Pada ketika kebanyakan rakyat biasa di negara kita malah seluruh dunia sedang terkesan teruk kerana krisis pandemik dan krisis ekonomi yang serius, golongan mahakaya nampaknya tidak akan terasa dengan penderitaan hebat dalam masyarakat ini…

50 orang bilionair (semuanya lelaki) yang terkaya di Malaysia dalam senarai Forbes pada ketika ini telah mencatatkan peningkatan jumlah kekayaan mereka sebanyak 14% berbanding tahun yang lalu, walaupun ekonomi negara kita telah mengecut sebanyak 5.6% pada tahun 2020. Nampaknya golongan mahakaya ini bukan sahaja tidak terjejas kerana kemelesetan ekonomi, malah menjadi lebih kaya semasa ekonomi negara berada dalam krisis dengan semakin ramai rakyat bawahan tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menyara kehidupan mereka. Jumlah kekayaan 50 orang bilionair yang terkaya di Malaysia pada masa ini telah mencecah sebanyak USD90 bilion, atau bersamaan dengan lebih RM370 bilion. Adakah kehidupan rakyat biasa telah diperbaiki sebanyak 14% pada ketika golongan terkaya meningkatkan kekayaan mereka sebanyak 14%?

Syarikat yang mengeluarkan sarung tangan getah telah mencatatkan peningkatan keuntungan yang hebat pada ketika dunia sedang diancam pandemik COVID-19, kerana peningkatan yang hebat dalam keperluan sarung tangan untuk tujuan perubatan. Dua orang pemilik syarikat pengeluar sarung tangan di Malaysia, Kuan Kam Hon daripada Hartalega Holdings dan Lim Wee Chai daripada Top Glove yang mempunyai pelbagai kontroversi mengenai eksploitasi pekerja, telah menduduki tangga ke-7 dan ke-8 masing-masing dalam senarai 10 orang yang terkaya di Malaysia pada masa ini.

Golongan yang terkaya menjadi semakin kaya ketika dunia dalam krisis, bukannya sesuatu yang mengejutkan di bawah sistem kapitalis global hari ini. Kapitalisme telah mewujudkan ketidaksamarataan pengagihan kekayaan masyarakat, dan ketidaksamarataan inilah terus menggerakkan perkembangan sistem ekonomi kapitalis yang bersifat eksploitatif. Pada ketika ekonomi sedang membangun pesat, golongan pekerja telah diperah tenaga kerja mereka dengan bayaran gaji yang tidak setimpal dengan sumbangan tenaga mereka; sementara pada ketika ekonomi mengalami kemerosotan, pekerja-pekerja pula dikorbankan dengan kehilangan kerja dan pengurangan dalam pendapatan mereka untuk menyelamatkan keuntungan syarikat korporat.

Rakyat biasa akan terus mengalami kesusahan dalam kehidupan dengan ancaman pandemik yang masih berterusan dan krisis ekonomi yang diburukkan oleh pandemik. Kita boleh menjangkakan ekonomi tidak akan pulih kepada tahap sebelum berlakunya pandemik pada tahun 2020 dalam jangka masa yang singkat. Jika ekonomi “dipulihkan” kepada keadaan sebelum ini pun, ianya masih tidak membawa makna yang besar kepada rakyat biasa kerana ekonomi kapitalis yang “normal” masih berfungsi melalui cara ekploitasi terhadap pekerja dengan gaji rendah, masa kerja panjang dan kekurangan perlindungan sosial. Kita bukan sahaja perlu memulihkan ekonomi, tetapi harus memulihkan juga fungsi ekonomi yang sebenar, iaitu menjamin kesejahteraan hidup masyarakat yang mampan. Untuk berbuat demikian, kita perlukan anjakan paradigma dalam dasar ekonomi kita.

Kita tidak boleh lagi bergantung pada ekonomi pasaran kapitalis yang berlandaskan keuntungan korporat untuk menyampaikan keperluan masyarakat. Motif mengaut keuntungan lumayan dalam masa yang singkat di bawah sistem ekonomi kapitalis yang semakin dikuasai oleh modal kewangan besar telah melemahkan sistem keimunan masyarakat kita terhadap ancaman krisis (misalnya penswastaan dalam sektor kesihatan menjejaskan keupayaan sistem kesihatan kita untuk menghadapi ancaman pandemik). Masalah ini hanya dapat diatasi dengan dasar sosio-ekonomi yang mengubah keutamaan masyarakat kita, beralih daripada dasar yang mengutamakan keuntungan korporat kepada dasar yang mengutamakan kesejahteraan rakyat. Antara perkara yang boleh dilakukan termasuklah memastikan golongan mahakaya yang mengaut keuntungan lumayan daripada kesengsaraan rakyat itu membayar lebih banyak cukai melalui sistem percukaian progresif yang mengagihkan semula kekayaan masyarakat kita. Bayangkanlah 14% peningkatan kekayaan 50 orang lelaki terkaya di Malaysia itu boleh digunakan sepenuhnya oleh kerajaan, kita sudahpun dapat mengatasi banyak kekangan dalam sistem kesihatan awam kita, di samping menyediakan lebih banyak perumahan sosial dan meningkatkan kemudahan asas untuk rakyat.

**********

Baca mengenai cadangan PSM untuk menangani masalah kemelesetan ekonomi di sini.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *