Film-PK.jpg

oleh Shazni Bhai 

Watak utama dalam filem ini yang dikenali sebagai PK ialah suatu makhluk asing yang telah terdampar ke bumi. Tetapi ini bukanlah filem yang mempersoalkan kewujudan makhluk lain di luar planet bumi. Yang menjadi fokus untuk persoalan ialah penduduk bumi ini sendiri.

Durasi untuk filem ini lebih daripada 3 jam. Kalian faham sajalah, filem hindi jika tidak ada tarian dan muzik untuk memanjangkan durasi memang tidak sah. Dan pastinya watak lelaki dan wanita utama akan tersangkut pada satu sama lain, klise yang kerap digunakan dalam filem arus perdana. Ada yang pernah berkata suatu ketika di bangku sekolah dulu; jika lelaki dan perempuan berdua-duaan, syaitan akan muncul sebagai orang ketiga. Dengan menonton filem ini, mungkin saya sebagai penonton ialah syaitan itu. Sering kali juga yang akan menjadi sempadan memisahkan perhubungan antara manusia ialah faktor geopolitik atau perselisihan antara negara. Tidak dapat kita ketepikan agama dan fahaman juga boleh memisahkan berbanding menyatukan.

Demi mendapatkan pengetahuan bahasa, PK harus memegang tangan manusia lain untuk menyerap kemahiran berbahasa. Berdasarkan apa yang diperhatikannya, hanya dengan cara itu dia dapat mencari alat kawalan jauh yang telah diragut untuk pulang. Nasibnya pasti berlainan jika dia diturunkan ke negara yang mengamalkan jabat salam. Bahasa ialah medium penting untuk manusia meluahkan apa yang diproses di fikiran, manakala sentuhan dengan orang yang tak dikenali ialah sesuatu yang bukan biasa diamalkan. Selain boleh menjadi suatu kekeliruan, bahasa juga boleh menjadi pelindung makna sebenar isi hati penutur. Lain yang dimaksudkan, lain pula yang dizahirkan melalui bahasa.

Tumpuan PK bertukar sebaik tiba di Delhi apablia mendapati ramai yang meletakkan tuhan sebagai satu bentuk jawapan selamat apabila tidak dapat membantunya – “hanya tuhan saja yang tahu”. Maka dari situ, dia berusaha dengan berbagai cara untuk mencari tuhan.

PK masih lagi berfahaman bahawa tuhan itu universal, namun realitinya tuhan itu lain intepretasi mengikut agama. Kegagalannya untuk memahami corak pemikiran dan budaya manusia setempat telah mengakibatkan dia dikejar orang ramai yang marah dan menganggapnya biadap. Walaupun perkara seperti warna pakaian, intepretasinya sangat luas. Agama ialah sesuatu yang sensetif. Penganut sanggup membunuh deminya, walhal tuhan tidak perlu dipertahankan. Dari intepretasi ini timbul persoalan oleh PK iaitu adakah tuhan yang menciptakan kita atau kita yang menciptakan tuhan?

Konsumerisme dan penjualan agama dikaburkan dengan ketaatan kepada manusia yang menjadi wakil tuhan. Wakil-wakil tuhan ini diangkat sebagai berhala. PK menganggap wakil tuhan sebagai pengurus. Agama ialah syarikat memberi khidmat menyelesaikan masalah manusia. Dengan bantuan Jaggu, seorang wartawan yang berminat dengan kisahnya, PK menyedari bahawa penganut serta pengurus mengalami masalah kecelaruan komunikasi dengan tuhan.

Hasil usaha pencarian PK dengan bantuan Jaggu, telah menyeru orang ramai untuk mempersoalkan pembodohan agama ke atas mereka. Ternyata banyak persoalan timbul antaranya penafian hak untuk pendidikan, dan kesaksamaan dalam kehidupan. Ada juga dipersoalkan keajaiban palsu yang berasaskan material hanya untuk membangkitkan rasa takjub pengikut dan bukan untuk menyelesaikan masalah masyarakat. PK menekankan bahawa ahli dalam masyarakat di bumi bukannya perlu bergantung kepada pengurus-pengurus syarikat tuhan sebaliknya bantu-membantu satu sama lain.

Apabila diterjah dengan soalan, Tapaswi selaku wakil tuhan yang dicabar oleh PK kerana menyimpan alat kawalan jauhnya, telah cuba mengalih persoalan kepada isu-isu lain dan menyerang kepercayaan PK. Ia menunjukkan betapa fahaman terhadap kerohanian amat bersangkut dengan rupa luaran, dan ialah suatu kekeliruan dalam masyarakat. Perhubungan dengan tuhan tiada kaitan dengan rupa fizikal kerana manusia dilahirkan tanpa sebarang ‘tanda’ fizikal pada badan. Semua lahir sama. Begitulah yang telah ditegaskan oleh PK.

Setelah diancam dengan hukuman neraka, PK sebaliknya telah mendapat ilham bahawa ketakutan merupakan punca gangguan kepada komunikasi dengan tuhan. Dengan ketakutan ini, orang-orang seperti Tapaswi atau dipanggil sebagai “orang salah nombor” telah memanipulasi penganut untuk keuntungan mereka.

Tuhan kata itu, tuhan kata ini, semuanya hanya berdasarkan rekaan “orang salah nombor”. Tapaswi juga berhujah bahawa kepercayaan kepada tuhan telah memberikan harapan kepada manusia untuk terus hidup walau dalam keperitan dan kedaifan. PK menjawab cabaran itu dengan menyatakan ada 2 tuhan; satu yang menciptakan semua, dan satu lagi yang diciptakan oleh orang-orang seperti Tapaswi. Jadi tuhan mana satukah yang harus dipercayai? Dengan itu Pk telah memisahkan antara tuhan sebenar dan tuhan palsu yang direkacipta berdasarkan sifat manusia yang meletakkan diri sebagai wakil. Antara hak dan batil, di sebalik perbezaan label yang memisahkan manusia yang telah diciptakan. Sedangkan manusia lahir tanpa label-label itu. Label-label itu telah mempengaruhi persepsi kita terhadap antara satu sama lain, maka terhasillah stereotaip dari ajaran pengurus-pengurus syarikat agama. Ada antara kita yang elak dari berhubung sesama manusia akibat dari stereotaip ini, kerana takut ditipu atau dikhianati.

Persoalan-persoalan yang dapat ditimba bukanlah sesuatu yang baru. Mungkin ada antara kita yang pernah bangkitkan, terdengar, atau terlintas di benak fikiran masing-masing. Mungkin tema dan persoalan dalam filem serta unsur satira kritis yang dibawa boleh mengimbas ingatan kita kepada filem “God must be crazy”. Watak dan perwatakan PK pula wujud di kalangan kita khususnya anak-anak kecil yang tidak putus mahu mengenal dunia dengan bertanya berbagai perkara.

Jika kita benar-benar percaya, setelah dapat memisahkan kepalsuan dan kebenaran, apa yang bersusah-payah dicari selama ini, kita akan temuinya; jalan pulang. Dengan menyerap salah satu perasaan manusia iaitu kasih sayang, PK belajar untuk menipu dengan menyembunyikan luahan perasaannya.

Ia satu satirikal mengenai hidup kita di dunia. Kita juga sedang mencari jalan pulang. Akhirnya kita semua akan meninggalkan tempat persinggahan ini iaitu bumi. Maka hujah ini tanah milik melayu, india, senoi, atau eropah sebenarnya akan menjurus kepada kenyataan bahawa semua akan meninggalkan bumi ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s