oleh Sharan Raj

Pada dekad ini (2021-2030), Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengimport arang batu sebanyak 374 juta tan metrik (MMT) bernilai RM150 bilion. Pada tahun 2020, hampir 66% permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia yang dijana oleh TNB adalah daripada arang batu yang diimport sepenuhnya.

Kebergantungan kepada arang batu import memudaratkan ekonomi, nilai matawang Ringgit, kedaulatan tenaga dan alam sekitar.

Stesen janakuasa Kapar Energy Venture di Selangor yang berumur 40 tahun boleh ditutup serta-merta, tetapi agak sukar dari sudut kewangan untuk menutup stesen janakuasa arang batu yang baharu.

Penukaran bahan api (“fuel switching”) daripada arang batu import kepada gas asli tempatan merupakan salah satu penyelesaian untuk stesen janakuasa arang batu yang baharu.

Penukaran bahan api memerlukan penggantian kebuk arang batu dengan Turbin Gas Kitar Padu (CCGT) serta membina saluran tambahan kepada rangkaian gas asli semenanjung.

Purata kos sebuah stesen janakuasa gas (CCGT) adalah US$550,000 untuk setiap MW dan kos turbin gas merangkumi 40% daripada kos tersebut.

Kos membina saluran gas tambahan untuk stesen janakuasa sepanjang 38KM tersebut bernilai RM500 juta.

Maka, kos penukaran bahan api daripada arang batu kepada turbin gas (CCGT) untuk 10,580MW tidak akan melebihi RM10 bilion.

Malaysia akan dapat mengelakkan daripada mengimport arang batu bernilai RM150 bilion untuk dekad ini jika melabur RM10 bilion sekali sahaja.

Kerajaan tidak boleh mengawal harga arang batu import tetapi boleh mengawal gas asli tempatan untuk penjanaan eletrik melalui Akta Bekalan Gas 2016 bagi melindungi rakyat Malaysia daripada inflasi bahan api.

Turbin Gas Kitar Padu (CCGT) menghasilkan lebih 50% tenaga eletrik (kecekapan termal) untuk setiap unit bahan api berbanding arang batu yang akan mengurangkan keperluan bahan api untuk penjanaan eletrik.

Menurut sebuah laporan daripada Suruhanjaya Tenaga (2018), kadar kerosakan stesen janakuasa arang batu adalah 4 kali ganda lebih tinggi berbanding turbin gas kitar padu (CCGT).

Gas rumah hijau negara kita dapat dikurangkan sebanyak 10% kerana pelepasan karbon dioksida daripada pembakaran gas asli hanya separuh berbanding dengan arang batu.

Kerajaan diseru untuk mengubahsuai stesen janakuasa arang batu kepada stesen janakuasa turbin gas kitar padu (CCGT) untuk mengukuhkan ekonomi negara, matawang Ringgit, kedaulatan tenaga dan alam sekitar.

=========

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *