20200223 - coronavirus-2

oleh M. Sivaranjani

Parti Sosialis Malaysia (PSM) sedar bahawa situasi wabak COVID-19 yang menjadi satu ancaman bencana serius sekarang harus ditangani dengan segera. Ia sedang merebak cepat. Sehingga 16 Mac 2020, sudah lebih 500 orang dikenalpasti telah dijangkiti virus COVID-19 dan perlu menjalani rawatan. Pada masa ini, semua orang harus berganding bahu untuk menjaga kesihatan diri dan masyarakat secara keseluruhanya.

Dalam keadaan ini, ramai pekerja diarahkan oleh majikan mereka untuk bekerja dari rumah dan mengambil cuti beberapa minggu atau bulan. Ini adalah satu keputusan yang patut digalakkan dalam yang melindungi kesihatan semua.

Namun demikian, kami di PSM mula menerima panggilan daripada pekerja di hotline yang mengadu bahawa syarikat mereka merancang tutup untuk dua hingga tiga minggu kerana produk sokongan dari negara China tidak sampai, maka tidak dapat buat kerja. Tetapi, isu yang lebih meruncing untuk pekerja yang perlu menjalani kehidupan mereka ini adalah mereka diarahkan untuk mengambil cuti tanpa dibayar gaji. Ini adalah tidak adil untuk para pekerja. Majikan dan pekerja mempunyai tanggungjawab bersama dalam menghadapi situasi ini. Selama ini, pihak majikan telah mengaut keuntungan daripada hasil titik peluh pekerja, maka tidak patut mengorbankan pekerja dalam keadaan genting sekarang, sebaliknya harus menyalurkan keuntungan yang terkumpul sebelum ini dengan terus membayar gaji kepada pekerja semasa mereka terpaksa mengambil cuti ketika dilanda krisis wabak COVID-19. Ini juga merupakan tanggungjawab sosial yang patut dipikul oleh majikan yang benar-benar bertanggungjawab.

Selain itu, ada juga pekerja pembersihan sekolah yang menghubungi kami menyatakan bahawa pihak sekolah sekarang memberi tekanan dan beban kerja yang lebih berat kepada mereka untuk meningkatkan kekerapan membersihkan sesuatu tempat atau kawasan di dalam sekolah. Pada pertengahan tahun lepas, ramai pekerja pembersihan sekolah dibuang kerja kerana pengurangan peruntukan daripada Belanjawan Kerajaan Persekutuan. Kebanyakan sekolah yang hanya mempunyai dua atau tiga pekerja pembersihan menyebabkan pekerja di situ perlu menanggung beban kerja berlebihan. Kini, dalam keadaan menghadapi COVID-19, beban kerja untuk pekerja-pekerja pembersihan ini telah berlipatganda lagi. Sudah tiba masanya untuk meningkatkan gaji pekerja-pekerja pembersihan ini, di samping meningkatkan semula jumlah pekerja yang bekerja di premis sekolah. Dalam keadaan melawan wabak COVID-19, pekerja pembersihan juga memainkan peranan yang utama dalam memastikan perlindungan kesihatan masyarakat. Pengorbanan dan peranan mereka ini harus dihargai.

Kami di PSM berpandangan bahawa situasi COVID-19 berkemungkinan akan bertambah serius. Pada ketika menangani kecemasan kesihatan awam, jangan kita menggadaikan kebajikan pekerja. Kami difahamkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia sedang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin untuk mengendali situasi. Pada masa yang sama, Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga harus mencampurtangan dalam keputusan menutup sementara mana-mana syarikat dan memastikan pekerja terus dibayar gaji. KSM perlu mencampurtangan dalam menilai prestasi syarikat untuk menentukan sama ada perlu melaraskan kadar bayaran gaji atau tidak. Syarikat yang mempunyai prestasi kewangan yang baik dan syarikat korporat besar, harus diarahkan untuk terus membayar gaji penuh kepada pekerja-pekerjanya, walaupun pekerja-pekerja berkenaan perlu diarahkan untuk mengambil cuti. Jika didapati syarikat perubahaan kecil dan sederhana (SME) yang menghadapi kemelut kewangan kerana perniagaan merosot kerana kejadian wabak, maka kerajaan harus membantu dalam hal ini. Kita tidak boleh melepaskan keputusan keseluruhan dalam tangan majikan. Ini akan mewujudkan pemangsaan.

Kerajaan boleh mewujudkan mekanisme untuk membayar elauan sara hidup kepada pekerja sepanjang tempoh tidak bekerja, supaya syarikat SME yang terjejas dapat diberi kelonggaran untuk tidak membayar gaji untuk tempoh pekerja perlu mengambil cuti. Dengan adanya pembayaran gaji atau pendapatan yang berterusan kepada pekerja, ini akan dapat memastikan kelangsungan hidup pekerja dalam keadaan genting dan mengekalkan keseinambungan ekonomi pasaran tempatan.

Kerajaan juga harus melalui Bank Negara mengeluarkan moratorium untuk pembayaran balik pinjaman perumahan, terutamanya untuk semua orang yang mengambil pinjaman untuk membiayai rumah mampu milik. Moratorium ini harus diteruskan sehingga ekonomi negara pulih daripada impak wabak COVID-19.

Ketika kita sedang melawan COVID-19 untuk memastikan jaminan kesihatan semua, jangan kita memberi laluan kepada satu lagi bencana – kelaparan dan kemiskinan – yang menjejaskan golongan pekerja di negara kita!

==========

M. Sivaranjani ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Pekerja PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *