20190806 - biotropic.jpgAkhbar The Star bertarikh 31 Julai 2019 menyiarkan satu “Notis Amaran” yang dikeluarkan oleh Messrs. Bustaman, peguamcara untuk syarikat Biotropics Malaysia Berhad, menyatakan bahawa Biotropics ialah pemegang lesen tunggal untuk paten terhadap komponen bioaktif daripada ekstrak akar tumbuhan Eurycoma longifolia (yang lebih dikenali umum sebagai “Tongkat Ali”)!

“Notis amaran” tersebut mengatakan bahawa mana-mana individu atau syarikat yang terlibat dalam pengeluaran, pembuatan, pengimportan atau penjualan barangan berpaten tersebut adalah melanggar hak eksklusif yang diberikan dalam paten berkenaan, dan boleh didenda sebanyak RM 15,000 dan/atau dipenjarakan sehingga 2 tahun. “Notis amaran” tersebut berakhir dengan kenyataan yang tegas, “AMBIL PERHATIAN bahawa prosiding undang-undang boleh dimulakan terhadap sesiapa yang melanggar Paten yang disebutkan ini termasuk mereka yang membantu atau memudahkan pelanggaran sebegini…”

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), beliau berkata, “PSM terkejut bahawa undang-undang paten yang sedia ada di Malaysia boleh disalahgunakan dengan begitu mudahnya untuk mewujudkan monopoli bagi syarikat-syarikat yang mempunyai pertalian baik dengan golongan berkuasa supaya mereka dapat menuntut hak terhadap pengeluaran dan penjualan barangan seperti Tongkat Ali yang sebenarnya telah digunakan berabad-abad lamanya bagi tujuan perubatan.”

“‘Notis Amaran’ Biotropics merujuk ekstrak daripada Tongkat Ali sebagai ‘ciptaan’nya – tetapi ini semestinya tidak benar! Rakyat tempatan di Malaysia telah pun mengiktiraf sifat perubatan Tongkat Ali dan menggunakannya untuk tujuan peningkatan kesihatan untuk begitu lamanya. Ini jelasnya adalah satu lagi contoh ‘memagarkan harta awam’ (fencing up the commons), di mana dalam kes ini Akta Paten 1983 telah digunakan.”

“Mengikut ‘Notis Amaran’ ini, mulai dari sekarang, mana-mana perseorangan atau syarikat yang menyediakan dan menjual ekstrak daripada Tongkat Ali, perlu mendapat kebenaran daripada Biotropics dan membayar royalti kepadanya!”

“PSM memahami bahawa Biotropics sekarang ini mempunyai teknologi untuk memisahkan ekstrak daripada Tongkat Ali dan menghasilkan produk dengan kepekatan yang tepat daripada ekstrak ini. Kami tiada bantahan terhadap Biotropics dalam usahanya memasarkan barangan ekstrak yang ditulenkannya sebagai versi Tongkat Ali yang lebih baik dan selamat, serta bersaing untuk pasaran dengan pengeluar tradisional yang mungkin menggunakan cara yang lebih ‘mentah’ untuk mengeluarkannya. Biar rakyat Malaysia untuk menentukan sama ada ia berbaloi untuk membeli produk Tongkat Ali daripada Biotropics yang ditulenkan dan lebih mahal ataupun kekal melanggani pembekal tradisional,” begitu katanya Dr. Jeyakumar semasa mengulas isu ini.

“Kenapa kita perlu membuat peraturan yang membenarkan kepentingan komersial yang berkuasa untuk mewujudkan monopoli terhadap produk yang sudahpun dikenali oleh rakyat tempatan dan mengenakan harga yang terlalu tinggi untuk sesuatu yang bukan ditemui atau dicipta oleh syarikat komersial ini? Adanya sesuatu tidak betul dengan proses permohonan paten di negara kita. Jelasnya, ia boleh disalahgunakan,” tambah Dr. Jeyakumar.

PSM menyeru pada Kerajaan Malaysia supaya memberi perhatian kepada kejanggalan ini dalam peraturan paten di negara kita dan menghentikan “pemagaran ke atas harta awam”.

PSM juga menyeru pada pengeluar Tongkat Ali tradisional supaya bersatu dan menyampaikan pandangan mereka dengan berjumpa dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, dan jika perlu, failkan kes di mahkamah untuk mencabar Biotropics. Kumpulan-kumpulan pengguna di negara kita patut bersama dalam menyokong pengeluar-pengeluar tradisional untuk membantah perkara yang tidak munasabah ini.

Dr. Jeyakumar menegaskan bahawa, “Pencurian terhadap ilmu pengetahuan tradisional kita tidak boleh dilepaskan begitu sahaja tanpa dicabar!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *