Ini adalah satu kes di mana seorang pekerja pembersihan sekolah dinafikan hak untuk mendapat perlindungan PERKESO kerana pihak PERKESO menafsir undang-undang secara sempit.
Valarmathy, berumur 47 tahun, ialah seorang pekerja pembersihan yang berkerja di Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 1, Cheras, Selangor. Pekerjaannya di sekolah termasuklah kerja membersihkan longkang, membersihkan dewan, mengaturkan kerusi dan meja serta kerja-kerja mengangkat pasu bunga untuk Syarikat Za Integrity Resources sejak 20 Disember 2017
Pada 12 Julai 2018, Valarmathy telah mengalami satu kemalangan, lebih kurang pukul 4.30 petang semasa dia dalam perjalanan balik selepas habis kerja. Rutin biasanya selepas habis kerja adalah menghantar rakan kerjanya Puan Jeya untuk balik ke rumah, sebelum pulang ke rumahnya sendiri.
Kesan daripada kemalangan itu, Valarmathy dimasukan ke Hospital Serdang dan tinggal di hospital untuk 5 hari. Kemudiannya Valarmathy telah diberikan cuti sakit sehingga 17 Disember 2018. Majikannya pula telah memberhentikan kerjanya selepas kemalangan itu.
Pada 17 Julai 2018, Valar telah memfailkan kes kepada PERKESO kerana PERKESO akan melipuiti bencana kerja untuk masa bekerja, termasuk semasa perjalanan pergi dan balik kerja. Tetapi dalam kes ini, PERKESO telah menolak permohonan bencana kerja pada 18 Oktober 2018 atas alasan Valarmathy membuat lencongan semasa balik kerja. Valarmathy kemudian telah membuat rayuan kepada Jemaah Rayuan pada 17 Disember 2018 dan hadir ke perbicaraan di Jemaah Rayuan PERKESO pada 22 Mac 2019. Namun, permohonannya untuk tuntutan bencana kerja ditolak pula oleh Jemaah Rayuan pada 4 Oktober 2019.
Akhirnya dengan bantuan PSM, Valarmathy kini memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Disember 2019. Perbicaraan untuk kes ini akan diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta pada 3 September 2020.
Valarmathy menghantar rakan sekerjanya yang tiada pengangkutan untuk pulang ke rumah terlebih dahulu sebelum beliau balik ke rumahnya sendiri. Semua saksi, termasuk majikan, telah memberikan kenyataan yang sama. Namun, PERKESO tetap berpendapat bahawa disebabkan dia mengalami kemalangan semasa menghantar rakan sekerjanya pulang ke rumah yang merupakan lencongan daripada perjalanan asalnya pulang ke rumah sendiri, maka tuntutannya untuk mendapatkan perlindungan bencana kerja daripada PERKESO tidak akan dilayan.
“Ini adalah satu pencabulan hak pekerja. PERKESO sepatutnya melindungi pekerja dan bukannya menindas,” begitu katanya S. Arutchelvan, Timabalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), berkenaan dengan kes ini.
Kes ini sekarang ini akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pihak PERKESO telah diwakili oleh syarikat guaman besar, untuk melawan seorang pekerja pembersihan yang hanya berpendapatan RM1,100 sebulan. PSM telah bertekad untuk bersama dengan pekerja dalam melawan kes ini, supaya mendapatkan keadilan untuk pekerja.
One thought on “Seorang pekerja pembersihan melawan PERKESO di mahkamah”