20200314 - planemab

Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) menyuarakan bantahannya terhadap syarikat penerbangan yang mengambil jalan pintas untuk mengurangkan kos dengan mengorbankan kakitangan bawahan dalam syarikat. NUFAM menggesa syarikat-syarikat penerbangan untuk mengamalkan ketelusan dalam pendedahan tentang kerugian mereka dan pendekatan penjimatan kos yang dikatakan bertujuan untuk mengurangkan kesan daripada penularan wabah COVID-19.

Seruan daripada NUFAM ini dibuat berikutan syarikat Penerbangan Malaysia Berhad memberitahu pada pekerjanya untuk mengambil cuti tidak berbayar untuk satu tempoh yang tertentu. Langkah “penjimatan kos” oleh Penerbangan Malaysia ini diambil susulan daripada pembatalan lebih kurang 2,000 penerbangan sehingga bulan April 2020 oleh sebab sekatan perjalanan oleh negara-negara destinasi untuk menghadapi penularan wabak COVID-19.

Penerbangan Malaysia telah memberi “pilihan” kepada pekerja-pekerjanya untuk mengambil 5 hari cuti tidak berbayar “secara sukarela” setiap bulan untuk sekurang-kurangnya 3 bulan mulai bulan April 2020.

“Syarikat yang memotong gaji pekerja yang berpendapatan lebih rendah untuk menjimat kos tidak layak dipanggil syarikat yang baik!” begitu yang ditulis dalam satu hantaran di halaman facebook NUFAM pada 11 Mac 2020.

Anak-anak kapal yang bekerja dengan syarikat penerbangan sudahpun menghadapi pengurangan elaun penerbangan bulanan yang teruk berikutan pembatalan dan pertukaran jadual penerbangan, tetapi sekarang ini pula dipotong gaji dengan cuti tidak berbayar yang boleh disifatkan sebagai pemberhentian kerja sementara. Cuti tidak berbayar untuk tempoh yang panjang akan menjejaskan pekerja-pekerja yang bergaji rendah dan sederhana.

Syarikat penerbangan tidak patut memangsakan pekerja yang bergaji lebih rendah dalam keadaan ekonomi yang semakin merudum dan ancaman wabak penyakit yang berterusan, kerana tindakan sebegini hanya akan menyusahkan lagi kehidupan para pekerja. Syarikat penerbangan boleh memotong gaji golongan eksekutif yang menerima bayaran gaji tinggi dan mengurangkan elauan perjalanan untuk pegawai pengurusan kanan dalam syarikat.

Baru-baru ini, syarikat Malindo Airways juga mengarahkan pekerja-pekerjanya untuk mengambil cuti tanpa gaji selama dua minggu dan memotong gaji sebanyak 50%. Tindakan tersebut telah dibantah oleh NUFAM yang mengatakannya salah di sisi undang-undang.

Walaupun Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia Izham Ismail pernah mengumumkan sebelum ini bahawa pegawai pengurusan kanan syarikat tersebut akan dipotong gaji 10% dan melepaskan elaun untuk mengurangkan kos operasi, namun tindakan sebegini jauh kurang kesannya kepada orang berkenaan berbanding dengan pemotongan gaji ke atas pekerja-pekerja bawah.

One thought on “Potong gaji pihak pengurusan di atas, bukannya pekerja bawahan – Saranan NUFAM kepada syarikat penerbangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *