Berikut ialah kenyataan yang dikeluarkan oleh Minggu Perjuangan Anti-Imperialis Antarabangsa bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia 2021:

Walaupun kita sudah menjelajah ke angkasa lepas, kita tahu bahawa, setakat ini, kita manusia hanya mempunyai sebuah planet untuk dipanggil sebagai kampung halaman. Kewujudan kita di sini adalah bergantung kepada kewujudan semua hidupan di sini; tumbuhan dan haiwan.

Pengekstrakan dan eksploitasi terhadap sumber-sumber alam semulajadi demi keuntungan oleh syarikat korporat besar, dan logik sistem kapitalis telah menghabiskan planet kita.

Kuasa pemusnahan peringkat kapitalisme sekarang – kapitalisme kewangan – adalah tidak pernah berlaku dahulu. Syarikat-syarikat transnasional terus meningkatkan kapasiti mereka untuk mengeksploitasi sumber awam, menggerakkan projek-projek perlombongan, penyahhutanan dan pengambilalihan swasta ke atas air dan sebagainya. Dalam pertanian, syarikat-syarikat transnasional menggunakan model perniagaan tani yang berasaskan tanaman tunggal dan penggunaan pestisid, yang menghancurkan biodiversiti dan mengubah iklim. Imperialis dari Amerika Syarikat dan negara-negara Utara Global yang lain menyerang negara-negara pinggiran dengan niat untuk menswastakan kebaikan bersama yang biasanya dijaga oleh rakyat, pemilik sebenar sumber alam semulajadi, di negara masing-masing.

Kesannya adalah jelas: Kita sedang mengalami krisis alam sekitar yang paling teruk dalam sejarah kemanusiaan, dan seluruh kemanusiaan akan terjejas sekiranya dinamik modal yang tidak sihat ini berterusan. Perubahan iklim sudah menjejaskan kehidupan rakyat di seluruh dunia, dan ini bukan satu-satunya akibat krisis alam sekitar. Air dunia telah dicemari oleh plastik dan pestisid, dan mata air sedang mengering. Kita juga sedang menyaksikan kadar kepupusan biodiversiti planet yang hebat dan juga penjarahan hayati (biopiracy) – di mana kepentingan komersial mempatenkan bahan biokimia atau genetik yang wujud secara semulajadi untuk mengenakan had ke atas bagaimana mereka boleh digunakan walaupun dalam persekitaran kewujudan semulajadi mereka. Tanah dijejaskan oleh penyahhutanan dan penanaman tunggal, dan wilayah-wilayah yang besar telah dimusnahkan sepenuhnya oleh perlombongan berskala besar.

Pandemik COVID-19 ialah manifestasi terbaru untuk krisis alam sekitar dan sistemik ini. Asal usul patogen super ini adalah berkaitan secara langsung dengan kemusnahan ekosistem yang dipelihara selama ini oleh komuniti petani dan tradisional. Kemusnahan alam sekitar membebaskan mikroorganisma yang berada dalam keseimbangan dalam habitat semulajadi mereka. Apabila mikroorganisma ini bertemu dengan pangkalan-pangkalan perindustrian besar-besaran, dipenuhi dengan pelbagai jenis haiwan yang dikurung dan dibedil dengan antibiotik-antibiotik dan hormon-hormon, mereka membiak seperti patogen, kemudian mereka berkontak dengan populasi manusia yang besar, termasuk mereka dengan pertahanan keimunan semulajadi yang berkurangan kerana pencemaran agrokimia berterusan daripada makanan pengeluaran secara perindustrian yang dimakan mereka. Proses ini, tambahan pula dengan penyahhutanan dan pemusnahan habitat haiwan-haiwan liar, merangsangkan penghijrahan patogen kepada manusia. Jika mod pengeluaran ini berterusan, kita akan mempunyai banyak lagi virus yang baharu, yang membawa kepada pandemik yang baharu.

Semua manusia telah terjejas oleh kemerosotan planet kita ini, khususnya wanita, kanak-kanak, masyarakat orang asal dan rakyat termiskin di dunia. Hari ini, terdapat lebih 134,000 spesies flora dan fauna berada dalam ancaman kepupusan.  

Adalah juga penting untuk mengetengahkan peranan keji yang dimainkan oleh aktiviti ketenteraan dalam kemusnahan planet ini. Selain melakukan serangan berterusan ke atas kehidupan rakyat, tentera Amerika Syarikat (AS), dengan sekutu-sekutunya, merupakan salah satu pencemar yang terbesar di dunia, melalui warisan uranium susut yang toksik, dan penggunaan minyak, bahan api untuk kapal terbang, pestisid dan bahan peranggas seperti Agen Jingga dan plumbum.

Sesetengah syarikat korporat, bukannya memerangi punca kemusnahan planet, sebaliknya memfokus pada kapitalisme hijau, menukarkan sumber semulajadi ke dalam komoditi dan bidang baharu untuk spekulasi pasaran, seperti kredit karbon, kredit pemeliharaan alam sekitar dan solusi-solusi palsu yang lain yang tidak akan menyelesaikan keperluan sosial dan ekologi rakyat. Empayar ini telah cuba menstruktur semula asas ekonominya dengan projek-projek berasaskan pasaran yang dibina sekitar eksploitasi sumber-sumber semulajadi yang meningkat di Selatan Global untuk menghasilkan satu asas teknologi yang kononnya “hijau” yang baharu.

Jalan ini pasti akan membawa kepada kemusnahan umat manusia dan alam semulajadi seperti yang kita ketahui. Ia ialah satu projek kematian, dominasi dan kemusnahan.

Solusinya adalah dalam membina semula hubungan atara manusia dan alam semulajadi, di mana kehidupan, kesejahteraan kolektif dan irama ekologi – bukannya ketamakan dan keuntungan – memandu tindakan negara-negara dan rakyat. Ia ialah solusi yang memfokus pada pengeluaran makanan yang agroekologi; pendemokrasian akses kepada tanah melalui pembaharuan agraria; perlindungan dan penjagaan sumber awam seperti air, biodiversiti dan tanah; dan peralihan ke satu model tenaga yang merespon kepada keperluan sebenar kelas pekerja dengan keadilan sosial dan alam sekitar, mengatasi patriarki dan rasisme.

Menghentikan barbarisme kapitalis merupakan tugas utama zaman kita. Kita perlu menamatkan dominasi modal terhadap kehidupan demi mewujudkan sebuah dunia yang adil, egalitarian dan bersemangat, agar kita semua dapat hidup dengan baik dan aman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *