Budaya popular Korea Selatan memang amat berpengaruh di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia, dengan sebaran luas filem Korea, siri drama Korea (seperti Squid Game) dan muzik K-pop. Namun, pernahkah anda dengar lagu perjuangan rakyat Korea yang paling popular?

Lagu perjuangan rakyat Korea ini berbunyi sebegini:

Nyanyian bersama peserta aksi perhimpunan di Seoul, ibu negara Korea Selatan, pada bulan Disember 2016 untuk membantah pemerintahan Presiden Korea Selatan pada masa itu, Park Geun-hye, yang terlibat dalam skandal korupsi. Gelombang protes rakyat besar-besaran yang tercetus pada bulan November 2016 dan berlarutan sehingga bulan Mac 2017, dengan aksi perhimpunan diadakan setiap minggu di mana jumlah peserta mencecah jutaan pada kemuncaknya, akhirnya menjatuhkan pemerintahan Park Geun-hye. Park Geun-hye ialah anak kepada Park Chung-hee, seorang pemerintah diktator yang berkuasa di Korea Selatan pada tahun 1961-1979.

Lagu ini bertajuk “Lagu Kawad Untuk Anda (Yang Tercinta)” atau “Mara ke Depan Untuk Anda” (임을 위한 행진곡). Terjemahan tajuk lagu ini dalam Bahasa Inggeris pula ialah “March for You” ataupun “March for the Beloved”.

Lirik lagu ini berbunyi lebih kurang begini:

Kita akan pergi tanpa meninggalkan cinta, penghormatan dan nama

Kita berikrar dengan penuh bersemangat untuk terus berjuang, selagi kita masih hidup

Rakan seperjuangan kita sudah tiada lagi, hanya tinggal panji yang masih berkibar

Jangalah kita berganjak sehingga hari baharu menjelang

Walaupun masa sudah berlalu, sungai dan gunung pastinya masih ingat

Roh-roh yang terjaga sedang memanggil kita dengan tangisan ini

Kita terus mara ke depan, kuatkanlah semangat orang yang hidup dan ikutlah kami

Kita terus mara ke depan, kuatkanlah semangat orang yang hidup dan ikutlah kami

Lagu yang liriknya penuh indah dan mengharukan ini sudah berusia hampir 40 tahun. Lagu perjuangan Korea “Lagu Kawad Untuk Anda (Yang Tercinta)” ini dicipta untuk memperingati sepasang kekasih yang sudah meninggal dunia pada masa itu. Salah seorang daripada pasangan kekasih ini terbunuh dalam satu episod perjuangan rakyat Korea yang epik, iaitu Pemberontakan Rakyat Gwangju pada tahun 1980.

Pada bulan Mei 1980, satu gelombang protes besar-besaran tercetus di negara Korea Selatan, dengan rakyat yang berprotes di jalanan menuntut pengunduran pemerintah diktator Chun Doo-hwan. Pada 18-27 Mei 1980, bermula daripada aksi protes pelajar yang kemudiannya berkembang menjadi pemberontakan rakyat secara besar-besaran, bandar Gwangju yang terletak di barat daya Semenanjung Korea muncul sebagai pusat kebangkitan rakyat Korea untuk menuntut demokrasi sebenar. Rejim diktator Chun Doo-hwan yang mendapat sokongan daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) telah mengerahkan tentera ke Gwangju untuk mematahkan pemberontakan rakyat di situ dengan cara yang penuh ganas dan zalim. Hampir 2,000 orang mati kerana kekejaman rejim pemerintahan Chun Doo-hwan yang cuba mematahkan kebangkitan demokratik rakyat Korea. Walaupun Pemberontakan Gwangju dipatahkan secara kejam, tetapi ia telah menjadi pemangkin kepada gerakan demokratik di Korea Selatan selepas itu sehingga membawa kepada proses peralihan ke demokrasi di negara Asia Timur itu pada penghujung tahun 1980-an.

“Lagu Kawad Untuk Anda (Yang Tercinta)” digubah pada tahun 1982, bersempena dengan satu perkahwinan selepas kematian (ataupun perkahwinan roh) antara dua orang anak muda yang sudah meninggal dunia pada masa itu. Salah seorang si mati ialah Yoon Sang-won yang terkorban semasa Pemberontakan Gwangju apabila dia ditembak mati oleh pasukan tentera pada 27 Mei 1980. Kekasihnya, Park Gi-soon, pula meninggal dunia sebelumnya pada tahun 1978 kerana satu insiden kemalangan keracunan karbon monoksida.

Park Gi-soon (kiri) dan Yoon Sang-won (kanan), pasangan kekasih yang mendedikasikan hidup mereka kepada perjuangan buruh dan terkorban pada usia yang muda.

Kedua-dua orang Yoon Sang-won dan Park Gi-soon ialah aktivis pelajar yang menuntut di Universiti Kebangsaan Chonnam yang terletak di bandar Gwangju. Mereka ialah sepasang kekasih. Mereka terlibat dalam usaha mengorganisasi perjuangan kelas pekerja dengan menubuhkan sebuah sekolah malam yang bergelar “Api Liar” di Gwangju pada tahun 1978 untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dalam kalangan golongan pekerja. Pada masa itu, ramai dalam kalangan pelajar universiti yang berpemikiran progresif mencuba pelbagai cara untuk mengorganisasi gerakan pekerja. Yoon Sang-won dan Park Gi-soon merupakan sebahagian daripada generasi anak muda progresif ini yang mendapat inspirasi daripada tradisi perjuangan revolusioner rakyat Korea yang berpanjangan. Revolusi April yang diterajui oleh pelajar-pelajar pada tahun 1960 pernah berjaya menggulingkan pemerintahan kediktatoran Syngman Rhee, tetapi ruang demokrasi yang diwujudkan hanya bertahan seketika sebelum dihancurkan semula berikutan rampasan kuasa pada tahun 1961 membolehkan Park Chung-hee berkuasa sebagai diktator yang baharu di negara Korea Selatan. Semasa zaman pemerintahan Park Chung-hee, pembangunan ekonomi kapitalis yang pesat di Korea Selatan melahirkan kelas pekerja dalam jumlah yang besar, begitu juga dengan pertentangan kelas antara pekerja dan kapitalis yang semakin hebat.

Pada 13 November 1970, Jeon Tae-il, seorang aktivis buruh yang baru berusia 22 tahun pada masa itu, membakar dirinya untuk memprotes terhadap keadaan kerja yang teruk di dalam kilang Korea Selatan dan juga menentang pemerintahan diktator Park Chung-hee yang pro-kapitalis. Pada ketika badannya ditelan api, Jeon Tae-il berlari di atas jalanan di pusat bandar Seoul dan menjerit, “Kami pekerja bukannya mesin! Kami juga manusia!”, “Jangan mengeksploitasi pekerja!” dan “Jangan biarkan kematianku sia-sia!”, sebelum dia mati terkorban. Tindakan Jeon Tae-il inilah mencetuskan semangat untuk meneruskan organisasi perjuangan pekerja di Korea Selatan, di mana semangat ini turut dipeluk oleh Yoon Sang-won dan Park Gi-soon, sepasang kekasih yang mendedikasikan hidup mereka kepada usaha pembebasan pekerja.

Park Gi-soon mati dalam satu kemalangan keracunan gas pada tahun 1978 ketika dia masih berusia 22 tahun. Kekasihnya Yoon Sang-won meneruskan aktivismenya. Pemerintah diktator Park Chung-hee dibunuh oleh pegawai kanan di bawahnya pada 26 Oktober 1979, diikuti dengan kudeta pada 12 Disember 1979 oleh Jeneral Chun Doo-hwan. Chun Doo-hwan memperkukuhkan kuasanya melalui satu lagi kudeta pada 17 Mei 1980, di mana ia menjadi pencetus kepada Pemberontakan Rakyat Gwangju sehari selepas itu. Rakyat Gwangju yang memberontak berjaya menguasai bandar itu dan menubuhkan militia sendiri, serta mengisytihar Gwangju bebas daripada pemerintahan tentera. Yoon Sang-won yang berada di Gwangju pada masa itu, tidak ketinggalan dalam melibatkan diri dalam perjuangan rakyat yang hebat di bandar itu. Yoon Sang-won menjadi jurucakap kepada “Jawatankuasa Perjuangan Demokratik” yang menguasai bandar Gwangju untuk beberapa hari pada masa itu. Pada 27 Mei 1980, Yoon Sang-won bersama dengan ramai rakan seperjuangannya yang enggan berundur pada ketika tentera Korea menyerang masuk ke dalam Bangunan Kerajaan Wilayah Jeolla Selatan, ditembak mati secara kejam. Yoon Sang-won berusia 30 tahun pada ketika dia terkorban.

Pada bulan Februari 1982, sebahagian penduduk Gwangju menganjurkan upacara perkahwinan roh untuk Yoon Sang-won dan Park Gi-soon. Pada bulan April 1982, beberapa orang artis berkumpul di rumah Hwang Sok-yong, seorang novelis yang terkenal, yang terletak di Gwangju, untuk merakamkan kaset yang menyimpan lagu-lagu yang memperingati perkahwinan yang istimewa ini, di samping memberi penghormatan kepada kedua-dua orang aktivis yang mendedikasikan hidup mereka kepada perjuangan ini. “Lagu Kawad Untuk Anda (Yang Tercinta)” ditulis pada masa itu.

Hwang Sok-yong menyesuaikan beberapa petikan daripada puisi tulisan Baek Gi-wan kepada lirik “Lagu Kawad Untuk Anda (Yang Tercinta)”. Baek Gi-wan ialah seorang aktivis gerakan demokrasi, dan puisi yang digunakan sebagai lirik “Lagu Kawad Untuk Anda (Yang Tercinta)” ini ditulis olehnya semasa beliau ditahan di dalam Penjara Seodaemun di Seoul pada bulan Disember 1980. Muzik untuk lagu ini pula digubah oleh Kim Jong-ryul yang merupakan seorang pelajar Universiti Kebangsaan Chonnam pada masa itu.

Baek Gi-wan (1932-2021)

“Lagu Kawad Untuk Anda (Yang Tercinta)” ini telah membawa makna simbolik yang mewakili aspirasi mereka yang terkorban dalam Pemberontakan Gwangju, malah menjadi lagu simbolik kepada gerakan perjuangan demokrasi di Korea Selatan. Lagu ini pernah diharamkan semasa pemerintahan diktator Chun Doo-hwan, tetapi ia masih tersebar luas secara curi-curi melalui skor muzik yang disalin tangan, dendangan dari mulut seorang ke telinga orang lain, dan salinan kaset. Lagu ini menjadi lagu simbolik untuk memperingati Kebangkitan Rakyat Gwangju selepas peralihan politik Korea Selatan ke demokrasi. Lagu ini juga menjadi lagu rasmi untuk upacara peringatan Peristiwa Gwangju yang diadakan pada 18 Mei setiap tahun. Namun, golongan konservatif di Korea Selatan sering tidak senang hati untuk dengar lagu ini dinyanyikan.

Nyanyian bersama semasa upacara memperingati Peristiwa Kebangkitan Rakyat Gwangju pada tahun 2017 yang turut dihadiri oleh Moon Jae-in selaku Presiden Korea Selatan.

Lagu ini sering dinyanyikan dalam banyak aksi protes rakyat Korea. Lagu ini juga pernah digunakan dalam pelbagai karya filem yang mengisahkan Peristiwa Gwangju, seperti muzik selingan dalam filem May 18 (2007).

“Lagu Kawad Untuk Anda (Yang Tercinta)” ini bukan sahaja popular sebagai lagu perjuangan di Korea Selatan, malah ia telah tersebar luas di rantau Asia dan ditukar ke dalam versi bahasa yang berlainan. Ia menjadi lagu protes yang sering dinyanyikan oleh gerakan pekerja di rantau Asia. Versi cover lagu ini boleh didapati dalam bahasa-bahasa Asia seperti Bahasa Jepun, Bahasa Mandarin, Bahasa Kantonis, Bahasa Thai, Bahasa Kemboja, Bahasa Myanmar dan Bahasa Melayu. Oleh itu, lagu ini juga mendapat gelarannya sebagai “Lagu Internasionale versi Asia”.

Versi Bahasa Jepun – “Lagu Kawad untuk Anda”:

Versi Bahasa Mandarin (Taiwan) – “Lagu Perjuangan Pekerja”:

Versi lagu ini dinyanyikan oleh “Black Hand Nakasi”, sebuah kugiran pekerja di Taiwan yang sering membuat persembahan dalam aksi protes massa.

Versi Bahasa Mandarin (China) – “Lagu Puja Pekerja”

Versi lagu ini dinyanyikan oleh kugiran pekerja yang bernama “Kumpulan Seni Pekerja Baharu” yang ditubuhkan untuk berkhidmat bagi pekerja-pekerja migran yang berhijrah dari kawasan luar bandar ke pusat bandar besar di China, khususnya Beijing. Lirik lagu ini ditulis oleh Sun Heng dan Xu Duo, dua orang anggota utama dalam kugiran ini.

Versi Bahasa Kantonis – “Bertempur untuk Cinta”

Versi lagu ini dinyanyikan oleh “Noise Cooperative”, sebuah kugiran gerakan sosial di Hong Kong.

Versi Bahasa Melayu – “Lagu Perjuangan Pekerja”

Lirik lagu versi Bahasa Melayu ini ditulis sekitar tahun 2006 selepas si penulis terharu mendengar “Lagu kawad untuk anda (yang tercinta)” dinyanyikan dalam pelbagai bahasa dalam aksi protes anti-WTO di Hong Kong pada bulan Disember 2005.

Lirik “Lagu Perjuangan Pekerja”

Peluh yang kita taburkan

diperas oleh yang kaya

Pembangunan kita usaha

dicuri oleh yang tamak

Pekerja sedunia bersatu

menentang penindasan

Bangkitlah kaum tertindas

bersama kita berjuang

Demi dunia yang adil

kita sudi korban

Demi perjuangan akhir

kita laungkan…

Rakyat pasti berkuasa

memimpin perubahan

Pembebasan sebenar

untuk semua

===========

(oleh Choo Chon Kai)

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *