oleh Zulfiqar Mohd Yusof
Punah negaraku
kerana sang korup
masih bertakhta di hati.
Punah negaraku
kerana sang penindas
dijulang umpama pembela.
Punah negaraku
kerana yang bergelumang dengan maksiat
diangkat sebagai penguasa.
Punah negaraku
kerana sang pendusta
disangka berkata benar.
Punah negaraku
kerana yang menggadaikan tanah pertiwi
disorak bak wira negara.
Punah negaraku
kerana sang keparat
masih bebas membuat onar.
Punah negaraku
kerana penunggang agama
dituruti umpama agamawan sebenar.
Punah negaraku
kerana para pewaris
diacu oleh sang tolol.
Punah negaraku
kerana yang jahil
dinobat sebagai ilmuwan.
Punahlah negaraku
kerana perkara terkeji itu
yang kian membarah
tidak ditegur
tidak ditentang
malah direlakan
demi kepentingan diri.