan di merata tempat selepas tahun 1848.
Sepanjang 170 tahun selepas penerbitan Manifesto Komunis, dunia kita telah mengalami pelbagai perubahan. Berbanding dengan tahun 1848 di mana sistem kapitalis baru berkembang di benua Eropah, sistem kapitalis pada hari ini telah menular ke setiap sudut di planet bumi, dan meresap masuk ke dalam setiap aspek kehidupan masyarakat. Walaupun kekayaan masyarakat telah bertambah hebat di bawah sistem kapitalis, tetapi sistem kapitalis itu tidak pernah membawa kesejahteraan yang berkekalan kepada majoriti rakyat pekerja. Malah, kapitalisme global pada hari ini sedang mengancam rakyat sedunia dengan krisis yang mendalam dan berterusan.
Walaupun kekayaan masyarakat yang dicipta oleh golongan pekerja sedunia pada hari ini adalah jauh lebih banyak berbanding zaman-zaman sebelum ini, tetapi jurang antara yang kaya dengan yang miskin akibat daripada sistem kapitalis global telah mencapai tahap yang paling teruk berbanding zaman-zaman sebelum ini. Demi mengekalkan “daya saing”, kapitalisme hari ini sedang memusnahkan pembaharuan masyarakat yang bertujuan untuk menyelamatkannya daripada kehancuran diri (seperti sistem negara kebajikan di Eropah turut menghadapi ancaman penghakisan oleh dasar-dasar neoliberal). Segala usaha untuk menyekat kapitalisme daripada membawa kemusnahan yang lebih besar kepada manusia dan alam sekitar, sentiasa dihalang oleh sistem kapitalis itu sendiri.
Kapitalisme juga sentiasa menghalang perkembangan demokrasi. Kapitalisme tidak pernah dan tidak akan mewujudkan masyarakat yang benar-benar demokratik, iaitu sebuah masyarakat yang tiada lagi penindasan kelas. Masyarakat yang benar-benar demokratik, merupakan sebuah masyarakat yang membolehkan semua rakyatnya menikmati secara bersama hasil buruh manusia. Tenaga buruh manusia digunakan untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan membolehkan perkembangan bebas manusia, bukannya untuk tujuan menjana lebih keuntungan kepada golongan kapitalis. Selagi kita masih hidup di bawah sistem kapitalis, kehidupan kita akan terus dikuasai oleh kapitalis korporat yang tidak demokratik dan tidak bertanggungjawab. Kita akan terpaksa terus berdepan dengan masalah jurang kekayaan yang semakin melebar, kemusnahan alam sekitar, rasisme, keganasan, peperangan dan sebagainya yang diwujudkan oleh kerana percanggahan dalam sistem kapitalisme.
Dalam sejarah 170 tahun yang lepas, kita juga dapat menyaksikan semangat kental yang ditunjukkan oleh kelas pekerja dan rakyat tertindas dalam memperjuangkan perubahan sosial. Semangat perjuangan ini tidak dapat dipatahkan oleh mana-mana orang atau perkara. Rakyat di seluruh dunia telah mengalami pelbagai rintangan dalam perjuangan menuntut pembebasan masyarakat. Misalnya, gelombang Revolusi 1848 yang digagalkan, Revolusi Komun Paris pada tahun 1871 yang dihancurkan secara kejam oleh kelas pemerintah, dan juga Revolusi Oktober di Rusia pada tahun 1917 yang berakhir dengan segala pencapaiannya digadaikan oleh pemerintahan birokrat Stalinis. Namun, setiap kali selepas kekalahan atau kegagalan dalam perjuangan, kelas pekerja dan rakyat bawahan tetap akan dapat bangkit semula untuk terus berjuang. Banyak pencapaian sosial yang dinikmati kita pada hari ini, merupakan hasil daripada perjuangan masyarakat yang berterusan ini.
Walau bagaimanapun, hanya semangat berjuang yang kental tidak mencukupi untuk mencapai kemenangan mutlak. Kelas pekerja dan rakyat yang tertindas perlu menguasai perspektif politik yang saintifik dan jelas, mewujudkan kesedaran kelas, serta membina organisasi politik kelas pekerja yang sedia berjuang untuk pembebasan masyarakat. Membina organisasi politik kelas pekerja dan gerakan rakyat yang revolusioner, memerlukan kesungguhan, kegigihan dan kesabaran. Hanya dengan melalui pendidikan politik yang berterusan, menghubungkaitkan perjuangan harian golongan pekerja dan rakyat bawahan dengan perspektif pembebasan masyarakat secara menyeluruh, barulah kita dapat membina kuasa kelas pekerja dan rakyat bawahan yang sebenar untuk perubahan masyarakat secara total.