20181008 - parlimen.jpg

Pengumuman oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad tentang kenaikan gaji minimum hanya RM 50 untuk pekerja di Semenanjung Malaysia dan RM 130 untuk Sabah dan Sarawak, merupakan satu penghinaan terhadap pekerja yang telah membanting tulang dalam membangunkan ekonomi negara kita.

Kenaikan gaji minimum hanya RM 50 itu bagaikan sedekah kepada pekerja, dan langsung tidak mengiktiraf pengorbanan pekeja selama ini serta tidak mempedulikan beban kehidupan pekerja yang semakin berat. Amat jelas sekali bahawa pengumuman kadar gaji minimum terbaru ini langsung tidak mempedulikan cadangan yang dikemukakan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara itu sendiri, malah Kerajaan menerima sebulat-bulatnya apa yang dikehendaki pihak majikan.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah menuntut supaya gaji minimum dinaikkan kepada RM 1800 sebulan, sementara Parti Sosialis Malaysia (PSM) menuntut pelaksanaan serta-merta gaji minimum RM 1500.

Gabungan Bantah RM 1050 telah ditubuhkan oleh beberapa buah kesatuan sekerja dan organisasi masyarakat, untuk menuntut pada kerajaan supaya mengkaji semula keputusan kenaikan gaji minimum yang tidak mencukupi ini. Gabungan Bantah RM 1050 terdiri daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS), Sosialis Alternatif, Blindspot, Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia, Liberasi, Malaysia Muda, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER), Transmen of Malaysia, Foreign Spouses Support Group, Tenaganita, Knowledge and Rights with Young people through Safer Spaces (KRYSS), Women’s Aid Organisation (WAO), Sisters in Islam (SIS), Justice for Sisters, Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO), Kuliah Buku (KUBU), Parti Murba, Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) dan Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC).

Gabungan Bantah RM 1050 akan menganjurkan satu aksi protes di hadapan Parlimen pada 17 Oktober 2018 untuk menyampaikan bantahan warga pekerja terhadap kenaikan gaji minimum yang amat tidak mencukupi ini.

PSM menyeru pada semua pekerja dan rakyat Malaysia supaya turun beramai-ramai pada 17 Oktober 2018, 10.30 pagi, di depan Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur.

Cukuplah pemerasan terhadap pekerja yang telah berlarutan sekian lama. Jangan menghina pekerja dengan kenaikan gaji minimum yang bagaikan pemberian sedekah. Jangan memiskinkan pekerja dengan gaji minimum yang amat rendah. Kembalikan maruah pekerja dengan mengkaji semula kadar gaji minimum dan memastikan semua pekerja menikmati kadar gaji yang bersesuaian untuk kehidupan yang lebih baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *