Pada 24 Julai 2020, Elon Musk, CEO kepada syarikat kereta elektrik terbesar Tesla, Inc. dan orang yang kesembilan terkaya di dunia pada masa kini, menulis dalam satu hantaran twitternya mengkritik bahawa satu lagi pakej rangsangan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) bukan demi kepentingan rakyat. (“Another government stimulus package is not the best interest of the people.”) Seorang pengguna twitter merespon kepadanya dengan menulis, “Engkau tahukah apakah yang bukan demi kepentingan rakyat? Kerajaan AS menganjurkan satu kudeta menjatuhkan Evo Morales di Bolivia supaya kau dapat memperoleh litium di sana.” (“You know what wasn’t in the best interest of people? The US government organizing a coup against Evo Morales in Bolivia so you could obtain the lithium there.”) Musk membalas dengan menulis, “Kami akan jatuhkan sesiapa yang kami mahukan! Terima saja hakikat ini.” (“We will coup whoever we want! Deal with it.”)

20200729 - bolivia

“Pengakuan” Musk dalam hantaran twitter yang sudah dipadamkan ini, sama ada ditulis secara serius atau sekadar gurauan atau dalam keadaan mabuk, sebenarnya mencerminkan “kejujuran”, ketamakan dan keangkuhan minda penjajahnya dalam soal keinginan menguasai sumber galian litium di Bolivia. Syarikat Tesla kepunyaan Musk memang sudah lama hendak mengakses simpanan galian litium dalam kuantiti besar di Bolivia dengan harga yang rendah. Litium merupakan bahan penting untuk bateri yang digunakan dalam kereta elektrik, komputer dan peralatan yang lain. Permintaan untuk litium semakin meningkat dengan peningkatan jualan kenderaan elektrik atas nama “mesra alam”. Pada awal tahun ini, Musk dan syarikatnya menyatakan bahawa mereka hendak membina sebuah kilang Tesla di Brazil yang akan dibekalkan dengan litium dari Bolivia.

Bolivia mempunyai lebih kurang 25-45% simpanan galian litium di dunia. Menurut Perlembagaan Bolivia, litium sebagai sumber asli negara itu hanya boleh diekstrak dan diproses oleh rakyat Bolivia, namun syarikat swasta luar negara terus mendesak untuk mengakses sumber galian yang kaya di negara itu. Usaha yang dilakukan untuk mengakses litium di Bolivia oleh syarikat-syarikat perlombongan transnasional yang beribupejabat di AS, Kanada, Korea Selantan dan sebagainya, telah gagal sebelum penyingkiran Morales sebagai Presiden negara itu. Kerajaan Bolivia sebaliknya menandatangani perjanjian dengan syarikat China dan Rusia. Tindakan kerajaan pimpinan Morales untuk membangunkan pengeluaran litium dengan kerjasama China menimbulkan kemarahan kuasa imperialis AS kerana telah menggugat kepentingan geo-politik AS di rantau Amerika Latin dan mengganggu kelebihan AS dalam persaingannya dengan China.

Walaupun Musk telah memadamkan hantaran twitternya yang mengundang kritikan hebat ini, dan dia kemudiannya berkata, “kami akan dapatkan litium kami dari Australia”, kontroversi masih berterusan berkenaan dengan kemusnahan alam sekitar daripada perlombongan litium yang mendapat perhatian ramai di Australia.

Kudeta yang dikatakan dalam hantaran twitter kontroversi Musk, adalah peristiwa kudeta yang menjatuhkan pentadbitan Presiden Evo Morales di Bolivia pada bulan November 2019. Pada ketika itu, Morales telah diisytihar sebagai pemenang dalam Pilihanraya Presiden untuk meneruskan penggal pentadbirannya yang sepatutnya bermula bulan Januari 2020. Walaupun keputusan pilihanraya tersebut sedang dicabar pada masa itu, pentadbiran Morales sebagai Presiden sepatutnya diteruskan lagi sehingga tamat tempoh penggal dan Morales juga berjanji untuk mengadakan pilihanraya semula sekiranya terbukti berlaku penyelewengan. Namun, pihak tentera Bolivia, di bawah desakan puak pelampau kanan dan kerajaan AS yang tidak sabar untuk merampas kuasa, telah memaksa Morales untuk meletak jawatan supaya mengelakkan pertumpahan darah. Oleh sebab nyawanya terancam, Morales terpaksa melarikan diri ke Mexico dan sekarang ini hidup dalam buangan di Argentina. Kerajaan yang mengambilalih kuasa selepas kejatuhan Morales, telah menggantungkan demokrasi di negara itu dan ramai penyokong Morales menghadapi penganiayaan.

Sepanjang 14 tahun semasa menyandang jawatan Presiden, Morales telah berusaha untuk menggunakan kekayaan negara Bolivia untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Bolivia biasa yang telah ditindas dan dipinggirkan daripada pembangunan ekonomi yang dikuasai oleh golongan oligarki yang rapat dengan kuasa imperialis AS. Kadar literasi telah meningkat dan kadar kelaparan menurun di bawah pentadbiran Morales. Penggunaan kekayaan Bolivia untuk memajukan kehidupan rakyat biasa Bolivia, bukannya untuk keuntungan syarikat korporat multinasional dari Amerika Utara, telah mengundang perasaan benci daripada Kerajaan AS dan sekutunya dalam kalangan golongan oligarki lama di negara itu. Dengan sokongan kuasa AS, puak pelampau kanan bersekongkol dengan pemimpin tentera yang paling teruk untuk melancarkan kudeta yang menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Selepas Morales disingkirkan melalui kudeta, ahli politik berhaluan kanan Jeanine Áñez yang mengambilalih kuasa Presiden telah menggantungkan demokrasi. Pada 15 November 2019, Áñez menandatangani arahan presiden yang memberi kuasa kepada tentera untuk melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya, sehingga sekutunya merasakan tindakan sebegini berketerlaluan dan membatalkannya pada 28 November 2019. Sejurus merampas kuasa, Kerajaan Áñez mengumumkan rancangan untuk menjemput syarikat transnasional termasuk Tesla untuk meneroka simpanan galian litium di negara itu. Ini jelas menunjukkan sifat sebenar kudeta menyingkir Morales – membolehkan korporat multinasional untuk mengeksploitasi sumber alam Bolivia dan meneruskan amalan kolonialisme yang menindas masyarakat orang asal di situ. Kerajaan Áñez bertindak ganas terhadap masyarakat orang asal Bolivia yang cuba mempertahankan sumber kekayaan negara itu daripada dirampas korporat transnasional.

Puak berhaluan kanan yang berkuasa juga melakukan penangkapan dan intimidasi terhadap aktivis-aktivis daripada Gerakan untuk Sosialisme (Movimiento al Socialismo, MAS), parti yang dipimpin oleh Morales. Pada 7 Julai 2020, 7 orang Senator AS, termasuk Chris Murphy dan Bernie Sanders, mengeluarkan satu kenyataan yang berbunyi, “Kami semakin bimbang tentang peningkatan angka pencabulan hak asasi manusia dan sekatan terhadap kebebasan sivil oleh kerajaan sementara Bolivia.” “Tanpa perubahan dalam hala tuju oleh kerajaan sementara, kami bimbang hak sivil asas di Bolivia akan dihakis lebih lanjut lagi dan kesahan pilihanraya akan datang yang penting akan tergugat,” begitunya seruan kenyataan tersebut.

Namun, kerajaan sementara yang dipimpin oleh Áñez nampaknya tidak begitu berminat untuk mengadakan pilihanraya. Ini kerana semua tinjauan pendapat setakat ini menunjukkan bahawa Áñez berkemungkinan besar akan dikalahkan dalam pilihanraya umum. Sokongan kepada Áñez dan Carlos Mesa, seorang lagi ahli politik yang merupakan bekas Presiden Bolivia yang mengamalkan dasar neoliberal tetapi ditentang hebat oleh rakyat sehingga terpaksa meletak jawatan pada tahun 2005, adalah jauh lebih rendah berbanding Luis Arce, calon Presiden daripada MAS. Pilihanraya umum sepatutnya berlangsung pada bulan Mei 2020, tetapi ia telah dijadualkan semula ke 6 September 2020, dan sekarang ini ia sekali lagi ditangguhkan ke 18 Oktober 2020. Ini bermakna negara Bolivia akan ditadbir oleh sebuah kerajaan yang bukan dipilih secara demokratik untuk selama setahun sehingga itu sekiranya pilihanraya diadakan.

Walaupun MAS, parti politik berhaluan kiri yang dipimpin oleh Morales sebelum ini, telah menghadapi ancaman hebat daripada kerajaan sementara yang berhaluan kanan, dengan pelbagai pendakwaan mahkamah dan pemantauan ketat oleh pihak berkuasa, sehinggalah cubaan untuk membubarkannya, namun sokongan kepadanya masih kuat dan mereka akan dapat memenangi pilihanraya sekiranya diadakan. MAS masih mendapat sokongan kuat kerana dasar orientasi keadilan sosial yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Morales sebelum ini yang memanfaatkan ramai penduduk Bolivia. Majoriti rakyat Bolivia menyokong percukaian ke atas golongan kaya dan dasar pengagihan semula kekayaan yang dibawa oleh MAS dan Morales.

Kerajaan Áñez yang berkuasa secara haram melalui kudeta, telah menunjukkan ketidakcekapannya dalam menghadapi krisis pandemik koronavirus baru-baru ini. Setakat 28 Julai 2020, negara dengan jumlah penduduk 11 juta orang ini telah mencatatkan sebanyak 72,327 kes jangkitan COVID-19 dengan 2,720 kematian. Oleh sebab kadar ujian saringan untuk koronavirus adalah rendah, angka yang sebenar mungkin lebih tinggi lagi. Kebanyakan rakyat Bovia telah mengalami penyusutan pendapatan mereka kerana kegawatan akibat pandemik koronavirus.

Dengan kerajaan pimpinan Áñez yang anti-demokratik terus mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan AS dan hartawan yang tamakkan sumber alam seperti Elon Musk, rakyat Bolivia yang bertekad untuk mempertahankan sumber kekayaan negara mereka akan teruskan perjuangan mereka. Gelombang protes telah tercetus baru-baru ini di Bolivia untuk menuntut pemulihan demokrasi di negara itu.

BOLIVIA-POLITICS-PROTEST
Pekerja-pekerja berarak pada 14 Julai 2020 dari El Alto ke La Paz untuk memprotes terhadap dasar kerajaan Áñez yang anti-pekerja. (foto oleh Aizar Raldes / AFP)

 

3 thoughts on ““Kami akan jatuhkan sesiapa ikut kehendak kami!” – Elon Musk dan Bolivia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *