web-photos-mahathir-un-assembly-ny-reuters-1538203159366.jpg

Mengulas tentang ucapan yang disampaikan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 28 September 2018, Dr. Jeyakumar Devaraj, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) , walaupun menyambut baik dan mengucapkan tahniah pada ucapan Mahathir yang membawa pendirian jelas kepada pentas dunia (seperti kritikan terhadap kegagalan kuasa Barat membendung perluasan Zionis, membangkitkan isu penindasan terhadap rakyat Palestin, pandangan tentang peraturan ekonomi dunia sedia ada yang menyekat kapasiti kerajaan untuk menangangi masalah kemiskinan dan peminggiran masyarakat dalam negara masing-masing, dan kritikan terhadap sistem kuno dalam PBB yang memberi kuasa veto kepada lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB), tetapi mempertikaikan pendirian Mahathir dalam isu Rohingya.

“Dr. Mahathir, anda memang betul sekali dalam menyatakan bahawa pihak berkuasa di Myanmar telah melakukan ketidakadilan yang amat teruk terhadap masyarakat Rohingya, tetapi adakah cara negara kita menangani isu pelarian Rohingya dan pelarian lain langsung tiada masalah?” Inilah persoalan yang dibangkitkan oleh Dr. Jeyakumar dalam surat terbukanya kepada Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia.

“Saya pasti anda tahu bahawa Malaysia masih tidak lagi mengiktiraf secara rasminya ‘pelarian’. Kerajaan kita masih menggolongkan mereka bersama dengan migran ekonomi tanpa dokumen dalam kategori PATI, Pendatang Asing Tanpa Izin, dan secara rutinnya mengganggu mereka dengan menangkap dan menahan mereka,” ulas Dr. Jeyakumar.

“Walaupun mereka berjaya mendapatkan kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pelarian PBB) yang membuktikan mereka memangnya pelarian, kerajaan kita tidak memberikan mereka hak untuk bekerja. Oleh sebab tiadanya orang yang membayar mereka gaji untuk terus hidup, mereka terpaksa bekerja ‘secara haram’, di mana mereka terdedah kepada penganiayaan oleh segelintir majikan yang tidak bertanggungjawab dan diganggu lebih lanjut lagi oleh agensi penguatkuasa.”

“Akses mereka kepada kesihatan adalah terhad, kerana caj yang tinggi di pusat-pusat kesihatan kerajaan dan mereka berisiko ditangkap apabila pergi ke sana. Anak-anak mereka dilarang daripada memasuki sekolah kita.”

“Dr. Mahathir, bukankah ini masanya untuk kita ‘cakap biar serupa bikin’? Jika meratifikasi Konvensyen PBB mengenai Pelarian itu menjadi langkah yang begitu susah untuk diambil, tidakkah kita boleh sekurang-kurangnya melaksanakan beberapa peruntukan yang terkandung dalam konyensyen tersebut?” tanya Dr. Jeyakumar.

“Saya mencadangkan supaya Malaysia mengiktiraf segera kategori ‘pelarian’ dan memberi kuasa kepada Jabatan Imigresen untuk menilai segara semua orang yang mengatakan bahawa mereka melarikan diri dari negara sendiri untuk mengelakkan diri daripada penganiayaan yang berasaskan perkauman, agama atau pendirian politik. Mereka yang didapati memenuhi kriteria pelarian harus diberikan kad pengenalan yang membuktikan mereka memang pelarian.”

“Kita juga perlu mengeluarkan permit kerja kepada pelarian supaya mereka dapat bekerja secara sah di sisi undang-undang, dan dilindungi daripada penindasan di tempat kerja.”

“Hanya dengan dua langkah ini sahaja kita akan dapat mengatasi masalah yang dihadapi oleh pelarian Rohingya dan pelarian lain di Malaysia.”

Dalam menerangkan tentang rasional untuk memberikan permit kerja kepada pelarian, Dr. Jeyakumar berkata, “Kita sudah adanya 2 juta orang pekerka migran yang mempunyai dokumen sah di Malaysia. Sekarang ini hanya terdapat 180,000 orang pelarian di negara kita, dan adanya sejumlah besar di kalangan mereka adalah kenak-kanak. Tambahan permit kerja sebanyak 150,000 adalah mudah diserap oleh ekonomi kita dan ini akan dapat membantu masyarakat pelarian. ”

“Saya tahu bahawa Pakatan Harapan hanya mengambilalih kuasa untuk 5 bulan sahaja sekarang ini, dan terdapat banyak lagi isu penting yang perlu diberi perhatian. Namun, cadangan yang saya kemukakan ini sudah pun dibangkitkan oleh kumpulan-kumpulan masyarakat yang berlainan untuk banyak kali, dan cadangan ini bukannya susah atau berkos tinggi untuk dilaksanakan.”

“Saya betul-betul mengharapkan bahawa kerajaan kita akan bertindak dengan tegas untuk mengurangkan pemangsaan terhadap pelarian dan pencari suaka yang berada di negara kita. Ini juga akan meningkatkan kredibiliti negara kita di pentas dunia.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *